Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Tuesday 28 February 2012

Belakang parang pun jikalau diasah nescaya tajam



MAKSUD :
1) seseorang yang bodoh sekalipun, jika diajar betul-betul akan menjadi pandai
2) orang yang sabar dan setia, jika dihasut boleh juga menjadi jahat


SITUASI :

Setitis air boleh melekukkan batu sekiranya berterusan. Pantai akan berubah sekiranya ombak terus-terusan memukul. Hujung kayu tidak akan lancip sekiranya tidak diruncingkan. Belakang parang yang tebal dan majal boleh menjadi tipis dan tajam sekiranya terus diasah.

Begitulah juga, seseorang yang kurang pintar akan berubah menjadi cerdik sekiranya terus dididik dengan sempurna dan sabar. Seseorang anak yang kurang ilmu pengetahuan akan bertambah bijak sekiranya dididik dengan unsur tarbiyah yang memikatnya dan menikmatkannya. Pokoknya, kita jangan cepat bosan mengerjakan sesuatu sebelum mencapai kejayaannya.

Hal yang serupa juga boleh berlaku daripada yang murni, tulen dan positif kepada yang cemar, palsu dan negatif. Seseorang yang baik budi pekertinya akan berubah menjadi celupar, dan ganas sekiranya disuguh dengan hal-hal yang tidak baik.

PANTUN :

Anjing garang jangan direjam,
     Dapat gilir mengejar kita;
Belakang parang akan tajam,
     Diasah dikilir dengan serata.

Sumber : Cikgu Naim Daipi

...kpBM

Saturday 25 February 2012

HUKUM D-M

Hukum D-M digolongkan dalam Frasa Nama. Kerap kita mendengar orang berkata ‘goreng pisang’ untuk merujuk kepada frasa nama ‘pisang yang digoreng’. Seharusnya bentuk yang betul ialah ‘pisang goreng’ kerana kita merujuk kata nama ‘pisang’ sedangkan perkataan ‘goreng’ merujuk kata kerja ‘goreng’ dan merupakan penerang bagi perkataan ‘pisang’ dalam frasa berkenaan. Namun disebabkan kebiasaan pertuturan dan diterima, tambahan pula difahami oleh masyarakat, sesetengah kita menerimanya sebagai betul sedangkan hakikatnya dari sudut tatabahasa pembentukannya adalah salah.

Hal yang sama dapat dilihat pada frasa ‘lain-lain hal’ sedangkan hakikatnya kita merujuk ‘hal’ bukannya ‘lain-lain’. Seharusnya pembetukan frasa berkenaan ialah ‘hal-hal lain’ kerana ‘hal’ tersebut yang banyak bukannya ‘lain’. Hal ini berpunca daripada kebiasaan sebutan dan ‘sedap’ bunyi sebutan yang diterima oleh penutur lisan bahasa Melayu kerana pada sesetengah keadaan sebutannya konsisten. Misalnya kita tidak akan menyebut ‘tua kelapa’ bagi merujuk ‘kelapa yang sudah tua’, sebaliknya dalam apa-apa juga keadaan kita akan menyebut ‘kelapa tua’ bagi merujuk frasa nama berkenaan.

Pembentukan Hukum D-M

Pada dasarnya, terdapat peraturan tertentu untuk mengatur susunan kedudukan konstituen-konstituen kata nama dalam pembentukan frasa nama. Peraturan-peratran tersebut menentukan perkara yang hadir dahulu dan yang perlu hadir kemudian ataupun selepas konstituen pertama.

Hukum D-M tergolong dalam bahagian frasa nama. Pada dasarnya (D) merujuk aspek yang ‘Diterangkan’ manakala (M) merujuk aspek yang ‘Menerangkan’. Menurut hukum tatabahasa, sesuatu perkara yang mahu ‘diterangkan’ harus dinyatakan dahulu sebelum disusuli perkataan yang ‘menerangkan’.

Misalnya apabila kita mahu merujuk pisang yang digoreng, seharusnya kita menyatakan ‘pisang’ sebagai kata nama yang mahu diterangkan barulah disusuli ‘goreng’ sebagai perkataan yang menerangkan pisang berkenaan. Maka, seharusnya susunan frasanya menjadi ‘pisang goreng’ bukannya ‘goreng pisang’ kerana ‘goreng pisang’ merujuk ‘goreng’ sebagai perkataan yang mahu diterangkan iaitu kata kerja dan ‘pisang’ sebagai kata yang menerangkan perkataan goreng. Maka apabila disebut ‘goreng pisang’ kita seharusnya merujuk frasa kerja (perbuatan menggoreng pisang) bukannya frasa nama.

Dengan kata lain, dalam pembentukan hukum D-M, unsur yang ‘Diterangkan’ merupakan unsur inti yang diletakkan pada kedudukan pertama dan unsur yang ‘Menerangkan’ merupakan unsur penerang yang diletakkan pada kedudukan kedua. Contohnya:

Bil. Unsur Diterangkan (D) Unsur Menerangkan (M) Keterangan Frasa
1 - Kelapa - tua - buah kelapa yang sudah tua
2 - Orang - muda - orang yang masih muda
3 - Guru - sains - guru yang mengajarkan sains
4 - Serbuk - cili - serbuk yang dibuat daripada cili
5 - Sos - tomato - sos yang dibuat daripada tomato
6 - Restoran - Zaini - restoran kepunyaan Zaini
7 - Kedai Buku - Harris - kedai buku kepunyaan Harris
8 - Keledek - goreng - keledek yang telah digoreng
9 - Kacang - rebus - kacang yang sudah direbus
10 - Rendang - daging - rendang yang dibuat daripada daging.
11 - Susu - lembu - susu yang diambil daripada lembu
12 - Lembu - susu - lembu yang mengeluarkan susu


Kebanyakan kekeliruan yang timbul dikenal pasti berpunca daripada kebiasaan sebutannya dalam bahasa Inggeris yang struktur pembentukannya berbeza daripada struktur Bahasa Melayu. Misalnya dalam bahasa Inggeris ‘Restoran Yusof’ disebut sebagai ‘Yusof Restaurant’. Hakikatnya dalam bahasa Melayu kita memperkatakan ‘Restoran’ yang dimiliki oleh Yusof, maka seharusnya kita meletakkan unsur ‘Restoran’ pada kedudukan pertama sebagai aspek yang ‘Diterangkan’ barulah diikuti oleh ‘Yusof’ sebagai unsur yang ‘Menerangkan’ iaitu yang memiliki restoran berkenaan. Frasa berkenaan seharusnya disebut sebagai ‘Restoran Yusof’. Dari sudat makna, jika disebut ‘Yusof Restoran’, maka sebenarnya kita merujuk kepada ‘Yusof’ sebagai ‘restoran’. Bukankah perkara ini ganjil kerana Yusof ialah manusia bukannya sebuah restoran.

Dalam sesetengah keadaan, terdapat frasa yang boleh disusun secara terbalik tetapi membentuk makna yang berbeza, bergantung kepada unsur yang disebut dahulu. Misalnya frasa nama ‘susu lembu’ merujuk maksud ‘susu yang diambil daripada lembu’. Manakala ‘lembu susu’ merujuk maksud ‘lembu yang dipelihara untuk tujuan mendapatkan susunya’. Maka dari segi ayat haruslah disebut mengikut maksud yang ingin disampaikan. Contohnya;
1. Ahmad minum susu lembu pada setiap pagi.
2. Ahmad memelihara beberapa ekor lembu susu.


Ulasan:
Ayat 1 merujuk kepada susu. Manakala ayat 2 merujuk kepada lembu yang dipelihara bagi mendapatkan susunya. Maka apabila ayat 1 diubah kepada ‘lembu susu’ maka dari segi maksud, maknanya agak ganjil kerana tidak mungkin ‘Ahmad minum lembu’ sedangkan hakikatnya ‘Ahmad minum susu’. Manakala ayat 2 pula jika diubah kepada ‘susu lembu’ juga menimbulkan kekacauan maksud ayat kerana tidak mungkin ‘Ahmad memelihara susu’, sedangkan maksud yang tepat ialah “Ahmad memelihara lembu’.

Kekeliruan Hukum D-M
Dalam pembentukan frasa nama yang berkaitan dengan Hukum D-M, terdapat beberapa kekeliruan kerana kebiasaan penggunaan yang diterima pakai dalam pertuturan harian sebagai frasa yang betul. Hal ini berpunca daripada pemahaman masyarakat (masyarakat memahami frasa tersebut) terhadap frasa berkenaan, sedangkan hakikatnya dari segi hukum tatabahasa perkara ini menyalahi hukum pembentukan frasa nama.
Antara frasa nama yang kerap menimbulkan kekeliruan ialah;

Bil. Bentuk Yang Salah Bentuk Yang Betul
1. - lain-lain hal - hal-hal lain
2. - lain-lain perkara - perkara-perkara lain
3. - lain-lain masalah - masalah-masalah lain
4. - lain-lain kata - kata-kata lain
5. - warung goreng pisang - warung pisang goreng
6. - Adnin Kedai Runcit - Kedai Runcit Adnin
7. - tomato sos - sos tomato
8. - pencuci serbuk - serbuk pencuci
9. - Tan Klinik Gigi - Klinik Gigi Tan
10. - petrolium gas - gas petrolium

Semua bentuk di atas bertentangan dengan pembentukan hukum D-M dari segi maksud frasa berkenaan kerana unsur utama (‘Diterangkan’) terletak di belakang unsur yang ‘Menerangkan’. Semua bentuk di atas merupakan terjemahan terus mengikut struktur bahasa Inggeris.

 .../kpBM

Wednesday 22 February 2012

Kata Sendi Nama 'Ke'

Dalam slaid ini terdapat penggunaan kata sendi nama ‘di’, iaitu:

- Man United naik di persada liga lagi,
- Buang di tong sampah.

Memanglah kata sendi nama ‘di’ digunakan bagi menunjukkan tempat. Ayat contoh:
- Dia tinggal di Geylang Serai.
- Pelajar itu duduk di dalam kelas.
- Bapa saya bekerja di syarikat perkapalan.
Namun begitu, tempat yang dinyatakan tidaklah menunjukkan tempat atau arah yang dituju. Bagi menunjukkan arah atau tempat yang dituju seharusnya kita menggunakan kata sendi nama ‘ke’. Ayat contoh:
- Kereta merah itu menuju ke bandar.
- Ibu saya baru pulang ke rumah.
- Kami akan melancong ke Indonesia.

Begitu juga dengan kata kerja naik, turun, terjun, berpindah, berhijrah, masuk, pergi, menoleh, mendongak, dan sebagainya diikuti dengana kata sendi nama ‘ke’.

Tajuk berita dan ayat suruhan di dalam slaid tersebut hendaklah ditulis begini:
- Man United naik ke persada liga lagi,
- Buang ke
tong sampah.

Sumber : Cikgu Naim Daipi

.../kpBM

Sunday 19 February 2012

Pentingnya Bahasa Melayu....

Mata pelajaran BM merupakan mata pelajaran teras. Mata pelajaran ini amat penting, lebih-lebih lagi bagi pelajar menengah atas. Murid-murid tingkatan lima yang menduduki SPM perlu lulus BM bagi memperoleh sijil SPM. Salah satu syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi juga memerlukan murid-murid lulus BM pada peringkat SPM.

