Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Thursday 30 June 2011

KOMEDI atau KOMIDI...?

Perkataan komedi (huruf 'e' dalam ejaan kata ini ialah vokal 'e' taling) kadang-kadang disebut sebagai komidi. Ada orang menyebut komidi untuk maksud komedi.

Komedi dan komidi merupakan dua perkataan yang bukan bersinonim kerana kedua-duanya membawa maksud yang sungguh berbeza. Oleh itu kedua-duanya tidak saling berganti.

Perkataan komedi berasal daripada perkataan bahasa Inggeris "comedy". Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, halaman 807, komedi membawa maksud :

1. drama, filem, dsb yang ringan dan lucu, biasanya berakhir dengan kegembiraan.
2. genre sastera yang berkait dengan hak-hal lucu atau serius dengan cara menyindir.

Komidi pula merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4, halaman 808 membawa maksud :

1. pertunjukan (permainan) sandiwara, lakonan (drama di pentas, dsb)
2. pertunjukan (spt gerak badan atau berbagai-bagai jenis senaman) spt bertunggang balik, berayun
3. perbuatan yang berpura-pura (tidak sungguh-sungguh), perlakuan yang dibuat-buat, lawak.

Ringkasnya, komidi bermaksud pertunjukkan pelbagai kepandaian gerak badan dalam senaman, misalnya permainan akrobatik. Bentuk mainan begini dapat kita lihat dalam pertunjukan sarkas, atau pertunjukan tatu. Selain itu, komidi juga membawa maksud suatu lakonan di pentas. Jika kita mengatakan komidi bangsawan, maksudnya sandiwara tentang cerita-cerita lama, khususnya tentang raja-raja. Sekiranya seseorang melakukan perbuatan yang tidak berterus-terang seperti berdolak-dalik dalam percakapan; atau perilakunya berpura-pura, maka dikatakan orang itu berkomidi.

Jelaslah betapa besarnya perbezaan antara perkataan 'komedi' dengan 'komidi'. Oleh itu untuk kita menyatakan maksud sesuatu yang lucu, maka perkataan yang tepat ialah komedi, bukannya komidi...!

Kita seharusnya mengetahui perbezaan perkataan yang seakan-akan sebunyi yang sudah pasti berbeza maksudnya, agar kita dapat membuat pilihan yang tepat untuk mendukung sesuatu maksud yang khusus.

Demikian, dapatlah kita berbahasa dengan persis....

.../kpBM

Tuesday 28 June 2011

Pencerapan Fail Individu PLBS / ULBS

Pencerapan fail individu PLBS bagi mata pelajaran Bahasa Melayu telah diadakan hari ini.  Pencerapan yang dilakukan oleh GPK Kurikulum, Encik Chan Seng Fook bermula pada pulul 12.30 tengah hari bertempat di Makmal IT itu melibatkan semua guru BM sesi pagi dan sesi petang. 

Markah ULBS Tingkatan 5 sudah selesai direkodkan oleh Ketua Pentaksir Sekolah, Puan Noraisah Ab. Rani.  Guru Tingkatan 3 perlu menyerahkan markah PLBS kepada Ketua Pentaksir Sekolah selewat-lewatnya pada 4 Julai ini untuk direkodkan.  

Manakala, guru BM Tingkatan 1, 2 dan 4 pula perlu meneruskan pentaksiran kedua sebagaimana yang telah dijadualkan. 


Saturday 25 June 2011

Kata ganda (4) : jambu-jambu

cambu air
Jambu ialah nama sejenis tumbuhan yang buahnya dapat dimakan.  Di negara ini, begitu banyak jenis jambu dapat kita temukan, seperti jambu air, jambu batu, jambu mawar dan jambu golok.

Bentuk kata ganda jambu-jambu, selain bermaksud banyaknya bilangan buah jambu, juga bermaksud bulu-bulu, atau jambul pada bahagian hujung tombak atau lembing.  Lazimnya, jambu-jambu ini pelbagai warna.


.../kpBM

Thursday 23 June 2011

Kata ganda (3) : ulam-ulam

pelbagai jenis ulam = ulam-ulaman
Ulam nama daun-daunan atau buah-buahan mentah yang muda yang dimakan bersama-sama dengan nasi.  Nama lain bagi kata ulam ialah lahap.  

