Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Thursday 31 March 2011

Pembentangan KOMSAS 3K13

Kini tiba pula giliran 3K13.

Sudah dua minggu pembentangan kumpulan  KOMSAS, khususnya tajuk-tajuk daripada teks antologi "Anak Bumi Tercinta" dijalankan di BTV1.  Pada hari Khamis lepas, kumpulan pertama telah membuat pembentangan cerpen yang  bertajuk "Sayang Ayah".  

Pagi tadi dua kumpulan lagi telah membuat pembentangan prosa klasik.  Tajuk  yang dibentangkan ialah prosa klasik "Pak Belalang" dan "Hang Tuah Mengalahkan Taming Sari".  Persembahan mereka agak baik dengan bantuan power point dan visualiser. 

Mempelajari KOMSAS, sama ada prosa moden mahupun prosa klasik dapat meluaskan kosa kata murid.  


.../kpBM

Wednesday 30 March 2011

3K1 & BM


Anak-anak didik 3K1.... alahai, dengan TOVnya yang begitu.... dengan kerenah mereka yang begini.... tentu sekali menuntut banyak kesabaran untuk 'menjinakkan' mereka agar boleh menumpukan perhatian terhadap pelajaran.  

Mereka sebenarnya inginkan perhatian.  Berilah sedikit pujian dan pujuklah mereka, pasti tugasan yang beri dapat disiapkan (walaupun belum tentu mereka dapat memahami sepenuhnya...!)  Tidak perlulah kita menaruh harapan yang telalu tinggi terhadap mereka.   Asalkan mereka berasa seronok untuk 'belajar' dan boleh berada di tempat duduk masing-masing  tanpa mengganggu P & P pun, sudah sangat memadai.  

Bersama 3K1 saban minggu memang tidak menjemukan.   Aktiviti yang dirancang untuk mereka tidak bolehlah terlalu 'berat', perlu sesuai dengan tahap kebolehan mereka....!   

Tugasan pada minggu ini (Selasa) ialah penulisan karangan jenis peribahasa. Mereka diminta menyalin contoh karangan peribahasa yang bertajuk "Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih".   Foto yang dirakamkan secara "candid" ini menunjukkan bahawa mereka menyalin contoh karangan itu dengan tekun sekali.    Sebenarnya, tujuan aktiviti ini adalah untuk melatih mereka menulis dalam perenggan dengan ejaan yang betul.  Mengajar kemahiran asas berbahasa....

Sebagai latihan pengukuhan, mereka diminta melengkapkan karangan.  Murid-murid diminta mengisi beberapa  tempat kosong untuk tajuk karangan yang hampir sama.   Satu senarai perkataan disediakan dan mereka boleh memilih perkataan yang sesuai.  Dalam ramai-ramai itu, ada jugalah murid yang boleh melengkapkannya walaupun tidak kesemua jawapan yang mereka tulis itu tepat.... 

Hari ini murid 3K1 diajar tajuk pemahaman dan  mereka diminta menyusun maklumat mengikut urutan.   Mereka nampaknya berminat dengan aktiviti ini.   Mereka diberi beberapa maklumat berkaitan dengan 'Proses Menukar Air Di dalam Akuarium".   Maklumat berkenaan disenaraikan tanpa mengikut susunan.  Mereka diminta menyusun maklumat tersebut dan membuat lakaran sesuai dengan aktiviti yang disusun itu. 

Kemahiran bahasa yang  disisip dalam aktiviti hari ini ialah memberi makna kata daripada set leksikal yang sama makna.  

Walaupun agak santai dan tidak begitu sarat, tetapi aktiviti ini masih memenuhi keperluan Sukatan Pelajaran.  Terdapat fokus utama dan fokus sampingan yang hendak disampaikan.   Inilah antara pendekatan yang sesuai untuk mereka,  lebih-lebih lagi waktu P & P selepas rehat  antara pukul 12.00 th - 1.00 th. 

Alahai 'anak-anakku 3K1'.... ingatlah, rajin dan usaha tangga kejayaan, belakang parang jika diasah sentiasa, pasti akan tajam jua akhirnya.....

.../kpBM

Tuesday 29 March 2011

3K8 & MESTAMU

MESTAMU - salah satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang boleh menarik minat murid untuk mempelajari KOMSAS, khususnya sajak.

