Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Saturday 30 July 2011

Refleksi Diri : TUGAS AHLI PANITIA

Setelah tujuh bulan berlalu...

SENARAI TUGAS GURU PANITIA 

1. Memiliki, memahami dan boleh mentafsirkan serta menghuraikan kandungan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran yang berkenaan.

2. Menjadi ahli panitia mata pelajaran, menghadiri mesyuarat panitia dan melaksanakan keputusan panitia;

3. Memahami dan mematuhi pekeliling dan arahan mata pelajaran yang diajar serta menentukan matlamat yang harus dicapai pada akhir penggal bagi setiap kelas;

4. Mempunyai Buku Rekod Mengajar yang kemaskini dan menyerahkannya kepada Pengetua / wakil pada masa yang ditetapkan (AP : 1996 Perkara 6 hingga 10);

5. Menyediakan Rancangan Pelajaran bagi mata pelajaran yang diajar dengan lengkap untuk tempoh setahun/ sepenggal/ seminggu/ harian dan melaksanakan pengajarannya mengikut Rancangan Pelajaran yang disediakan.

6. Menyedia dan memberikan kerja-kerja latihan bertulis yang mencukupi, memeriksa buku latihan murid dan memulangkan semula secepat mungkin. Menyerahkan/ menunjukkan buku latihan murid kepada Pengetua / wakilnya pada masa yang dikehendaki;

7. Menyedia dan menjalankan sistem penilaian dan pentaksiran termasuk ujian bulanan dan peperiksaan serta merekod semua penilaian tersebut, soalan dan markah dalam Buku Rekod Mengajar (AP : 1996);

8. Mengesan kekuatan dan kelemahan murid serta mengambil tindakan susulan (menjalankan kelas pemulihan/ bimbingan) serta bentang dalam mesyuarat kedua panitia;

9. Menghadiri mesyuarat / taklimat mengenai mata pelajaran yang dikelolakan oleh Kementerian, JPN dan PPD. Menyampaikan semula maklumat kepada guru lain yang mengajar mata pelajaran yang sama;

10. Melapor kepada Ketua Panitia / Guru Kanan mata pelajaran tentang masalah P & P untuk tindakan selanjutnya (cth : alat tidak cukup);

11. Menyimpan, merekod dan menggunakan buku panduan yang dikeluarkan oleh PPK/ JPN/ PPD;

12. Menjaga keselamatan dan kebersihan alatan ABM dan bilik khas;

13. Mengadakan sudut-sudut mata pelajaran berkenaan dalam kelas-kelas yang diajar;

14. Membantu menguruskan Bank Soalan;

15. Menjalankan tugas seorang kaunselor dan seorang guru disiplin;

16. Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Pengetua dari semasa ke semasa.


Renungan :

CERITA DUIT SYILING 1 SEN

“ Setiap daripada kita boleh diumpamakan sebagai 1 SEN. Bawalah ke mana-mana, apa-apa pun tidak dapat dibeli, tetapi kalau 1 SEN itu ialah syiling yang ke-100, ia dapat mengubah 99 SEN yang lain menjadi RM1.”

“Sendirian tidak penting, berkumpulan atau berpasukan mampu mengubah segala.”

“Kita mempunyai pilihan, sama ada untuk menjadi….

1 SEN sekeping @ 1 SEN pelengkap?”



.../kpBM





Monday 25 July 2011

Seminar & Bengkel PMR - Bahasa Melayu

Seminar & Bengkel Menjawab Soalan PMR telah diadakan sebagaimana yang dirancang pada awal tahun 2011.   Berikut adalah maklumat tentang seminar :

Penyampai / Penceramah : PUAN ROHANA BT. ABDUL PATAH

Kelompok Potensi Cemerlang (3K11 - 3K12)  - 25 Julai 2011 (Isnin) 
Kelompok Sederhana               (3K8 - 3K10)  - 26 Julai 2011 (Selasa)




PROGRAM PENINGKATAN PRESTASI MURID  PERINGKAT PMR 2011

PANITIA 
:   BAHASA MELAYU

NAMA PROGRAM

:   Seminar & Bengkel Menjawab Soalan PMR



RASIONAL/ MASALAH

Pelajar masih kurang arif tentang teknik menjawab soalan PMR yang betul dan berkesan.                                   