Kata ulam-ulam tidak menggambarkan pelbagai jenis ulam.  Untuk maksud pelbagai jenis ulam, haruslah disebut ulam-ulaman; bukan ulam-ulam atau ulaman, kerana maksud ulam-ulam dan ulaman tidak lagi merujuk maksud daun-daun atau buah-buahan mentah yang muda.  

Sebaliknya, kata ulam-ulam dan ulaman bermaksud perempuan simpanan atau gundik.

Sumber :  Dewan Siswa Mac 2010


.../kpBM

Wednesday 22 June 2011

Selamat Bersara Pn. Yip

Di MS. Garden Annual Dinner 2007
PUAN YIP WAI LIN, Guru Kanan Bahasa SMK Tanah Putih telah bersara pilihan mulai 1 JUN 2011.  Warga SMKTP khususnya Panitia Bahasa Melayu mengucapkan SELAMAT BERSARA kepada Pn. Yip.   


Staf SMKTP 2010
Majlis persaraan beliau akan diadakan pada pagi esok  bertempat di Dewan SMKTP....    


Hari Guru 2010




Mesyuarat Panitia BM 1/201


Jasa Pn. Yip sepanjang beliau berkhidmat di SMKTP,  khususnya dalam meningkatkan prestasi Jabatan Bahasa SMKTP akan tetap dikenang.   

AGM PIBG SMKTP 2011

Buat Pn. Yip, 

Bak air yang mengalir,
Tiba juga kiranya di muara waktu,
Di sini kami pasti merindu,
hakikat seorang individu,
Ketua Bidang kami yang satu.
Jelinglah kami jika rindu masih bertamu,
Sapalah kami andai mesra akrab berpadu!

Selamat berangkat dalam doa berkat,
Selamat istirahat dari segala muslihat,
Selamat bersara dengan senyuman mesra!
Senyumlah seindah suria,
Setelah mencurahkan segala-galanya,
Pasti beroleh kepuasan dan kebahagiaan.....

Bak air yang mengalir,
Sampai di sini kenangan indah pasti terukir....

Semoga Pn. Yip akan sentiasa sihat dan lebih bahagia mengharungi alam persaraan.
Terima kasih, Pn. Yip.... 

.../kpBM

Tuesday 21 June 2011

Kata Ganda (2) : Pisang-pisang dan gading-gading....

sesikat pisang emas
 Pisang ialah nama sejenis tumbuhan.   Buahnya bertandan atau bersikat-sikat.  Ada pelbagai jenis pisang, seperti pisang emas, pisang embun, pisang manila, dan pisang tembaga.  

rangka sebuah perahu
Pisang-pisang, selain bermaksud banyak pisang, kata ini mendukung erti bahagian dalam perahu.  Rangka perahu ini, kadang-kadang disebut gading-gading perahu.

gading seekor gajah
Kata ganda gading-gading berasal daripada kata tunggal gading.  Kata gading sahaja mendukung beberapa maksud, termasuklah tulang keras yang disebut taring.  Gajah merupakan binatang yang mempunyai gading.  Dalam istilah sastera lama bahasa Melayu, gading bermaksud sepasang pengapit yang mengiringi pengantin.

.../kpBM

Sunday 19 June 2011

Kata Ganda (1) : Pasu-pasu

 Kata ganda merupakan satu bentuk kata terbitan.  Dalam bahasa Melayu, terdapat tiga jenis kata ganda, iaitu ganda penuh (budak-budak, anak-anak), ganda separa (lelabi, tolong-menolong), dan ganda berentak (lintang-pukang, huru-hara)

Sesuatu kata dasar (kata tunggal) mendukung makna yang khusus tentang sesuatu konsep.  Misalnya, kata 'dan' bermaksud 'serta' dan 'dengan'.  Namun begitu, apabila kata 'dan' digandakan menjadi 'dan-dan', maknanya bukan lagi 'serta' atau 'dengan', tetapi membawa pengertian 'dengan segera'.  Bentuk dan makna kata ganda seperti ini banyak terdapat dalam kata ganda yang lain.

Pasu dan pasu-pasu :

Pasu ialah nama sejenis bekas yang diperbuat daripada tanah dan lain-lain untuk diisi dengan tanah bagi menanam pokok.  Kata pasu digandakan menjadi pasu-pasu.  Maksud pasu-pasu ialah tulang pipi.