MESTAMU atau 'Melagukan Sajak Tanpa Muzik'  boleh dilakukan secara berpasangan.  Seorang murid akan mendeklamasikan sajak, manakala pasangannya akan melagukan sajak tersebut.  Jika bersendirian, kedua-dua teknik itu boleh dilakukan oleh orang yang sama.  Irama boleh diadaptasikan daripada lagu-lagu puisi yang sedia ada, ataupun lagu kegemaran murid itu sendiri.

Di kelas 3K8 tadi, teknik MESTAMU digunakan untuk pengajaran sajak.  Murid-murid nampak sangat seronok mempelajari KOMSAS dengan pendekatan teknik MESTAMU ini, lebih-lebih lagi pada waktu tengah hari (11.55 - 1.05 th). 

Melalui sajak 'KETIKA KAMI BERCERITA TENTANGNYA'...karya Lim Swee Tin, 3 kumpulan murid secara berpasangan telah menjalankan aktiviti MESTAMU dengan baik.  Kumpulan tersebut ialah : 

1)  Ayu dan Maisarah - lagu Pelita 
2)  Farhana dan Marina - lagu Ayat-ayat Cinta 
3)  Peng Fook dan Kamal - lagu rap rekaan sendiri

Sekali-sekala bolehlah guru-guru BM mengaplikasikan teknik ini dalam usaha untuk menarik minat murid  mempelajari KOMSAS, khususnya bagi Tingkatan 1, 2 dan 4.


Ketika Kami Bercerita Tentangnya
oleh Lim Swee Tin

Tema:
Pengorbanan seorang ayah

Persoalan pertama yang boleh didapati dalam sajak ini ialah hubungan anak dengan ayahnya yang rapat dan kemiskinan keluarga penyajak. Hal ini boleh didapati daripada rangkap pertama,

Ketika kami bercerita tentangnya
bapa sedang tidur
aku cukup kenal
pada lelap matanya
tikar mengkuang lusuh itu
barangkali, tambah melenakan bapa.

Persoalan kedua yang boleh didapati dalam sajak ini ialah hidup penyajak yang miskin dan banyak kekurangan kebendaan, dan tentang ayah penyajak yang melalui kesusahan ketika membesarkan anak-anak. Walaupun bekerja sepanjang masa dan mendapat gaji sedikit, tetapi dia tetap dapat meluangkan masa untuk bersama anak-anaknya. Hal ini boleh didapati daripada rangkap kedua,

Tadi
lama sekali bapa menemani kami
mengisi malam-malam seperti selalunya
duduk mengelilingi pelita minyak tanah
yang kecil itu
semacam pahit dan getir pengalamannya
begitu akrab pula
dengan kami semua.

Persoalan ketiga yang boleh didapati dalam sajak ini ialah anak-anak yang memahami akan masalah ayahnya dan hidup mereka susah. Anak-anak ini juga memahami bahawa mereka harus menerima dan akur dalam kemiskinan dan kekurangan dalam kehidupan mereka. Hal ini boleh didapati daripada rangkap ketiga,

Tidak pernah kami menyoal
mengapa demikian
laut sejarahnya
kerana
seperti juga di hutan kehidupan ini
kami sedia memaklumi
akan ketentuan
yang harus digenggam.

Persoalan keempat yang boleh didapati dalam sajak ini ialah kehidupan itu banyak hambatannya. Hal ini boleh didapati daripada rangkap keempat,

Asap pelita berkepul
sesekali meliuk digerak angin
ketika kami bercerita
tentang bapa
aku cukup faham
pada sebuah doa yang selalu disebutnya:

Persoalan kelima yang boleh didapati dalam sajak ini ialah dugaan, kesusahan dan cabaran. Harapan sang bapa yang mahu memastikan kehidupannya yang susah pada masa lampau tidak akan berlanjutan dalam hidup masa depan anak-anaknya. Hal ini boleh didapati daripada rangkap kelima.

Semoga ombak masa laluku
bukan gelombang masa depanmu.


... proses pembugaran KOMSAS..../kpBM

Saturday 26 March 2011

sempurna sudah LADAP 1 Panitia BM....


 Alhamdulillah, LADAP 1 panitia BM telah dapat dilaksanakan sebagaimana yang dijadualkan hari ini.   

Seramai 20 orang guru BM dan seorang guru ABM telah hadir, manakala seorang guru tidak dapat hadir kerana terpaksa menyelesaikan tugasannya di luar daerah.
Sekalung ucapan terima kasih  ditujukan khusus kepada semua guru panitia BM atas kerjasama yang diberi kan (kerana esok sekali lagi semua guru perlu hadir ke sekolah untuk menjayakan Mesyuarat Agung PIBG dan Pelaporan Akademik Pelajar).  

Semoga sesi perkongsian ilmu tadi dapat dimanfaatkan dalam meningkatkan mutu P & P di bilik darjah seterusnya dapat membantu panitia meningkatkan prestasi mata pelajaran BM. 


.../kpBM

Wednesday 23 March 2011

TAHNIAH....SPM 2010

Keputusan mata pelajaran Bahasa Melayu SPM 2010 agak memberangsangkan dan ini membantu sekolah untuk meningkatkan GPS kedudukannya dalam PPD Kuantan berdasarkan bilangan semua 'A' bagi mata pelajaran yang diambil.  Seramai 84 orang calon daripada 393 orang  calon SPM 2010 mendapat gred 'A' untuk BM.  Tahniah sekali lagi.

Walau bagaimanapun, bilangan yang gagal BM masih agak besar angkanya, iaitu 45 orang daripada 387 orang calon yang hadir.  Ini bermakna peratus lulus BM di peringkat SPM masih di bawah 90%.   

Nampaknya, guru-guru perlu lebih kreatif dan berinovasi untuk membantu murid agar lulus mata pelajaran BM, seterusnya dapat meningkatkan peratus lulus sekolah secara keseluruhannya. 

Keputusannya yang tidak rasmi adalah seperti yang berikut :

A+    =  19    (5S1 - 13)
A      =  23    (5S1 - 13)
A-     =  42    (5S1 - 13)
B+    =  48
B      =  54
C+    =  36
C      =  29
D      =  55
E      =  36
G      =  45  (gagal)
T      =  06  (tidak hadir)
J      = 393  (jumlah calon yang berdaftar)

Sunday 20 March 2011

Bahasa Kiasan (ii) : Jenis-jenis

Terdapat beberapa jenis kiasan.

1) Kiasan asal.  Kiasan ini ialah kiasan yang betul-betul menyebutkan bandingan secara langsung, dengan penggunaan perkataan-perkataan seperti 'seperti', 'umpama', 'bagai', 'laksana', dan sebagainya.  Kiasan jenis ini disebut kiasan asal.

2) Kiasan berpindah.  Kiasan jenis ini tidak menyebutkan bandingan, tetapi "memindahkan" unsur keserupaan itu secara langsung kepada benda yang dirujuk.  Terdapat pelbagai jenis kiasan berpindah.  Tiga daripadanya ialah :

i.  Kiasan sandar, iaitu sesuatu ciri disandarkan kepada benda atau sifat yang lain.  Contohnya : mandi kerbau (mandi seperti kerbau, tidak bergosok dan sebaliknya menambah daki) dan tidur ayam (tidur tidak lelap betul).

ii.  Kiasan berangkap, iaitu yang disusun berdasarkan pertentangan bunyi.  Contohnya : Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula, dan Tak tumbuh tak melata, tak sungguh tak dikata.

iii.  Kiasan berbunga, iaitu kiasan yang menggambarkan sesuatu maksud dengan perkataan berbunga hingga menerbitkan satu gambaran yang cantik.  Contohnya : Benih kemajuan dan Reput dimakan zaman.

Berjinak-jinaklah dengan bahasa kiasan untuk menghasilkan karangan yang lebih jelas dan lebih indah....

.../kpBM


Thursday 17 March 2011

Bahasa Kiasan (i) : contoh dan fungsi

Sumber : Gurukah aku.... NORBI HUSSIN
Bahasa kiasan ialah jenis bahasa yang menghuraikan sesuatu dengan cara mengkiaskannya kepada perkara lain, sama ada dengan menyebutkan bandingan secara langsung atau mengandaikan perbandingan itu.