MATLAMAT / OBJEKTIF


  1. Memahami dan menguasai format menjawab soalan yang betul                             .  
  2. Menjawab soalan dengan menggunakan teknik-teknik yang berkesan.          


SASARAN


Pelajar PMR  kelompok  potensi Cemerlang dan Sederhana     

JANGKA MASA

Dua kali setahun – April dan Julai


SUMBER KEWANGAN

Unit Bimbingan dan Kaunseling



STRATEGI PELAKSANAAN

  1. Panitia dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling menjemput guru-guru yang berpengalaman menanda kertas PMR untuk mengendalikan seminar dan bengkel.
  2. Seminar dan bengkel dijalankan selama 3 jam. 
  3. Murid  akan didedahkan dengan teknik-teknik menjawab soalan dan mereka juga akan berpeluang menjawab contoh-contoh soalan peperiksaan.


PENILAIAN DAN SUSULAN

Latihan berterusan untuk mengukur tahap pencapaian secara individu.


KAWALAN

Kaunselor sekolah dan Ketua Panitia
 

Sunday 24 July 2011

Di mana atau di mana-mana....

Dalam slaid berikut terdapat penggunaan ‘di mana’ dan ‘di mana-mana’. Apakah perbezaan penggunaannya?

‘Di mana’ menggunakan kata tanya ‘mana’. Ayat contoh:
- Di manakah rumah awak?
- Ke mana sahajakah perginya adik awak?
- Buku awak yang mana?
- Manakah kakak awak?

‘Di mana-mana’ merupakan kata ganti tak tentu (mana-mana) bagi menggantikan nama tempat. Kata ganti tak tentu mana-mana boleh juga merujuk benda, atau orang yang tidak tentu. Ayat contoh:
- Tunggu saya, jangan pergi ke mana-mana?
- Awak boleh meminjam buku itu di mana-mana perpustakaan.
- Mana-mana peserta yang lewat, akan dikira kalah.
- Mana-mana yang awak hendak, ambillah.

Merujuk slaid di atas, yang manakah yang benar? Iklan atau tajuk berita? 


Yang benar ialah iklan ‘…yang tidak dapat (terdapat) di mana-mana’

Tajuk berita, ‘Jangan malu cakap bahasa Melayu di mana saja,’ sepatutnya ditulis: Jangan malu cakap (bercakap) bahasa Melayu di mana-mana saja. 

Penggunaan ‘di mana’ dalam tajuk tersebut merupakan kata tanya yang memerlukan jawapan, namun hal ini tidak sedemikian. Yang benar ialah ‘di mana-mana’ bagi merujuk tempat yang belum tentu.



Wednesday 20 July 2011

MEMBELI dan MEMBELIKAN

Petikan kali ini diambil daripada Buku Besar terbitan penerbit tempatan. Dalam petikan ini terdapat dua perkataan ‘membelikan’, namun hanya satu sahaja penggunaannya yang tepat.

'Membelikan’ bermaksud ‘membeli untuk seseorang’. Sekadar contoh:
- Abang Zali membelikan kakak sebuah komik.
- Aziz membelikan Zarina sekuntum bunga mawar.
- Tahar membelikan adiknya sebatang pen.

Frasa yang mengikuti ‘membelikan’ iaitu kakak, Zarina, dan adiknya dinamakan objek tepat (OT). Sementara frasa yang mengikuti objek tepat, iaitu sebuah komik, sekuntum bunga mawar, dan sebatang pen dikatakan objek sipi (OS). 
Semua ‘objek tepat’ selepas ‘membelikan’ hendaklah terdiri daripada seseorang.

