Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Tuesday 14 June 2011

BICARAWARA, JERAYAWARA

Dalam persada bahasa Melayu, terdapat perkataan wara atau bentuk ejaan wara di bahagian akhir sesuatu suku perkataan.  Mungkin ada dalam kalangan kita yang pernah menemukan perkataan seperti bicarawara, candawara, jerayawara dan seumpamanya.  Tahukan anda apakah maksud perkataan-perkataan tersebut?

1. Wara
Perkataan wara (wara-wara) berasal daripada bahasa Jawa yang bermaksud pemberitahuan, pengumuman dan pengisytiharan.  Pewara ialah pembawa acara dalam sesuatu majlis, atau lebih tepat kita katakan pengacara atau juruacara.

2.  Bicarawara
Perkataan ini merupakan terjemahan daripada perkataan bahasa Inggeris talkshow.  Bicarawara bermakna suatu rancangan yang mengandungi temu bual antara pewara dengan tetamu undangan berkaitan dengan sesuatu tajuk tertentu.  Dengan maksud yang lain, bicarawara ialah rancangan temu bual.  Perbuatan temu bual itu disebut wawancara.
3.  Candawara
Dalam bahasa Inggeris, candawara ialah gameshow.  Kita sering menonton satu rancangan berbentuk permainan, atau berbentuk pertandingan.  Para peserta yang mengambil bahagian dikehendaki menjawab soalan ataupun membuat sesuatu untuk menang.

4.  Jerayawara
Jerayawara bermaksud sesuatu ceramah, pameran, pertunjukan, persembahan yang diadakan dari satu tempat ke satu tempat lain, dengan tujuan memberikan penjelasan, memberikan hiburan, mempromosikan barangan dan sebagainya kepada khalayak.  Ceramah politik merupakan satu bentuk jerayawara.  Kebanyakan orang menggunakan kata roadshow, kerana itulah makna jerayawara dalam bahasa Inggeris.

5.  Purbawara 
Drama sebabak yang mengisahkan cerita kuno, yakni kisah raja-raja zaman dahulu, seperti kisah Dandan Setia, Raja Laksmana Bentan dan lain-lain.  Kebiasaannya, persembahan lakonan ini disertai nyanyian dan tarian.  Bentuk lakonan seperti ini dinamai juga bangsawan.

6.  Sandiwara
Sandiwara berkaitan dengan lakonan juga.  Kata lain yang sinonim dengannya ialah drama, teater dan tonil, yang dahulunya dilakonkan di atas pentas.  Selain makna ini, sandiwara juga bermaksud sesuatu kejadian yang tidak bersungguh-sungguh dengan tujuan mengabui mata sahaja.  Maksud ini terkandung dalam ayat : 
Di depan ibunya dia pandai bersandiwara seolah-olah pergi belajar, pada hal sebenarnya dia pergi menonton filem.

Demikian perihal makna beberapa perkataan yang mempunyai bentuk wara.  Semoga kita semua jelas akan maksud perkataan-perkataan tersebut.

Sumber : Cintai Bahasa Kita, Dewan Siswa Nov. 2009

.../kpBM



1 comment: