Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Tuesday 17 January 2012

TOKOH BAHASA : ZA'BA


Pendeta Za'ba
Za'ba (Tan Sri, 1895-1973) ialah tokoh bahasa dan pemikir Melayu. Nama sebenarnya ialah Zainal Abidin bin  Ahmad. Dia lahir pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Jempol, batu Kikir, Negeri Sembilan.  Ibunya Intan Awaluddin berketurunan Minangkabau. Ayahnya yang berketurunan Bugis Linggi merupakan  orang yang berharta, berpengetahuan agama, dan satu-satunya penduduk di kampung itu yang tahu membaca dan menulis Jawi. 

Pendidikan awal Za'ba bermula di rumahnya sendiri, termasuk pelajaran asas agama dan tulis-menulis (Jawi).  Pada bulan Julai 1907, Za'ba belajar di Sekolah Melayu di Batu Kikir dan kemudiannya dia bersekolah di Linggi. Di samping meneruskan pendidikan sekolah Melayu pada waktu pagi, Za'ba belajar agama dan nahu bahasa Arab di Masjid Linggi pada waktu petang daripada Abas bin Zakaria, ulama terkenal di Negeri  Sembilan. Za'ba muncul sebagai pelajar sekolah Melayu terbaik dalam peperiksaan Darjah Lima, semasa di  Linggi.

Za'ba juga menduduki peperiksaan untuk menjadi guru atau untuk memasuki sekolah Inggeris seperti Maktab  Melayu Kuala Kangsar, dan sekolah Inggeris di Seremban. Dia muncul sebagai pelajar terbaik daripada 265 orang calon. Pada mulanya Za'ba memilih untuk menjadi guru, tetapi akhirnya dia memilih memasuki sekolah Inggeris, iaitu St. Paul's Institution, Seremban. Di sini dia belajar selama enam tahun (1910-1915), sehingga  memperoleh sijil Senior Cambridge. Dia banyak menerima hadiah kerana kecemerlangan pencapaiannya, dan akhirnya muncul sebagai anak Melayu Negeri Sembilan yang pertama berjaya dalam peperiksaan tersebut. 

Za'ba ditawarkan bekerja sebagai guru sementara di sekolahnya, dan selepas itu dia memasuki perkhidmatan perguruan di English College, Johor Bharu (Jun 1916-September 1918). Dia pernah menjadi guru di Maktab Melayu Kuala Kangsar (Oktober 1918-April 1923), dan pada peringkat inilah Za'ba lulus peperiksaan ikhtisas perguruan (Normal Class, pada tahun 1921); penterjemah di Pejabat Pengarah Sekolah-Sekolah Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Kuala Lumpur (Mei 1923-Mac 1924), dan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim (April 1924-September 1939). Kemudian dia menjadi penterjemah dan  juruhebah di Pejabat Penerangan Singapura serta menjadi penyelenggara buku pendidikan Melayu di Jabatan   Pelajaran Singapura (Oktober 1939-Januari 1941). 

Semasa pendudukan Jepun dia Tanah Melayu, Za'ba berkhidmat sebagai ketua pengarang dan penterjemah berita Radio Jepun, serta menyelenggarakan penerbitan buku bagi jabatan Pelajaran dan Agama, Bunkyo-ka (Mac 1942-Julai 1945). Selepas perang dunia kedua tamat, Za'ba bertugas sebagai penterjemah di Mahkamah Tinggi dalam Pentadbiran Tentera British di Kuala Lumpur (September 1945-Julai 1946); kemudian kembali ke jawatan lamanya sebagai penterjemah kanan bahasa Melayu dan pengarang buku teks di Pejabat pelajaran, Kuala Lumpur (Ogos 1946-Ogos 1947); pensyarah Bahasa Melayu di School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London (September 1947-hingga bersara pada September 1950). Pada tahun 1953, Za'ba menjadi pensyarah kanan merangkap Ketua Jabatan Pengajian Melayu yang pertama di Universiti Malaya, Singapura (April 1953-Januari 1959). Semasa di University of London, Za'ba memperoleh Sarjana Muda Sastera (1953). 

Za'ba muncul sebagai cendekiawan Melayu yang dihormati sejak tahun 1920-an lagi. Sepanjang kerjayanya selama hampir 40 tahun, Za'ba bergiat secara aktif dalam bidang penulisan dan berbagai-bagai kegiatan sosial serta politik tanah air. Za'ba merupakan penulis rencana dan esei yang berbakat istimewa dan gigih, sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Penulisannya yang begitu prolifik mencakupi bidang bahasa, sastera, agama, pendidikan, ekonomi dan politik. 

Kegiatan penulisannya sentiasa dibendung oleh kerajaan kolonial British, terutama sepanjang dia berada di MPSI. Walau bagaimanapun, dia tetap aktif dan banyak tenaganya ditumpukan ke arah penerbitan buku sekolah dan buku bacaan umum di Biro Penterjemahan (pejabat Karang Mengarang) MPSI, selain memberi perhatian yang khusus dan lebih serius kepada usaha untuk memajukan bahasa Melayu. 

Beberapa buah buku penting tentang tatabahasa telah dihasilkannya yang digunakan di maktab dan institusi pengajian pada masa itu, bagi mengisi kekosongan yang wujud. Antara karyanya ialah Ilmu Bahasa Melayu (1926), Rahsia Ejaan Jawi (1929), Pelita Mengarang, Ilmu Mengarang Melayu (1934), Daftar Ejaan Melayu: Jawi-Rumi (1938), dan tiga jilid dalam siri Pelita bahasa Melayu (1940, 1946 dan 1949). 

Dia juga terlibat secara aktif dalam gerakan pembaharuan Islam dan menghasilkan beberapa buku tentang agama Islam. Antaranya ialah Falsafah Takdir (1932), Pendapatan Perbahasan Ulama pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan Hamba (1934), dan Asuhan Budi Menerusi Islam (1958). Buku kedua Za'ba itu telah diharamkan pengedarannya di negeri Perak oleh pihak berkuasa pada zaman tersebut. 

Setelah Perang Dunia Kedua tamat, Za'ba bergiat aktif dalam pertubuhan politik tanah air. Dia menjadi Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor (PMS) menggantikan Tengku Ismail. Dia dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres Melayu Se-Malaya yang berlangsung dari 1 hingga 4 Mac 1946, yang kemudian melahirkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Pada tahun 1956, Za'ba mengetuai satu lagi kongres yang penting bagi bangsa Melayu. Kali ini ialah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu  ketiga, dan pada akhir kongres ini Za'ba dianugerahi gelaran "Pendeta". Ini dilakukan kerana mengenang jasanya yang tidak terhingga dalam bidang bahasa. Walaupun penglibatannya dalam bidang-bidang lain tidak boleh diperkecil, tetapi sumbangan dan tulisannya dalam bidang bahasa yang paling menonjol. Dalam pendahuluan Pelita Bahasa Melayu Penggal I misalnya, dia mencatatkan kegigihannya menerapkan nahu Arab dan Inggeris kepada bahasa Melayu. Dengan itu dia menjadi sarjana Melayu yang pertama menghasilkan huraian tatabahasa Melayu yang lengkap dan mendalam. 

Atas segala khidmatnya Za'ba telah diberikan beberapa anugerah dan ijazah kehormat, iaitu Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya (1959), Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (1973), dan darjah Panglima Mangku Negara (P.M.N.) oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri (1962). 

Za'ba meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 di Petaling Jaya. 


              Sumber: Ensiklopedia sejarah dan Kebudayaan Melayu: Jilid 4, R-Z, 1999. 
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 2611-2612. 




No comments:

Post a Comment