Jadi, yang manakah ayat yang betul antara kedua-dua ayat berikut:
- Ayah membelikan Izat (OT) sebuah tangki (OS), atau
- Ibu membelikan batu-batu kecil dan pasir.

Jawapannya ialah ayat pertama.
 
Ayat kedua boleh dikemaskan sebagai:
Ibu membeli batu-batu kecil dan pasir, atau 
Ibu membelikan Izad (OT) batu-batu kecil dan pasir (OS).
 
sumber : Murninya Bahasaku
...kpBM

Monday 18 July 2011

JANGAN DEKAT...

Kedua-dua papan tanda ini telah kita lihat sejak zaman kolonial lagi. Malah, ejaannya masih dalam peraturan lama.

Yang menarik perhatian saya ialah papan tanda 

BAHAYA – JANGAN DEKAT
Kekata 'jangan' biasanya membentuk ayat larangan. Bagi membentuk ayat larangan, biasanya kita menerapkan kata perintah 'jangan', 'usah', atau 'tak usah'. Lazimnya kekata yang mengikuti kata perintah ini kata kerja dengan tujuan untuk melarang seseorang daripada melakukan perkara yang dinyatakan. Contoh :

- Jangan berbuat bising
- Jangan duduk di sini
- Jangan pusing ke belakang, dan sebagainya.
- Jangan masuk


Perkataan dekat dalam papan tanda tersebut bukanlah kata kerja. Kekata dekat itu kata adjektif. 


Oleh itu, ayat larangan ‘Jangan Dekat’ itu salah. 

Seharusnya ayat itu berbunyi ‘Jangan Mendekat’ atau 'jangan datang dekat'. Begitu juga dengan papan tanda yang selalu kita temui di perpustakaan; 'Jangan bising', sepatutnya ‘Jangan berbuat bising’.

.../kpBM


Saturday 16 July 2011

Melapor atau Melaporkan....

Petikan ayat di dalam slaid di sebelah :
"Wartawan Riz Sunawan melaporkan," hendaklah disudahi dengan objek. Objek tersebut boleh berupa kenyataan yang sebelum ini disebutkan atau sekadar menerapkan kekata "nya" sahaja bagi melengkapkan ayat yang berbentuk ayat transitif aktif. 
Ayat tersebut boleh dilengkapkan begini:  
Wartawan Riz Sunawan melaporkannya (perkara itu, berita itu, pelancaran Bulan Bahasa ini, dan sebagainya)

Kalau tidak mahu menerapkan objek, kita boleh membentuk ayat tak transitif dengan menulis begini: Wartawan Riz Sunawan melapor.

Kata terbitan melapor tidak wujud dalam Kamus Dewan. Menurut Kamus Indonesia, melapor bermaksud memberitahu, atau mengadu. Kedua-dua kamus menerapkan kata terbitan pelapor. Jika ada pelapor bermakna ada tugasnya iaitu melapor (tidak memerlukan objek) dan melaporkan (perlu dilengkapi objek).


sumber : MURNINYA BAHASAKU

 .../kpBM 

Thursday 14 July 2011

MEMPERKAYAKAN,,.?

Perhatikan ayat yang terkandung dalam lelaman web ini :  
 
Bagi memperkayakan pengetahuan guru-guru Melayu, dua buah program telah disediakan untuk guru-guru Bahasa Melayu.

Apitan memper...kan hanya bergabung dengan kata yang tergolong sebagai kata nama dan kata kerja.  

Penggunaan kata adjektif (kaya) dengan apitan tersebut dianggap tidak tepat. Begitu juga dengan kata terbitan berikut: memperdalamkan, memperbanyakkan, memperbesarkan, memperhebatkan dan sebagainya.

