Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Thursday, 28 April 2011

KATA SERAPAN (1)

Hari ini, penggunaan kata bahasa Inggeris "yang dimelayukan" sudah menjadi pilihan,kalaupun tidak dikatakan kegemaran komuniti bahasa Melayu.  Nampaknya, seolah-olah kata-kata itulah kata bahasa Melayu asli, tiada yang lain lagi.  Berikut ialah beberapa contoh kata serapan daripada bahasa Inggeris yang menjadi pilihan oleh banyak orang, dan sering digunakan dalam berbahasa.

ANALISIS

Kata nama analisis berasal daripada kata analysis dalam bahasa Inggeris.  Kata ini sering disalah eja atau ucap sebagai "analisis".  Ejaan yang betul tetaplah analisis bukan "analisis" dan wajar diucapkan sebagai [analisis].  Analisis bermaksud penyelidikan atau penghuraian sesuatu (spt. keadaan, masalah, persoalan, dll) untuk mengetahui pelbagai aspeknya (ciri-cirinya dll) secara terperinci atau mendalam.    Analitis pula membawa maksud bersifat analisis.  

DEFINISI

Kata nama definisi berasal daripada kata definition dalam bahasa Inggeris.  Kata ini sering disalah eja atau ucap sebagai "definasi".  Ejaan yang betul tetaplah definisi bukan "definasi", dan wajar diucapkan sebagai [definisi].  Definisi bermaksud takrif, iaitu keterangan yang ringkas dan padat bagi menjelaskan konsep atau makna sesuatu kata, frasa, dan lain-lain.

Contoh penggunaannya : Dalam kamus, perkataan diberikan definisi dan dituruti oleh kata seerti.

Walaupun kata definisi begitu lumrah digunakan, wajar juga kata takrif digalakkan penggunaannya.  Setidak-tidaknya kita meragamkan penggunaan kata dalam binaan ayat. 

HOS

Kata hos begitu meluas digunakan oleh media massa, dengan maksud orang yang mengendalikan sesuatu rancangan, khusus rancangan yang bercorak hiburan.  Dalam bahasa Inggeris, kata ini dieja sebagai host.  

Kata asli bahasa Melayu yang mempunyai pengertian yang sama dengan kata hos ialah "pengacara".  Kata "pengacara" dibentuk daripada kata dasar "acara".  Ayat contoh penggunaan kata hos ialah :
 Penyanyi terkenal itu akan menjadi hos rancangan mingguan pada malam esok.


Selain makna pengacara, hos bermaksud orang yang meraikan tetamu dalam sesuatu majlis atau upacara.  Contoh ayatnya :
Siti Salwa menjadi hos pada majlis hari terbuka anggota keluarganya.


Jadi, agar dapat dilihat ciri kemelayuannya, maka kata pengacara seharusnya menjadi pilihan yang sesuai.


Demikian, beberapa patah kata bahasa Inggeris yang digunakan dalam bahasa Melayu, tetapi ada padanan yang sungguh mudah dan pernah digunakan secara meluas sebelum ini.  Patutlah kita menggunakannya.

Sunday, 24 April 2011

HOMONIM

nanar  - berasa agak pening kerana kena pukul atau ditumbuk,pening lalat; menjadi bingung kerana kesusahan,tercengang-cengang,terpinga-pinga,tidak tentu haluan;sangat marah,meradang.

Ayat contoh:

1. Azhar nanar  tiba-tiba apabila dia mendapati tayar basikalnya pancit.

2.Encik Megat Shariman nanar sewaktu mencari alamat rumah sahabatnya,Encik Maloni.

3. Bapa murid sekolah yang masih nanar akibat ditempeleng rakannya itu telah membuat laporan polis.


nanar - nakal (kelakuan)

Ayat contoh:

1. Cikgu Dilmi menasihati muridnya agar tidak sekali-kali membuat nanar di Kem Solat Bestari.

2. Sudah menjadi lumrah alam,anak yang nanar perlu diberi nasihat dan didikan agama sejak kecil.

3. "Ingat, jaga tutur kata dan jangan nanar ketika bercuti di rumah nenek kamu," pesan ibu kepada Faiz.

Monday, 18 April 2011

Undan, Undang dan Undang-undang

Burung undan merah jambu hitam
UNDAN :
Undan ialah sejenis burung yang tergolong dalam famili Pelecanidae.  Terdapat dua jenis burung undan, iaitu jenis Pelecanus Anocrotalus dan Pelecanus Roseus.