Dalam mata pelajaran BM, murid-murid diajar beberapa kemahiran, seperti menulis dengan menggunakan tatabahasa dan ayat yang gramatis, Selain itu kemahiran membaca kuat dengan sebutan yang betul juga ditekankan. Pada peringkat yang lebih tinggi, murid-murid diwajibkan menjalani ujian lisan. Markah lisan ini akan menentukan pencapaian murid dalam lisan di peringkat SPM dan tertera pada sijil SPM mereka.


Setelah mengalami perubahan dan penambahbaikan, kemahiran KOMSAS telah diserapkan dalam mata pelajaran BM. Rasionalnya bagi menimbulkan minat pelajar terhadap sastera. Segala kemahiran yang digabungkan dalam mata pelajaran BM telah menjadikan mata pelajaran BM ini lebih lengkap dan menyeluruh.


.../kpBM 

 

Thursday 16 February 2012

Kosa kata : Wara


1. wara (wara-wara) - pemberitahuan, pengumuman, pengisytiharan
2. bicarawara - rancangan temu bual (pewara dengan tetamu)
3. candawara - rancangan berbentuk permainan
4. jerayawara - ceramah, pameran, persembahan
5. purbawara - drama sebabak
6. sandiwara - lakonan
7. pewara - pembawa acara dalam sesuatu majlis, juruacara

Friday 10 February 2012

Memberi atau Memberikan...

Apakah perbezaan menggunakan perkataan memberi dan memberikan?
 
‘Memberi’ selalunya diikuti dengan objek yang bernyawa. Contoh:
- Azman memberi anaknya wang jajan.
- Mak Timah memberi kucingnya makanan.
- Cikgu Ali memberi murid-muridnya kertas latihan.
 
‘Memberikan’ pula diikuti dengan objek yang tidak bernyawa. Contoh:
- Hasyim memberikan biskut itu kepada adiknya.
- Orang tua itu memberikan nasihat kepada cucu-cucunya.
- Pemerintah memberikan kuasa kepada pihak polis dan tentera untuk membanteras pengganas.
 
Ayat yang diserlah dalam lelaman web itu seharusnya ditulis begini:
- …Seminar Bahasa diadakan untuk memberi guru-guru peluang untuk berkongsi dapatan, kajian dan perkaedahan…, atau
- …Seminar Bahasa diadakan untuk memberikan peluang kepada guru-guru untuk berkongsi dapatan, kajian dan perkaedahan…
 
Sumber : Cikgu Naim Daipi 
 

Thursday 9 February 2012

Pertandingan Menulis Esei Anjuran PIIC




Sukacita dimaklumkan bahawa Kolej Antarabangsa Putera Intelek (PIIC) akan mengadakan satu pertandingan menulis esei bersempena dengan "Program Selebriti Nasional".

Pihak sekolah mengalu-alukan semua murid
Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 untuk menyertai pertandingan yang julung kalinya diadakan bersempena sambutan 10 tahun penubuhan PIIC.


Pertandingan esei ini bertajuk "10 perkara yang akan saya lakukan untuk Malaysia jika saya menjadi seorang selebriti" .

Panjang setiap karya adalah antara
500 hingga 1000 patah perkataan.

Esei ini boleh dikarang dalam
Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.


Setiap pelajar layak menghantar satu penyertaan sahaja. Borang penyertaan boleh didapati di facebook : fb.com/putraintelek.piic.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Mac 2012. Sila rujuk maklumat di atas.


Selamat menulis.


.../kpBM


Tuesday 7 February 2012

SPM : Bina Ayat


Apabila anda membina ayat, pastikan anda menggunakan formula:

a) Bila + Siapa + buat apa
b) Siapa + buat apa + di mana
c) Siapa + buat apa + mengapa

Contoh:
1. Prasyarat
ayat: Kakak berjaya memasuki pertandingan itu kerana lulus prasyarat yang ditetapkan oleh penganjur pertandingan.

2. Propaganda
ayat: Pendedahan akuan palsu yang dilakukan oleh pemimpin negara itu merupakan propaganda politik yang mungkin akan menarik perhatian media massa.