Sumber : Dewan Siswa Mac 2010

.../kpBM

Thursday 16 June 2011

RAJIN MEMBACA CEKAP BERBAHASA

Catatan ini khusus untuk anak-anak didikku yang bakal menduduki peperiksaan tahun ini. Kepada mereka yang bakal menduduki peperiksaan tahun ini, mulalah dengan azam dan tekad untuk berusaha sedaya upaya. Langkah yang paling wajar dalam menghadapi peperiksaan adalah dengan membuat persediaan awal. Tidak ada gunanya bermain-main dahulu, kemudian bertungkus-lumus pada saat-saat yang akhir. Proses pembelajaran memerlukan waktu yang panjang, terutamanya bagi pembelajaran bahasa.

Menguasai bahasa mengambil masa yang lama. Aspek-aspek bahasa tidak boleh dihafalkan dalam masa dua tiga minggu. Menurut Prof. Dato' Dr. Nik Safiah Karim, bahasa diibaratkan suatu tabiat, yang perlu dipupuk, dibelai dan dibaja senantiasa. Proses ini memerlukan waktu. Oleh itu, jikalau anda hendak menjadi seorang pelajar yang pandai berbahasa Melayu, yang dapat menggunakan bahasa tersebut bukan sahaja mengikut peraturan-peraturannya yang betul, tetapi juga yang memperlihatkan unsur-unsur keindahan, maka hendaklah anda membuat persiapan-persiapan awal.

Satu cara yang amat berkesan adalah dengan
menjadikan tabiat membaca satu amalan harian, iaitu membaca contoh-contoh penggunaan bahasa yang baik, betul dan indah. Carilah bahan-bahan yang sesuai dan jadikanlah tabiat membaca sebagai rekreasi harian.

Terdapat berbagai-bagai sebab seseorang itu membaca. Satu sebab yang amat berkait dengan dunia seorang pelajar ialah membaca buku
untuk mencari ilmu pengetahuan, terutama daripada buku-buku teks. Membaca jenis ini wajib dilakukan oleh semua pelajar.

Satu sebab lagi orang membaca, ialah
membaca untuk rekreasi. Dalam konteks ini kita membaca bukan semata-mata untuk mengutip ilmu yang ada dalam bahan yang dibaca, walaupun ini tetap berlaku setiap kali kita membaca. Membaca untuk rekreasi bermaksud, kita membaca untuk kegembiraan, untuk menghayati bahan yang dibaca.

Walau apapun tujuannya kita membaca, yang pasti dengan aktiviti
membaca menjadikan penguasaan bahasa kita baik dan bertambah cekap....

Memupuk tabiat membaca tidaklah terlalu sukar. Yang penting, sikap anda harus positif. Anda membaca kerana mahu membaca, tidak kerana disuruh oleh guru atau ibu bapa anda. Selain itu, anda berasa gembira sewaktu membaca. Dengan kata lain, bahan-bahan yang anda baca itu menarik dan dapat anda hayati. Tidak ada yang menjemukan. Jikalau terdapat bahan yang menjemukan, tinggalkan sahaja bahan itu, lalu cari yang lain yang lebih menarik.

Bahasa yang digunakan untuk menulis bahan itu juga harus menarik. Anda terpesona dengan pilihan kata-kata tertentu; anda tertarik dengan cara pengarang menghuraikan sesuatu perkara atau peristiwa. Ada kalanya anda begitu tertarik sehingga mahu membaca sesuatu petikan itu sekali lagi, dan seterusnya untuk kali ketiga.

Demikianlah, jikalau perkara-perkara di atas berlaku pada diri anda, bolehlah dikatakan anda sudah separuh jalan dalam proses pemupukan tabiat membaca. Teruskanlah usaha ini; sudah pasti anda akan mendapat manfaat yang besar. Apabila itu berlaku, anda juga sudah separuh jalan ke arah penguasaan bahasa yang baik.


Yang pasti, bahasa yang baik dapat dikuasai melalui tabiat membaca....



Tuesday 14 June 2011

BICARAWARA, JERAYAWARA

Dalam persada bahasa Melayu, terdapat perkataan wara atau bentuk ejaan wara di bahagian akhir sesuatu suku perkataan.  Mungkin ada dalam kalangan kita yang pernah menemukan perkataan seperti bicarawara, candawara, jerayawara dan seumpamanya.  Tahukan anda apakah maksud perkataan-perkataan tersebut?