Sebagai contoh ialah ungkapan "manisnya seperti lautan madu". Ini ialah contoh kiasan yang menyebutkan bandingan secara langsung. Dalam contoh ini sifat manis itu secara langsung dibandingkan dengan lautan madu.  Contoh-contoh lain bahasa kiasan yang menyebutkan bandingan ialah : "Matanya merah seperti sebiji saga" dan "Hatinya hancur bagai kaca terhempas ke batu".  Unsur perbandingan dapat dilihat melalui penggunaan perkataan "seperti" dan "bagai".

Contoh kedua pula ialah kiasan yang tidak menyebutkan bandingan secara langsung: Marahnya bernyala-nyala.  Bernyala-nyala biasanya digunakan untuk menyatakan keadaan api, tetapi dalam ungkapan di atas, sifat bernyala-nyala telah dipindahkan kepada keadaan marah.  Dengan kata lain, sifat marah telah dibandingkan dengan keadaan api yang bernyala-nyala.  Contoh-contoh lain bagi kiasan yang tidak menyebut bandingan : Karam dalam lautan percintaan dan Kutu embun.

Mengikut Za'ba dalam buku Ilmu Mengarang Melayu, terdapat empat fungsi bahasa kiasan.  Pertama, bahasa kiasan menjadikan sesuatu maksud lebih terang.  Melalui perbandingan yang berkias, ungkapan yang digunakan seolah-olah lukisan gambar yang terang dan nyata.  Jika tidak digunakan bahasa kiasan, mungkin huraian terpaksa lebih panjang, dan kurang jelas.
Sebagai contoh ialah kiasan-kiasan seperti : Mukanya terserlah seperti bulan purnama, bagi merujuk kecantikan wajah seorang gadis; Diamnya diam ubi, bagi menyatakan sifat seorang, iaitu diam tetapi berisi, seperti orang yang pendiam tetapi banyak berfikir; dan Hatinya sedang mendidih, bagi menyatakan keadaan yang sedang sangat marah, yang dibandingkan dengan keadaan air yang sedang mendidih.

Fungsi kedua bahasa kiasan adalah untuk menguat dan menajamkan sesuatu karya, supaya lebih senang ditangkap oleh pembaca atau pendengar.  Dengan kata lain, penggunaan bahasa kiasan bertujuan untuk menarik minat pembaca atau pendengar supaya meneruskan pembacaan dan pendengaran.

Sebagai contoh ialah : Bunyi air mengalir seperti orang sedang tertawa; Dalam selimut kemalasan; dan Tangga kejayaan.  

Fungsi ketiga bahasa kiasan adalah untuk menjadi perhiasan , mencantikkan bahasa supaya menjadi indah dan menarik.  Ini ditambah pula dengan hakikat bahawa bahasa kiasan menggambarkan kecantikan alam.  Oleh sebab itu, mengikut Za'ba, bahasa kiasan juga dikenali sebagai bungaan bahasa.

Sebagai contoh ialah : Angin bertiup seperti orang berbisik-bisik; Jinak-jinak merpati, dan Puteri lilin.

Akhir sekali, setengah-setengah bahasa kiasan digunakan sebagai bahasa halus bagi perkataan-perkataan kurang sopan digunakan di hadapan khalayak ramai atau yang tidak digalakkan disebut yang sebenarnya.  Za'ba juga menyebut kiasan jenis ini sebagai kiasan gayang atau pemanis.  Sebagai contoh : Ke sungai besar (atau sungai kecil); Menghembuskan nafas yang akhir; dan Pak Belalang.
.../kpBM

Monday 14 March 2011

Kursus Dalaman Panitia BM (1/2011)

Ekoran daripada Bengkel Pendedahan Teks Baharu KOMSAS yang diadakan pada 8 & 9 MAC 2011 yang lalu, pihak panitia Bahasa Melayu dikehendaki mengadakan Kursus Dalaman bagi semua ahli panitia.  Tujuan diadakan kursus dalaman ini adalah untuk berkongsi maklumat dan menyampaikan info terkini berkaitan dengan penulisan RPT dan RPH  serta teknik-teknik terkini pengajaran KOMSAS.

