Hari ini, penggunaan kata bahasa Inggeris "yang dimelayukan" sudah menjadi pilihan,kalaupun tidak dikatakan kegemaran komuniti bahasa Melayu. Nampaknya, seolah-olah kata-kata itulah kata bahasa Melayu asli, tiada yang lain lagi. Berikut ialah beberapa contoh kata serapan daripada bahasa Inggeris yang menjadi pilihan oleh banyak orang, dan sering digunakan dalam berbahasa.
ANALISIS
Kata nama analisis berasal daripada kata analysis dalam bahasa Inggeris. Kata ini sering disalah eja atau ucap sebagai "analisis". Ejaan yang betul tetaplah analisis bukan "analisis" dan wajar diucapkan sebagai [analisis]. Analisis bermaksud penyelidikan atau penghuraian sesuatu (spt. keadaan, masalah, persoalan, dll) untuk mengetahui pelbagai aspeknya (ciri-cirinya dll) secara terperinci atau mendalam. Analitis pula membawa maksud bersifat analisis.
DEFINISI
Kata nama definisi berasal daripada kata definition dalam bahasa Inggeris. Kata ini sering disalah eja atau ucap sebagai "definasi". Ejaan yang betul tetaplah definisi bukan "definasi", dan wajar diucapkan sebagai [definisi]. Definisi bermaksud takrif, iaitu keterangan yang ringkas dan padat bagi menjelaskan konsep atau makna sesuatu kata, frasa, dan lain-lain.
Contoh penggunaannya : Dalam kamus, perkataan diberikan definisi dan dituruti oleh kata seerti.
Walaupun kata definisi begitu lumrah digunakan, wajar juga kata takrif digalakkan penggunaannya. Setidak-tidaknya kita meragamkan penggunaan kata dalam binaan ayat.
HOS
Kata hos begitu meluas digunakan oleh media massa, dengan maksud orang yang mengendalikan sesuatu rancangan, khusus rancangan yang bercorak hiburan. Dalam bahasa Inggeris, kata ini dieja sebagai host.
Kata asli bahasa Melayu yang mempunyai pengertian yang sama dengan kata hos ialah "pengacara". Kata "pengacara" dibentuk daripada kata dasar "acara". Ayat contoh penggunaan kata hos ialah :
Penyanyi terkenal itu akan menjadi hos rancangan mingguan pada malam esok.
Selain makna pengacara, hos bermaksud orang yang meraikan tetamu dalam sesuatu majlis atau upacara. Contoh ayatnya :
Siti Salwa menjadi hos pada majlis hari terbuka anggota keluarganya.
Jadi, agar dapat dilihat ciri kemelayuannya, maka kata pengacara seharusnya menjadi pilihan yang sesuai.
Demikian, beberapa patah kata bahasa Inggeris yang digunakan dalam bahasa Melayu, tetapi ada padanan yang sungguh mudah dan pernah digunakan secara meluas sebelum ini. Patutlah kita menggunakannya.