1. Wara
Perkataan wara (wara-wara) berasal daripada bahasa Jawa yang bermaksud pemberitahuan, pengumuman dan pengisytiharan.  Pewara ialah pembawa acara dalam sesuatu majlis, atau lebih tepat kita katakan pengacara atau juruacara.

2.  Bicarawara
Perkataan ini merupakan terjemahan daripada perkataan bahasa Inggeris talkshow.  Bicarawara bermakna suatu rancangan yang mengandungi temu bual antara pewara dengan tetamu undangan berkaitan dengan sesuatu tajuk tertentu.  Dengan maksud yang lain, bicarawara ialah rancangan temu bual.  Perbuatan temu bual itu disebut wawancara.
3.  Candawara
Dalam bahasa Inggeris, candawara ialah gameshow.  Kita sering menonton satu rancangan berbentuk permainan, atau berbentuk pertandingan.  Para peserta yang mengambil bahagian dikehendaki menjawab soalan ataupun membuat sesuatu untuk menang.

4.  Jerayawara
Jerayawara bermaksud sesuatu ceramah, pameran, pertunjukan, persembahan yang diadakan dari satu tempat ke satu tempat lain, dengan tujuan memberikan penjelasan, memberikan hiburan, mempromosikan barangan dan sebagainya kepada khalayak.  Ceramah politik merupakan satu bentuk jerayawara.  Kebanyakan orang menggunakan kata roadshow, kerana itulah makna jerayawara dalam bahasa Inggeris.

5.  Purbawara 
Drama sebabak yang mengisahkan cerita kuno, yakni kisah raja-raja zaman dahulu, seperti kisah Dandan Setia, Raja Laksmana Bentan dan lain-lain.  Kebiasaannya, persembahan lakonan ini disertai nyanyian dan tarian.  Bentuk lakonan seperti ini dinamai juga bangsawan.

6.  Sandiwara
Sandiwara berkaitan dengan lakonan juga.  Kata lain yang sinonim dengannya ialah drama, teater dan tonil, yang dahulunya dilakonkan di atas pentas.  Selain makna ini, sandiwara juga bermaksud sesuatu kejadian yang tidak bersungguh-sungguh dengan tujuan mengabui mata sahaja.  Maksud ini terkandung dalam ayat : 
Di depan ibunya dia pandai bersandiwara seolah-olah pergi belajar, pada hal sebenarnya dia pergi menonton filem.

Demikian perihal makna beberapa perkataan yang mempunyai bentuk wara.  Semoga kita semua jelas akan maksud perkataan-perkataan tersebut.

Sumber : Cintai Bahasa Kita, Dewan Siswa Nov. 2009

.../kpBM



Thursday 9 June 2011

Berpindah Sekolah

Kejohanan Olahraga Tahunan 2010
Hari Guru 2010
Seorang ahli Panitia BM akan bertukar ke sekolah baharu setelah permohonan beliau untuk bertukar sekolah  diluluskan beberapa hari sebelum sekolah mula bercuti akhir Mei lepas. 

Beliau ialah ENCIK MOHD ZAHID B. HJ RAMLI.

Kudapan semasa Bengkel KOMSAS akhir Mac 2011
Bagi pihak Panitia BM, saya ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan Cikgu Mohd Zahid selama satu tahun lebih  berkhidmat di SMKTP.   Beliau akan mula bertugas di sekolah baharu selepas sesi persekolahan Penggal Kedua bermula pada 13 Jun ini.

Semoga Cikgu Mohd Zahid akan lebih berjaya di tempat baharu.

.../kpBM

Wednesday 1 June 2011

SKSB Jun 2011

SEUNTAI KATA SEINDAH BAHASA
JUN  (PAGI)

PENYELARAS :  PUAN ADHIPAH BT. KANDAR

13 JUN – 30 JUN 2011



1.                       EKSOTIK
2.                       EKSPOSISI
3.                       EMANSIPASI
4.                       EMOSI 
5.                       ERAM    
6.                       EKSPRESI
7.                       EKSTREM
8.                       ELEMEN
9.                       ELIT     
10.              ENDAH 
11.              ENCAT   
12.              EVOLUSI 
13.              ESTETIKA
14.              ESKALATOR