Burung undan daripada jenis Pelecanus Anocratalus adalah berwarna putih, manakala di sebelah tepi sayapnya berwarna hitam dan setompok kuning kelihatan di dadanya.  Terdapat bulu-bulu panjang di bahagian belakang leher dan campuran warna biru, kuning dan merah pada paruhnya.  Kaki burung undan pula berwarna kuning.  Burung ini berukuran  kira-kira 155 sm panjang.  


Burung Undan Merah Jambu Hitam (bahasa Inggeris: Pink Back Pelican) ialah salah satu daripada haiwan yang boleh di dapati di Malaysia.  Nama sainsnya Pelecanus rufescens.  Burung Undan Merah Jambu Hitam merupakan burung yang berhijrah pada musim sejuk ke kawasan panas dan akan kembali ketempat asal apabila musim panas kembali tiba.

Rumah Undang di Negeri Sembilan
UNDANG :
Undang ialah pembesar adat yang empat iaitu ketua-ketua adat yang terdiri daripada beberapa peringkat yang mewakili suku kaum masing-masing di Negeri Sembilan.  Setiap undang mempunyai susunan aturan dan peraturan tertentu yang telah ditentukan oleh adat dan tidak boleh dilanggar.  Undang adalah terdiri daripada Datuk Paduka Besar, Datuk Seri Maharaja, Datuk Senara Muda dan Datuk Orang Kaya.

Sehubungan dengan pemilihan dan pelantikan undang, faktor-faktor seperti susunan kekeluargaan melibatkan istilah-istilah seperti suku, buapak, anak buah, lembaga dan sebagainya adalah berhubung kait.

Secara istiadat pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan , undang merupakan antara tetamu kehormat yang mesti di balai penghadapan sebagai saksi dalam pertabalan.

Pasukan polis memastikan bahawa undang-undang negara dipatuhi
UNDANG-UNDANG :
Undang-undang ialah satu peraturan yang melibatkan pelbagai aspek dan bidang yang digubal oleh pihak kerajaan dan mesti dipatuhi oleh masyarakat terbabit.  Undang-undang dibentuk untuk mengawal masyarakat agar melalui liku-liku dan norma hidup yang mulia sebagai manusia berakal dan bertamadun. Golongan masyarakat yang tidak mematuhi dan melanggar undang-undang akan ditangkap dan dibicarakan.  Pihak polis merupakan jabatan yang menjalankan penangkapan, manakala mahkamah pula ialah tempat pesalah dibicarakan.


.../kpBM

Saturday, 16 April 2011

MERUBAH ATAU MEROBAH ...?

Kita sering mendengar orang menyebut atau menulis perkataan 'merubah' untuk maksud mengalihkan kedudukan sesuatu dari tempat asal ke tempat yang lain. Dengan kata lain, perbuatan ini dikatakan mengubah kedudukan sesuatu itu.

Anggapan sesetengah orang bahawa kata 'merubah' ini terbit daripada gabungan awalan "mer-" dengan kata dasar 'ubah' (*mer + ubah), lalu membentuk kata 'merubah'.

Dalam hal imbuhan bahasa Melayu, tidak wujud awalan "mer-". Anggapan sesetengah pengguna bahasa Melayu bahawa awalan "mer-" ini merupakan satu daripada alomorf awalan "meN-" adalah tidak benar.
Alomorf atau keluarga awalan "meN-" ialah "menge-", "mem-", "men-" "meng-" dan "menge-". Oleh itu, tidak ada bentuk "mer-" sebagai alomorf atau anggota awalan "meN-".

Oleh sebab tidak ada bentuk awalan "mer-" dalam imbuhan bahasa Melayu, maka awalan yang sesuai digabungkan dengan kata dasar 'ubah' ialah "meng-" (meng+ubah = mengubah), dan awalan penanda kata kerja tak transitif "ber-" (ber+ubah= berubah). Contoh penggunaannya dalam ayat :

1. Sejak hari itu, dia telah mengubah cara belajarnya.
2. Sejak dinasihati oleh kakaknya, perangainya sudah
berubah.
Merujuk Kamus Dewan, Edisi ke-4, halaman 1751, kata dasar 'ubah' membawa maksud kelainan (dengan yang lain), beza, lain.


Sebenarnya, kata dasar "merubah" ialah "robah" bukan "ubah". Dalam bahasa Melayu memang wujud kata "robah". Daripada kata robah' terbit pula kata 'merobah' (me + robah) = mengubah (Kamus Dewan Edisi ke-4, halaman 1338) yang bermaksud menjadikan sesuatu lain daripada yang asal, atau mengubah.


