Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Monday 21 February 2011

PENGUCAPAN AWAM 2

Pagi tadi, tibalah giliran pengucapan awam dalam bahasa Melayu semasa perhimpunan rasmi sekolah.  Ini merupakan persembahan murid yang kedua dalam bahasa Melayu yang menampilkan wakil daripada tingkatan 5S2, iaitu HEH YEE LIN.  Saya percaya semua murid dan guru bersetuju jika dikatakan persembahan pagi tadi boleh dijadikan contoh oleh murid-murid lain untuk persembahan pada minggu-minggu yang akan datang. 

Sebagai seorang Pengawas Pusat Sumber, Yin Lin menyampaikan beberapa maklumat yang jelas dan bermakna berkaitan dengan peranan dan kepentingan PSS kepada murid-murid SMKTP.  Penyampaian yang bersahaja, sebutan yang jelas, intonasi yang betul, dan tidak telalu laju temponya, menjadikan semua murid memberi perhatian terhadap pengucapan awam tadi.   Dengan menggunakan rangka ucapan yang agak ringkas, Yee Lin dapat menyampaikan maklumat tentang PSS dengan baik.    Persembahan tadi akan menjadi lebih sempurna sekiranya Yee Lin dapat membaiki sebutan bunyi  /t/ nya yang mempunyai pengaruh sebutan bahasa Inggeris. 

Tahniah Yee Lin.   Semoga persembahan murid selepas ini akan lebih baik lagi.   Tidak lupa ucapan terima kasih juga kepada guru BM 5S2, Tuan Hj Abdul Razak atas bimbingan dan tunjuk ajar beliau kepada anak muridnya ini.

.../kpBM

Friday 18 February 2011

PERKATAAN SEERTI

Di sekolah, guru bahasa kita sering membuat latihan mencari perkataan seerti.  Kadang-kadang kita bertanya, apakah kegunaan latihan seperti ini?  Tidakkah ini membuang masa sahaja?

Sebenarnya, banyak faedah yang dapat diperoleh daripada unsur perkataan-perkataan ini.  Dalam sesuatu bahasa terdapat banyak konsep dan banyak juga perkataan yang wujud untuk memperkatakannya.  Pengguna bahasa yang tahu memilih perkataan yang sesuai akan lebih berjaya menyampaikan maksud.  Jikalau perkataan yang tidak tepat digunakan, maksud yang hendak disampaikan itu kurang jelas dan mungkin mengelirukan.  

Sebagai contoh, ambillah perkataan 'membesar'.  Perkataan ini merupakan kata kerja tak transitif, yang membawa maksud umum menjadi besar atau bertambah besar.  Tetapi proses membesar ini melibatkan berbagai-bagai cara, dan bahasa Melayu mempunyai perkataan-perkataan khusus untuknya.  Apabila sebatang pokok membesar, kerap kali orang menyatakan pokok itu meninggi.  Burung atau kapal terbang yang sedang terbang ke angkasa juga dikatakan meninggi ke angkasa.

Apabila belon atau bola kempis dan dibesarkan dengan cara memasukkan angin, belon atau bola itu dikatakan mengembang.  Secara metafora, sesebuah industri, misalnya, dapat juga dikatakan sedang mengembang.

Sebuah senyuman yang semakin mesra (kerana bibir menjadi lebih lebar) dikatakan melebar.  Selain itu, meluas juga merujuk keadaan menjadi lebih besar, misalnya pengaruh yang semakin meluas.

Dapat disimpulkan bahawa, untuk konsep membesar sahaja, kita berhadapan dengan sekurang-kurangnya empat perkataan yang berkaitan maksudnya, iaitu meninggi, mengembang, melebar, dan meluas.  Ini belum lagi dikaitkan dengan kata kerja transitif membesarkan, yang lebih luas maksudnya, meliputi aspek-aspek seperti memperbanyak, memajukan dan menambahkan. 
Yang perlu disedari ialah kepersisan atau ketepatan bahasa tercapai sekiranya kita tahu tentang perkataan-perkataan seerti.  Perkataan-perkataan berkelompok dari segi makna, dengan tiap-tiap satu menekankan ciri tersendiri.  
Kita boleh, misalnya, menggunakan perkataan 'membesar' bagi menyatakan semua aspek yang dibincangkan di atas, tetapi perkataan-perkataan meninggi, mengembang, melebar dan meluas lebih tepat dengan situasi-situasi tertentu, dan oleh itu menjadikan bahasa Melayu lebih sempurna dan lebih indah.
Perhatikan contoh-contoh yang lain lagi.  Perkataan rajin membawa maksud giat dan bersungguh-sungguh melakukan sesuatu.  Antara perkataan lain yang membawa maksud yang sama ialah tekun, usaha, gigih, aktif, ligat, cergas.