Memandangkan segala info yang diperoleh semasa bengkel tempoh hari perlu disampaikan dengan segera dalam masa yang terdekat, jadi Ketua Panitia BM telah berbincang dengan Pengetua dan Penyelaras LADAP untuk menentukan tarikh perlaksanaan kursus dalaman tersebut tanpa menjejaskan waktu pengajaran guru.  Hasil daripada perbincangan tersebut, satu keputusan telah diambil, iaitu kursus dalaman akan diadakan seperti ketetapan yang berikut :

TARIKH : 26 MAC 2011 (Sabtu)
MASA :    8.30 pagi - 12.30 th
TEMPAT : Akan ditentukan kemudian
Slot 1 - Penyediaan RPT dan RPH
Slot 2 - Bengkel Teknik Pengajaran Novel
Slot 3 - Bengkel Teknik Pengajaran Prosa dan Puisi (Moden & Tradisional)

Kursus ini wajib dihadiri oleh semua guru BM dan surat makluman akan diberi kepada semua ahli panitia pada minggu hadapan.   Guru-guru BM yang terlibat dengan kursus dalaman pada hari tersebut akan dikecualikan daripada menghadiri perjumpaan kokurikulum (Badan Beruniform).   

Diharapkan semua ahli dapat mengorbankan masa untuk menghadiri kursus tersebut demi peningkatan panitia khasnya, dan kemajuan kurikulum SMKTP amnya.   Kursus Dalaman Panitia BM yang julung-julung kalinya diadakan pada tahun 2011 ini adalah amat penting kepada semua guru BM kerana banyak maklumat terkini perlu disampaikan.

.../kpBM

Saturday 12 March 2011

Sekitar Bengkel KOMSAS 8-9 MAC 2011

Terdapat dua perkara penting yang didedahkan sepanjang bengkel KOMSAS anjuran PPD Kuantan yang diadakan di SK Pelindung baru-baru ini, iaitu :

1.     Cara menulis RPT dan RPH
2.  Teknik pengajaran teks baharu KOMSAS

Banyak teknik diperkenalkan sepanjang dua hari berbengkel, merangkumi teknik pengajaran novel, prosa klasik, prosa tradisional, prosa moden, puisi klasik, puisi moden dan drama.   Antara teknik yang menarik dan boleh diaplikasikan di SMKTP ialah :
1) Teknik Kerusi Panas
2) Teknik Balang Kaca
3) Teknik Mestamu
4) Adaptasi  
5) Dekon

Kepelbagaian teknik ini diharapkan dapat menarik minat murid untuk mempelajari teks KOMSAS, seterusnya dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.  Mempelajari KOMSAS sebenarnya bukanlah semata-mata untuk peperiksaan, tetapi bertujuan untuk menerapkan  nilai yang terdapat dalam sesebuah karya sastera....
Hasil perbengkelan tersebut  akan disampaikan dan dikongsi dengan semua guru BM SMKTP melalui  Kursus Dalaman yang akan diadakan selepas cuti nanti. 

.../kpBM

Friday 11 March 2011

CUTI DAN KERJA RUMAH

Hari ini merupakan hari terakhir untuk sesi persekolahan bahagian pertama Semester Pertama.  Cuti seminggu ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh anak-anak didik kita dengan membuat latihan serta mengulangkaji mata pelajaran yang dianggap masih belum dikuasai oleh mereka.  

Sehubungan dengan itu, diharapkan semua guru sudah menyediakan dan mengedarkan bahan latihan sebagai kerja rumah semasa cuti kepada semua murid mengikut tahap masing-masing.   Setidak-tidaknya, dengan cara ini kita dapat mengurangkan defisit pembelajaran dalam kalangan murid-murid kita, khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

Kepada semua, diucapkan selamat bercuti.   Tugas dan tanggungjawab yang lebih mencabar menunggu kita selepas sekolah dibuka nanti....

.../kpBM 

Thursday 10 March 2011

Opsyen dan Bukan Opsyen

Minggu lepas,  Sektor Pengurusan Akademik JPNP telah meminta panitia BM menghantar maklumat / bilangan guru  yang mengajarkan BM di SMKTP untuk tahun 2010 dan 2011.   Tujuannya adalah untuk pelaksanaan latihan guru dalam Program Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM). 