Pembentukan dengan kata adjektif yang tepat ialah dengan menggunakan awalan memper- sahaja (tanpa akhiran -kan).
Jadi ayat tersebut hendaklah ditulis: 
Bagi memperkaya pengetahuan guru-guru Melayu, dua buah program telah disediakan untuk guru-guru Bahasa Melayu. 
Begitu juga dengan perkataan memperdalam, memperbanyak, memperbesar, memperhebat, dan sebagainya.

Awalan memper- yang bergabung dengan kata adjektif membentuk makna menjadikan lebih daripada kekata yang digabungkan.
 
Memperkaya bermaksud menjadikan lebih kaya atau bertambah kaya (sudah kaya menjadi bertambah kaya), sementara mengayakan (apitan meN…kan yang bergabung dengan kaya) bermaksud menjadikan kaya (belum kaya menjadi kaya).


.../kpBM

Tuesday 12 July 2011

Pengunaan kata 'pun'....

"Menurut para menteri ekonomi ASEAN, langkah-langkah konkrit telahpun diambil oleh beberapa pihak..."

Perhatikan penggunaan telahpun.  Perkataan tersebut hendaklah ditulis terpisah menjadi 'telah pun'.

Penggunaan 'pun' yang ditulis bergabung dengan perkataan sebelumnya merupakan golongan kata pangkal ayat, kata hubung, dan sebagainya.  

Terdapat sejumlah perkataan yang berbentuk demikian seperti 'adapun', 'ataupun', 'andaipun', 'bagaimanapun', 'biarpun', 'kendatipun', 'kalaupun', 'lagipun', 'mahupun', 'meskipun', 'sekalipun', 'sungguhpun', dan 'walaupun'.

Penggunaan 'pun' yang ditulis terpisah pula membawa maksud 'juga', 'bahkan', serta 'biar' dan membentuk perkataan yang tergolong dalam kata penegas, atau disebut partikel.  Perkataan-perkataan lain ialah 'sudah pun', 'apa pun', 'apa-apa pun', 'dia pun', 'mereka pun' dan sebagainya.

Perhatikan dua ayat berikut :

1)  Adapun istana raja itu terletak di puncak Bukit Seguntang.
2)  Kedua-dua adik-beradik kembar itu ada pun di majlis itu.  

'Pun' dalam ayat (1) merupakan kata pangkal ayat dan 'pun' dalam ayat (2) ditulis terpisah kerana bermaksud 'juga'.


sumber : Murninya Bahasaku 


.../kpBM

 

Sunday 10 July 2011

Yuran atau Sewa....?

Banyak sekali kesilapan bahasa dalam kain rentang ini.  Sila tumpukan butiran yang ditandakan.

Pembayaran dengan wang ada pelbagai cara dan bentuk.  Kalau kita bayar wang kerana menaiki kenderaan, kita sebut wang tambang.  Kalau kita bayar wang kerana menggunakan ruang, bilik, kereta, rumah dan sebagainya, kita sebut wang sewa.  Kalau kita bayar wang kerana menjadi anggota sesuatu kumpulan / pertubuhan atau menjadi penuntut sesebuah pusat pembelajaran, kita sebut wang yuran.  Begitu juga dengan wang pampasan, wang cengkeram, wang sogokan, duit kopi, wang gaji, wang sara, wang hantaran (wang mahar), wang belanja pasar, wang pokok, wang pertaruhan, wang perlindungan dan sebagainya.

Pada kain rentang di sebelah, penggunaan perkataan yuran bagi menyewa gerai tidak tepat.  Yang tepat ialah sewa. 

Friday 8 July 2011

PEGERAI ATAU PENGGERAI...?

Biasanya kata dasar gerai jika diberi awalan 'peN-' membentuk kata terbitan penggerai.  Potongan akhbar di sebelah menggunakan kata "Wahai pegerai, bertanggungjawablah..."  

Apakah perbezaan antara kata 'penggerai' dengan 'pegerai'?