Bagi perkataan tenang pula, antara yang seerti dengannya termasuklah : aman, tenteram, senyap, sunyi, sepi, damai, sabar, lega, nyaman, sentosa dan permai.  Jikalau kita hendak menggambarkan suatu pemandangan yang tenang, beberapa daripada perkataan ini amat sesuai.

Demikianlah, dengan ringkasnya, huraian tentang kesempurnaan bahasa yang dapat dicapai mealui pemilihan perkataan-perkataan sesuai mengikut maksud dan tujuan tertentu.  Baik bahasa apa sekali pun, kesedaran tentang hakikat perkataan seerti dan pengetahuan yang mendalam tentang aspek ini akan menghasilkan taraf penggunaan bahasa yang benar-benar canggih, dan seterusnya yang indah.  Demikianlah juga bagi bahasa Melayu.


.../ kpBM

Tuesday 15 February 2011

ganti nama dan kesantunan bahasa

 Perhatikan kedua-dua ungkapan ini :

a)  Mak Cik Aminah, awak dah makan?

b)  Cikgu, awak dah lama sampai?

Dalam bahasa Melayu, kedua-dua ayat di atas adalah betul dari segi tatabahasanya.  Yang salah ialah pilihan perkataan 'awak'.  

Mengikut tatasusila masyarakat Melayu, orang yang berpangkat Mak Cik dan bergelar Cikgu patut dihormati.  Jika kita memanggil seseorang itu Mak Cik, besar kemungkinan dia lebih tua daripada kita.  Seorang guru (tua atau muda) memang dihormati dalam masyarakat kita.  Oleh itu, tidak sesuai sekali digunakan kata ganti nama 'awak' kepada mereka.   'Awak' lazimnya digunakan oleh orang yang lebih tua kepada yang muda, dan oleh orang yang lebih tinggi pangkatnya kepada orang yang di bawahnya.  Yang lebih muda, atau lebih rendah pangkatnya, tidak boleh 'mengawakkan' orang yang lebih tua atau tinggi pangkatnya.

Inilah sebabnya ayat-ayat di atas tidak dapat diterima dalam masyarakat Melayu.  Cara yang lebih sopan santun ialah :

a) "Mak Cik Aminah, mak cik dah makan?" ATAU "Mak Cik Aminah dah makan?"

b) "Cikgu, puan dah lama sampai?"  ATAU  "Cikgu dah lama sampai?"

Daripada perbincangan di atas, kelihatan bahawa dalam bahasa Melayu penggunaan ganti nama agak rumit.  Kita mesti berhati-hati supaya tidak tersalah pilih kata ganti yang kurang sesuai.  Walaupun kata-kata ganti nama bahasa Melayu kelihatan biasa dan senang digunakan, namun kita harus berhati-hati kerana ada kalanya kita mungkin membuat kesalahan.  Tersalah pilih kata-kata ganti nama boleh membawa akibat buruk, iaitu melanggar peraturan kesantunan bahasa.  Itulah sebabnya kita kerap mendengar orang tua-tua merungut tentang seseorang itu yang "tak tahu bahasa".

.../kpBM

Tuesday 8 February 2011

Pencerapan / Penyemakan Buku Latihan 1

Mulai tahun ini penyemakan buku latihan oleh pihak pentadbir, khususnya oleh Pengetua dan GPK Pentadbiran & Kurikulum akan dilakukan pada hari Selasa setiap minggu.  Penyemakan atau pencerapan ini akan dilakukan secara bergilir-gilir mengikut bidang, yang dimulakan dengan Bidang Bahasa, diikuti oleh Bidang Kemanusiaan, Bidang Teknik & Vokasional dan berakhir dengan Bidang Sains & Matematik.  

Penyemakan buku latihan yang bermula pada hari ini (8 FEBRUARI) merupakan giliran bagi Bidang Bahasa. Semua guru bahasa (BM, BI dan BC) sesi pagi membawa buku latihan kelas yang telah ditetapkan ke Bilik Mesyuarat di bangunan blok baharu untuk disemak dan disahkan oleh Pengetua / GPK1.  Pengetua dan GPK1 sudah siap menunggu di Bilik Mesyuarat seawal pukul 1.00 th. 

Sebarang kemusykilan atau masalah boleh dikemukakan dan dibincangkan semasa perjumpaan tersebut. 

Semoga transformasi ini akan meningkatkan keberkesanan aspek kurikulum di SMKTP....