Ekoran daripada itu,  saya telah menghubungi pegawai yang bertanggungjawab di JPNP untuk memastikan 'opsyen' yang dimaksudkan.  Setelah bertanya kepada ENCIK MOHD RAZLI, beliau menjelaskan bahawa yang dikatakan opsyen bagi mata pelajaran BM ialah  : BAHASA MELAYU dan PENGAJIAN MELAYU.  Kesusasteraan Melayu dianggap bukan opsyen, kecuali guru berkenaan ialah Guru Cemerlang BM.   

Berdasarkan maklumat tersebut, bilangan guru opsyen / bukan opsyen yang mengajarkan BM di SMKTP pada tahun ini sama seperti tahun lepas, tidak ada penambahan atau pengurangan.   Berikut ialah data berkaitan dengan guru opsyen dan  bukan opsyen BM di SMKTP :

a)  Bilangan guru opsyen yang mengajarkan BM              -  14

b) Bilangan guru bukan opsyen yang mengajarkan BM    -  07  (KM -3, Sejarah 2, P.Akaun/ P.Am (1), P.Seni (1)

GURU BM - OPSYEN BM / PENGAJIAN MELAYU:

1) Tuan Haji Razak b. Yahya
2) Puan Roshanilawatey bt. Jusoh
3) Puan Sepinah bt. Hj. Mat Daud
4) Puan Noraisah bt. Ab. Rani
5) Puan Adhipah bt. Kandar
6) Encik Awang Mahadi b. Ali
7) Puan Ruslina bt. Ismail
8) Puan Rohana bt. Abdul Patah
10) Encik Zahid
11) Puan Zaimuni bt. Hamzah
12) Puan Siti Suriyati bt. Tukiman
13) Puan Maziyana bt. Ismail
14) Puan Susilawati

Walau bagaimanapun, sebahagian daripada 7 orang guru yang bukan opsyen ini memang sudah lama mengajar dan berpengalaman luas dalam mata pelajaran BM. 

"BAHASA JIWA BANGSA"


KARENAH, KERENAH ATAU KARENA....

PERNAHKAH anda mendengar atau membaca ayat contoh yang berikut ini? 
1. Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan karenah akhir zaman.
2. Kelambatan pemprosesan permohonan itu disebabkan oleh kerenah birokrasi.
Dalam kedua-dua ayat di atas, perkataan yang bercetak condong ialah karenah (ayat 1), dan kerenah (ayat 2).  Kedua-dua perkataan ini dibezakan sifat bunyinya oleh huruf vokal 'a', 'e' pepet, dan 'e' taling dalam suku-suku kata tertentu..

Kata karenah dibarisi oleh vokal 'a' dalam suku kata pertama, dan vokal 'e' taling dalam binaan suku kata kedua; maka bunyi kata ini ialah [ karénah ].

Kata kerenah dibunyikan sebagai [ k?r?nah ] dengan kedua-dua huruf vokal 'e' dalam suku kata pertama dan suku kata kedua perkataan itu vokal 'e' pepet.

Kata karenah yang berasal daripada perkataan bahasa Arab membawa empat maksud, iaitu makna alamat, bukti, tanda, dan cena (céna). (Kamus Dewan Edisi ke-4, hal 678) Keempat-empat kata ini merupakan sinonim kepada kata karenah ini. Maksud karenah ini terkandung dalam ayat yang pertama di atas. Kita boleh sahaja menggantikan kata karenah dengan mana-mana kata sinonimnya, misalnya: 

 1. (a) Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan tanda akhir zaman. 
     (b) Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan cena akhir zaman; 
dan seterusnya.

Kata kerenah tidak asing lagi dimaklumi maknanya kerana kata ini sering digunakan oleh komuniti bahasa Melayu dalam kegiatan berbahasa. Sedarlah bahawa ada beberapa maksud kata kerenah ini, iaitu ragam, tingkah laku, kemahuan dan perangai. (Kamus Dewan Edisi ke-4, hal 757).

Selain maksudnya yang terkandung dalam ayat (2) di bawah, kata kerenah dapat digunakan seperti dalam ayat contoh (3) yang berikut: 

2. Banyak benar kerenah budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya. 

Jika hendak digantikan kata kerenah dalam ayat tersebut dengan kata-kata lain yang bersinonim dengannya, boleh sahaja. Misalnya: 

3. (a) Banyak benar ragam budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.
atau
(b) Banyak benar kemahuan budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.