3. Pascamerdeka
ayat: Pada zaman pascamerdeka, anak-anak bangsa harus mengisi kemerdekaan dengan mempertahankan kemerdekaan negara daripada dijajah semula oleh anasir luar.

4. Dwibahasa
ayat: Ayah menggunakan kamus dwibahasa untuk mencari makna perkataan yang tidak difahaminya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

5. Anti-Israel
ayat: Satu perarakan anti-Israel telah diadakan di Dataran Merdeka oleh penuntut-penuntut universiti kerana mereka mengetahui kekejaman Israel terhadap keamanan dunia.

6. Antirasuah
ayat: Kerajaan Malaysia menjalankan kempen antirasuah untuk menghapuskan gejala ini sehingga akar umbi.

7. Interaksi
ayat: Pakar psikologi perpendapat bahawa kekurangan interaksi antara anak dengan ibu bapa akan menyebabkan jiwa anak kosong.

8. Insentif
ayat: Pihak sekolah akan memberi wang insentif sebanyak RM100 kepada pelajar yang mewakili sekolah dalam acara sukan.

9. Integrasi
ayat: Pihak kerajaan melancarkan kempen 1Malaysia untuk memupuk integrasi kaum dan membina perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

10. Intensif
ayat: Pihak sekolah akan menjalankan kelas intensif untuk pelajar yang lemah dalam subjek Sains dan Matematik.

11. Inisiatif
ayat: Kerajaan berharap agar pihak sekolah akan mengambil inisiatif untuk memastikan kebersihan persekitaran sekolah supaya murid-murid tidak diserang wabak demam denggi.

12. Tentatif
ayat: Buat sementara waktu, beberapa langkah tentatif diambil untuk memasukkan sains sepenuhnya ke dalam skop sosiologi ilmu pengetahuan.

13. Senget
ayat: Ayah mengetawakan adik yang memakai seluarnya senget sebelah.

14. Sengit
ayat: Pengumuman semua calon SPM yang mendapat keputusan 9A+ dijanjikan biasiswa JPA akan menimbulkan persaingan yang sengit antara calon SPM.




Saturday 4 February 2012

Berani kerana benar takut kerana salah


MAKSUD :
Bertindak kerana berada di pihak yang benar atau untuk menegakkan kebenaran.

SITUASI :
Kekadang sukar untuk menegakkan kebenaran. Orang memerlukan bukti yang lurus dan saksi yang tulus, bukti yang dapat dipercayai khalayak dan saksi yang benar-benar layak. Kekadang untuk menegakkan kebenaran, timbul pelbagai pertelingkahan yang membawa perpecahan.

Manusia mempunyai persepsi dan harapan yang berbeza-beza, apatah lagi impian. Bagi mengejar impian, kadang kala, orang tindas-menindas, dan pijak-memijak. Malah, orang menolak kata yang benar, dan rahmat pula dilarikan, yang takrifnya tidak mahu mengakui kebenaran dan menolak nikmat kebersamaan.


Kita harus terus menyatakan kebenaran. Orang mungkin akan hilang kepercayaan jika kita sekali berbuat dusta. Melanting hendaklah menuju tampuk (tempat tertinggi), dan berkata hendak menuju benar yang bermaksud setiap usaha tentu ada maksudnya; dalam perundingan hendaklah ada kebenaran dan kejujuran.


Kita hendaklah bertindak dan bergerak di tempat yang benar. Kita hendaklah mempertahankan kebenaran walaupun pahit. Kita harus terus bersuara untuk memberi keyakinan dan kita terpaksa berlengan sekiranya kehormatan kita digadai. Kata orang-orang tua kita; Berani kerana benar, takut kerana salah, biar putih tulang dan jangan putih mata; Biar terjual nyawa, jangan terjual nama.


PANTUN :


Kalau laku wang di saku,


      Beli sama gajus dan janggus;


Benar dilaku salah diaku


      Baru kita tulus dan lurus.



Sumber : Cikgu Naim Daipi