Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Friday 8 April 2011

PURA & PURA-PURA

Beberapa minggu lepas saya mengajar peribahasa di kelas tingkatan 3.   Ada beberapa peribahasa yang jarang-jarang digunakan yang terdapat dalam buku teks BM Ting. 3.

Salah satu daripada peribahasa itu ialah "sekali membuka pura, dua tiga hutang berbayar" (B/teks T3, hal. 156). Murid Melayupun tidak faham maksudnya, apatah lagi murid bukan Melayu, jadi terpaksalah saya membuat lakaran di papan putih agar mereka dapat memahami maksud peribahasa tersebut.

Adakah anda pernah mendengar @ menggunakan peribahasa di atas?

Kini, sebahagian besar murid tidak begitu memahami @ mengetahui maksud peribahasa yang terdapat di dalam buku teks BM di semua peringkat. Akibatnya, mereka menghadapi masalah untuk menggunakan peribahasa yang sesuai mengikut konteks sama ada dalam penulisan ataupun dalam menjawab soalan Kertas 1 PMR dan kertas 2 SPM.

Di SMKTP, salah satu cara untuk meningkatkan penggunaan peribahasa dalam kalangan murid adalah dengan melengkapkan "Sudut Seuntai Kata Seindah Bahasa" yang terletak di laluan utama ke bilik darjah. Papan buletin sudut tersebut diisi dengan dengan kosa kata menarik dan peribahasa yang dipaparkan oleh guru secara bergilir-gilir setiap hari. Bagi kelas-kelas 'depan', mereka memanfaatkan sudut ini dengan baik, tetapi bagi kelas-kelas 'corot', mereka buat tidak endah dengan paparan tersebut. Kadang-kadang mereka menyalinnya semata-mata untuk memenuhi arahan guru....alahai anak-anak didiku yang disayangi.... soalan berkaitan dengan kosa kata dan peribahasa ini akan dikemukakan semasa Ujian Bulanan....

Untuk memberi pemahaman yang jelas tentang maksud peribahasa di atas, terlebih dahulu saya perlu menerangkan maksud kata 'pura' kepada murid-murid berkenaan.  Saya juga perlu menjelaskan kepada mereka perbezaan maksud 'pura' dengan 'pura-pura'....

Menurut KAMUS DEWAN Edisi ke-4 m.s 1252, PURA bermaksud
1) pundi-pundi yang diperbuat daripada kain (tempat wang), kantung kecil, dompet;
2) tempat memperjualbelikan saham, tempat saudagar-saudagar besar berjual beli, bursa;
3) wang yang disediakan atau dikumpulkan untuk sesuatu tujuan, dana :

Peribahasa "sekali membuka (mengorak) pura dua tiga hutang berbayar" bermaksud sekali melakukan pekerjaan, dua tiga maksud atau matlamat tercapai @ melakukan dua perkara atau lebih dalam satu masa....

Peribahasa lain yang membawa maksud yang sama ialah :

1) sambil menyelam minum air...
2) sambil berdendang, biduk hilir...
3) berkayuh sambil bertimba...
4) sambil berdiang, nasi masak...
5) ke sungai sambil mandi...
6) belayar sambil memapan, merapat sambil belayar...

simbol Kota Singapura
Selain itu, kata PURA juga bermaksud : bandar, kota, negeri (Singapura = Kota Singa; Inderapura = Negeri Indera, dll)

PURA-PURA pula bermaksud tidak sungguh-sungguh, main-main sahaja :
"...bukan sakit sungguh-sungguh melainkan pura-pura sahaja.."

Kata terbitan daripada kata 'pura-pura' ialah berpura-pura dan kepura-puraan.

Berpura-pura bermaksud berbuat seakan-akan (seolah-olah), melakukan dirinya seperti (seseorang dsb yang bukannya dirinya sebenar), berlagak : Cth - Seorang ahli sihir berpura-pura menjadi seorang perempuan yang peramah.

Kepura-puraan pula bermaksud perbuatan dll yang hanya pura-pura, kepalsuan : Cth - Dia ingin mendedahkan segala kepura-puraan yang diamalkan oleh gadis itu.

"Sekali membuka pura, dua tiga hutang berbayar...." oh, indah sungguh bahasa nenek moyang kita dahulu....!

.../kpBM

No comments:

Post a Comment