Selain itu, kata kerenah ini juga bermaksud oleh (sebab), dan cara. Kedua-dua maksud ini dibawakan oleh dua potong ayat yang di bawah ini: 

4. Demikian itu kerenah dia bekerja, pantas tetapi kelam kabut sahaja. (kerenah bermaksud cara)

5. Pekerja kontrak itu telah lama teraniaya kerenah tindakan majikan yang tidak bertimbang rasa. (kerenah bermaksud oleh sebab)

Jelaslah, kata karenah dan kerenah, jika kita tersilap menggunakannya dalam ayat, pastilah maksud ayat berubah, atau tidak mendukung maksud maklumat sebenar yang hendak diungkapkan. Oleh itu, berhati-hatilah memilih kata yang betul untuk menepati maksud sebenar yang hendak dinyatakan.

Karenah dan kerenah tidak sama dengan kata karena

Kata karena merupakan variasi ejaan kata kerana. Selain bentuk ejaan karena ini, dapat juga kita temukan bentuk-bentuk lain seperti kerana, kerena dan kerna. Oleh itu, kata kerana (bentuk ejaan baku bahasa Melayu) dieja juga sebagai karena, kerena dan kerna. Bentuk-bentuk, selain kerana, digunakan di negara jiran. Walaupun berkelainan ejaan, namun maksudnya tetap sama, iaitu hal yang menjadi sebab atau alasan

Begitulah bicara ringkas tentang kata karenah dan kerenah serta cara penggunaannya dalam bahasa Melayu. Semoga penjelasan ini bermanfaat kepada kita semua.

Bahasa Jiwa Bangsa...

Sumber : Pelita Bahasa, Portal Pendidikan Utusan, Kamus Dewan

..../kpBM

Tuesday 8 March 2011

MENGUASAI ATAU TIDAK MENGUASAI?

Hari ini tiba-tiba namaku dipanggil oleh seorang pentadbir semasa berada di bilik guru. Beliau ingin aku mmbantunya mendapatkan bilangan pelajar dari tingkatan 3 hingga 5 yang boleh menguasai dan tidak menguasai bahasa Melayu. Aku menerima dengan hati terbuka untuk membantunya kerana orang yang bertanggungjawab tiada di sekolah kerana tugas rasmi. Aku cuba mendapatkan maklumat daripada guru-guru yang mengajar BM walaupun hari ini aku mempunyai 6 masa dan guru bertugas juga. 

Sebenarnya perkataan  'menguasai' atau 'tidak menguasai' itu terlalu subjektif malah luas skopnya iaitu tidak spesifik. Bagiku maksudnya merangkumi semua aspek termasuklah tidak mahir berbahasa Melayu, tidak boleh berbahasa, tidak tahu membaca, tidak lulus ujian ( kurang 30 markah) dan lain-lain. 

Maklumat telah kuperoleh dan kutulis di dalam borang yang diberikan itu. Lantas kuserahkan kepada pihak yang berkenaan. Malangnya, setelah dilihat dan dibaca, seolah-olah dia tidak percaya? Betul ke ni? Seolah-olah tidak mahu menerima kenyataan, padahal itu adalah kenyataan!!! Alasannya, apakah  jawapan yang akan diberi nanti dalam mesyuarat berkaitan dengan hal itu? Sudah tentu jabatan akan mempersoal dan mengambil tindakan terhadap sekolah.

Renung-renungkanlah.......


Monday 7 March 2011

JANGAN SALAH LAGI

Pada masa ini,masih kedapatan sesetengah pengguna bahasa Melayu yang tidak dapat membezakan antara kata hamonim dengan homograf. Sebenarnya,kedua-dua kata tersebut mempunyai pertalian yang erat dalam ranah semantik bahasa Melayu. Hamonim merujuk kepada kata yang sama bunyi tetapi berlainan makna. Manakala Homograf merujuk kepada kata yang sama ejaan tetapi berbeza sebutannya.

    Contohnya:     Perkataan kaki, buku, ramai    
     Ayat:  a) Keluasan kebun durian yang dibeli olh Ustaz Abdul Aziz ialah 300 kaki persegi.
               b) Doktor terpaksa memotong kaki kiri Encik Sukiman yang menderita penyakit kencing manis sejak dua tahun yang lalu.