.../kpBM

Saturday 5 February 2011

PENTINGNYA BAHASA MELAYU

Mata pelajaran BM merupakan mata pelajaran teras. Mata pelajaran ini amat penting, lebih-lebih lagi bagi pelajar menengah atas. Murid-murid tingkatan lima yang menduduki SPM perlu lulus BM bagi memperoleh sijil SPM. Salah satu syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi juga memerlukan murid-murid lulus BM pada peringkat SPM.

Dalam mata pelajaran BM, murid-murid diajar beberapa kemahiran, seperti menulis dengan menggunakan tatabahasa dan ayat yang gramatis, Selain itu kemahiran membaca kuat dengan sebutan yang betul juga ditekankan. Pada peringkat yang lebih tinggi, murid-murid diwajibkan menjalani ujian lisan. Markah lisan ini akan menentukan pencapaian murid dalam lisan di peringkat SPM dan tertera pada sijil SPM mereka.


Setelah mengalami perubahan dan penambahbaikan, kemahiran KOMSAS telah diserapkan dalam mata pelajaran BM. Rasionalnya bagi menimbulkan minat pelajar terhadap sastera. Segala kemahiran yang digabungkan dalam mata pelajaran BM telah menjadikan mata pelajaran BM ini lebih lengkap dan menyeluruh.


.../kpBM 

Wednesday 2 February 2011

Bentuk Kata Dalam Bahasa Melayu

Bahasa terdiri daripada bunyi-bunyi yang bercantum membentuk perkataan.  Perkataan pula bercantum membentuk frasa dan ayat.  Melalui ayat kita menyusun buah fikiran lalu berhubung dengan ahli-ahli lain dalam masyarakat.

Dalam setiap bahasa terdapat pelbagai bentuk perkataan.  Dalam bahasa Melayu, misalnya, terdapat perkataan yang kecil binaannya, misalnya perkataan-perkataan seperti yu (sejenis ikan), ru (sejenis pokok), cat, sen dan roh.

Di samping itu, terdapat juga perkataan-perkataan panjang dan terdiri daripada beberapa suku kata, misalnya : belalang, mahkamah, kelongsong, laksana, munasabah, singgahsana, cenderawasih dan maharajalela.

Tatabahasa terdiri daripada dua komponen, iaitu bahagian perkataan dan bahagian ayat.  Mengikut istilah ilmiah, bahagian perkataan disebut morfologi, manakala bahagian ayat disebut sintaksis.

Dalam bahagian morfologi, dua perkara diberi perhatian, iaitu bagaimana perkataan-perkataan sesuatu bahasa itu terbentuk serta bentuk-bentuk kata yang terhasil, dan kedua, jenis atau jumlah golongan kata yang wujud.  Dalam bahasa Melayu terdapat EMPAT bentuk kata, iaitu :

(i)    Kata tunggal
- satu suku kata : contoh - am, gred, teks, baju, skrip
- dua suku kata :  contoh - aur, emas, doa, buku, kapal,  sendi, kampung, 
- tiga suku kata :  contoh - cuaca, belia, elaun, berlian, utara, amanah, keliru, bendera, tempayan
-  empat suku kata : contoh - keluarga, bijaksana, laksamana, sentiasa, bidadari, masyarakat, universiti

(ii)   Kata terbitan - dihasilkan melalui proses pengimbuhan
Contoh : pembaca (pem+baca), mendaki (men+daki), makanan (makan+an), menjalankan (men+jalan+kan), perasaan (pe+rasa+an)

(iii)  Kata majmuk - terbentuk apabila dua perkataan atau lebih bergabung dan membentuk perkataan baharu yang membaca makna tertentu.
Contoh : papan putih (papan+putih), pita suara (pita+suara), kapal terbang (kapal+terbang), jam tangan (jam+tangan).
Lazimnya dieja terpisah, melainkan beberapa bentuk kekecualian, misalnya antarabangsa, bumiputera, kakitangan, warganegara, jawatankuasa dan kerjasama.

(iv)  Kata ganda - perkataan yang mengalami proses pengulangan sama ada seluruh kata dasar atau sebahagian sahaja.  
Contoh:  pulau-pulau, tiba-tiba, lelaki, kekura, rerambut, sayur-mayur, gunung-ganang, anak-pinak.

.../kpBM

Tuesday 1 February 2011

SKSB Februari 2011


SEUNTAI KATA SEINDAH BAHASA FEBRUARI (PAGI)

PENYELARAS : CIK FUZIELLAH ABU BAKAR

7 FEB – 28 FEB 2011



1.                       ABSTRAK
2.                       ASAS
3.                       AKRAB
4.                       AMBANG
5.                       ARWAH
6.                       ATLET
7.                       ANALISIS
8.                       AWAM
9.                       AUTOMATIK
10.              ALAM
11.              AGENDA
12.              AKIDAH
13.              AGRESIF
14.              AKIBAT
15.              ANUGERAH