Gerai yang menerima awalan 'peN-' (penggerai) bermaksud kerek (roda yang memakai tali atau rantai / alat untuk menaikkan dan menurunkan barang berat; kapi, takal) dan gerudi.  Jadi penggerai bermaksud penggerek atau penggerudi.  

Sementara gerai yang satu lagi bermaksud kedai kecil dan menerima awalan 'pe' (tidak tertakluk dalam hukum morfofonemik) bagi menerbitkan kata terbitan 'pegerai' yang bermaksud orang yang bergerai atau orang yang mengusahakan gerai (pengusaha gerai).

Banyak kata Melayu yang menerima awalan 'pe', seperti petenis, pesilat, pesakit, pegolf, dan lain-lain lagi.
Sumber :  Murninya Bahasaku, Kamus Dewan.

.../kpBM



Wednesday 6 July 2011

Seminar Peperiksaan Bahasa Melayu SPM

Seminar menjawab soalan peperiksaan bagi mata pelajaran  Bahasa Melayu Kertas 1, telah diadakan untuk calon SPM 2011.  


Tarikh :
5 JULAI 2011 (SELASA)

Tempat :  Dewan SMK Tanah Putih

Penceramah  :  
ENCIK AKHIRUDDIN  
(GC BM, SMK Sungai Soi, Kuantan)

Sasaran :  
Kelompok Potensi Cemerlang (5S1, 5S2, 5S3, 5J dan 5D)

.../kpBM 

 

Monday 4 July 2011

Tahniah

Mr. See di majlis Sambutan Hari Guru 2010
Saya bagi pihak ahli Panitia Bahasa Melayu, SMKTP ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada ENCIK SEE KOON SUAN, yang telah dilantik sebagai Ketua Bidang Bahasa SMKTP yang baharu berkuatkuasa pada 1 JULAI 2011.
Pn. Yip di  majlis Mesyuarat Agung PIBG 201
Encik See yang merupakan ahli panitia Bahasa Inggeris telah menggantikan Puan Yip Wai Lin  yang telah bersara pilihan sejak 1 JUN 2011. 




.../kpBM


Sunday 3 July 2011

Selamat Datang....

EN. LOH SAI HENG, Pengetua Cemerlang
Saya bagi pihak Panitia Bahasa Melayu SMKTP mengalu-alukan kedatangan pengetua baharu SMK Tanah Putih, iaitu Yang Berusaha ENCIK LOH SAI  HENG.   Beliau telah melaporkan diri di SMKTP pada 11 JUN 2011.

En. Loh yang dilahirkan pada 25 NOVEMBER 1955 dan berasal dari Bentong ini merupakan seorang Pengetua Cemerlang.  Sebelum ini beliau menjadi Pengetua Cemerlang di SMK Ketari, Bentong sejak April 2008.  

SELAMAT DATANG...  Semoga SMK Tanah Putih akan menempa lebih banyak kejayaan di bawah pimpinan Encik Loh.  

Esok, 4 JULAI, perhimpunan rasmi yang pertama dengan pengetua baharu SMKTP.

.../kpBM


Friday 1 July 2011

SKSB Julai 2011


SEUNTAI KATA SEINDAH BAHASA
JULAI  (PAGI)
PENYELARAS :  PUAN SEPINAH HJ MAT DAUD

1 JULAI – 31 JULAI 2011



1.                       FAJAR   
2.                       FAKIR   
3.                       FALAK    
4.                       FASIH  
5.                       FANATIK
6.                       FANTASI  
7.                       FANTASTIK
8.                       FASILITATOR
9.                       FIGURA  
10.              FIRASAT
11.              FORENSIK
12.              FIRMA    
13.              FISIOLOGI
14.              FITNAH  
15.              FITRAH
16.              FORMATIF
17.              FORUM
18.              FUTURISTIK
19.              FALSAFAH
20.              FANA