   Contohnya:     Perkataan sama, perang, rendang
    Ayat:   a) Wanita yang berambut perang itu ialah Pegawai Perancang Bahasa di PPD Gombak.
               b) Perang mulut antara Farid dengan Joshua telah diselesaikan oleh Cikgu Mat Lazim.


Tuntasnya, pengguna bahasa Melayu perlu mengenal kata hamonim dan homograf secara tekal agar penguasaan nahu bahasa Melayu mereka tidak menjadi cacamarba. Pengguna bahasa Melayu seyogianya tahu untuk membunyikan perkataan sama ada e-pepet atau e-taling.

wbn/2011

Sunday 6 March 2011

Bengkel Pendedahan Teks Baru KOMSAS BM

Satu bengkel pendedahan teks baru KOMSAS Bahasa Melayu untuk guru-guru BM Daerah Kuantan 2011 akan diadakan pada 8 & 9 MAC 2011 (Selasa dan Rabu)  ini bertempat di SK Pelindung, Kuantan. 

Sehubungan dengan itu, Ketua Panitia BM dan seorang guru yang mengajarkan Bahasa Melayu menengah rendah dikehendaki menghadiri bengkel tersebut.  

Guru yang akan menghadiri bengkel tersebut ialah :
1) Puan Roshanilawateuy Bt. Jusoh (KP BM 2011)
2)  Puan Zaimuni Bt. Hamzah (Guru BM menengah rendah & Pen. KP BM)

Guru-guru BM SMKTP yang lain akan didedahkan dengan maklumat yang diperoleh daripada bengkel berkenaan melalui Kursus Dalaman yang akan diadakan kemudian.  Diharapkan guru-guru BM Tingkatan 1,2,4 dan 5 akan memanfaatkan pengetahuan yang bakal diperoleh dalam kursus dalaman itu nanti.


.../kpBM

Thursday 3 March 2011

Pengesanan / Pencerapan Buku Latihan (2)

Mulai bulan lepas, pencerapan/ pengesanan buku latihan dibuat secara bergilir-gilir sebulan sekali mengikut bidang pada hari SELASA yang pertama setiap bulan.   Sekiranya hari Selasa jatuh pada hari cuti umum, penyemakan akan dibuat pada hari berikutnya, iaitu hari Rabu. Penyemakan buku ini dimulakan dengan Bidang Bahasa, diikuti oleh Bidang Kemanusiaan, Teknik dan Vokasional dan berakhir dengan Bidang Sains dan Matematik.  

Bermula pada minggu pertama bulan Februari, iaitu pada 8 FEBRUARI 2011, guru-guru di bawah Bidang Bahasa (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil) akan menghantar buku latihan / modul murid untuk disemak oleh Pengetua dan GPK1 di Bilik Mesyuarat mulai pukul 1.05 tengah hari.  Sebarang masalah atau kemusykilan berkaitan dengan kelas yang ajar boleh diajukan oleh guru untuk dibincangkan dengan Pengetua / GPK1 semasa perjumpaan tersebut berlangsung.

Pada minggu hadapan, iaitu hari SELASA, 8 MAC 2011, akan dijalankan penyemakan buku latihan untuk KALI KEDUA  bagi BIDANG BAHASA.  

Diharap tidak ada yang terlupa.... Pastikan buku latihan dihantar untuk disemak mengikut jadual yang telah ditetapkan.

.../kpBM

Tuesday 1 March 2011

SKSB Mac 2011


SEUNTAI KATA SEINDAH BAHASA
MAC  (PAGI)

PENYELARAS : CIK FUZIELLAH ABU BAKAR

1 MAC – 31 MAC 2011



1.                       BAKAT   
2.                       BAKHIL
3.                       BANCI
4.                       BANDUAN
5.                       BENCANA
6.                       BERDIKARI
7.                       BANTUT 
8.                       BIDUAN
9.                       BINASA  
10.              BAKI
11.              BANKRAP
12.              BELANTARA
13.              BUDAYA
14.              BUKTI
15.              BINGIT 
16.              BISA
17.              BAKTI
18.              BERKAT