Oleh itu, bentuknya yang betul ialah "merobah" bukannya "merubah". Jika kata dasar 'ubah', awalan yang sesuai dengannya ialah "meng-" (mengubah). Teliti penggunaan kata 'merobah' dalam ayat yang berikut :
3. Kejayaan dapat merobah kehidupan.
Kata "rubah" diertikan sebagai nama sejenis binatang seperti anjing, Canis vulpes. (Kamus Dewan Edisi ke-4, halaman 1347). 
Dalam kamus tidak diberikan pula bentuk terbitan bagi kata "rubah". Maksudnya tidak ada kata 'merubah'. Sekiranya ada, maksud perkataan ini memberi erti 'menjadi seperti binatang yang seakan-akan anjing rupanya' ; bukan erti mengubah.

Demikian perihal "merobah" dan "mengubah"...




.../kpBM

Thursday, 14 April 2011

Resmi dan Rasmi

Perkataan resmi dan rasmi ialah dua perkataan yang sering menimbulkan kesilapan pemilihan. Kedua-dua perkataan ini kerap digunakan dalam konteks yang tidak tepat lantaran kedua-duanya hampir sebunyi, tetapi mempunyai maksud yang berbeza.

kediaman rasmi Residen Inggeris di negeri Pahang suatu ketika dahulu .....
Perkataan rasmi digunakan dalam rangkai kata tertentu seperti surat rasmi, bendera rasmi, bahasa rasmi, tugas rasmi, pakaian rasmi, upacara rasmi, dan kediaman rasmi. Rasmi dalam rangkai kata tersebut bermaksud disahkan atau ditentukan oleh yang berwibawa, iaitu kerajaan.

Walau bagaimanapun, ramai juga yang mengunakan kata 'resmi' untuk 'urusan rasmi'...

Maksud resmi (Kamus Dewan Edisi ke-4, hal 1324) ialah sifat semula jadi, sifat khas (benda, adat, perangai, tabiat). 

pokok lalang ..." jangan ikut resmi lalang, makin berisi makin tegak"
Resmi digunakan dalam konteks yang berlainan berbanding rasmi, seperti dalam peribahasa "Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk", "jangan ikut resmi lalang, makin berisi makin tegak", atau dalam ayat : "Resmi Mak Piah tidak ubah seperti ayam betina, bertelur sebiji riuh sekampung".   Perkataan resmi dalam peribahasa tersebut membawa maksud sifat atau resam.

.../kpBM


Tuesday, 12 April 2011

Perabis atau Penghabisan

Kali ini saya ingin perkatakan tentang maksud "perabis" dan "penghabisan" yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Ramai yang beranggapan bahawa kata "penghabisan stok" itu tepat penggunaannya kerana perkataan ini lazim kita dengar.

Dalam Ujian 2 kertas BM Tingkatan 3 yang baharu berlalu minggu lepas, ada soalan yang dikemukakan berkaitan dengan kosa kata di atas.  Soalan tersebut berbunyi seperti berikut :

SOALAN 4 :
Bersempena dengan karnival beli-belah, banyak gedung perniagaan yang mengadakan jualan ............. stok untuk menarik pelanggan.
A  menghabiskan
B  penghabis
C  penghabis
D  perabis
Daripada analisis yang dibuat untuk kelas 3K13 yang terdiri daripada 40 orang murid semuanya (7 orang murid Cina; dua orang murid Melayu dan seorang murid India), tidak ada seorang pun murid yang berjaya memilih jawapan yang tepat.  Dapatan daripada analisis tersebut ialah :
  • 37 orang murid memilih jawapan (B) iaitu penghabisan stok; 
  • tiga orang murid lagi memilih jawapan (A) iaitu menghabiskan stok
Menurut Kamus Dewan, maksud kata yang dikemukakan itu adalah seperti yang berikut :
Menghabiskan - menggunakan sesuatu sehingga habis;
Penghabisan - kesudahan
Penghabis - orang yang menghabiskan sesuatu
Perabis - menjadikan sesuatu itu habis
Oleh itu, penggunaan kata yang paling tepat untuk soalan di atas ialah perabis stok.


.../kpBM

Monday, 11 April 2011

Bahasa Melayu dan Tulisan Jawi

sebuah bangunan lama di Kuantan
Tulisan Jawi (توليسن جاوي) ialah satu seni penulisan yang telah wujud berabad-abad lamanya di Nusantara. Kemunculannya berkait secara langsung dengan kedatangan agama Islam ke Nusantara. Tulisan Jawi berasal daripada tulisan Arab dan merupakan huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu. Tulisan Jawi ialah tulisan rasmi bagi negara Brunei dan digunakan meluas di Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Tulisan Jawi adalah antara tulisan terawal yang pernah ditemui. Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17. Bukti kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M,  manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19. Ini menunjukkan tulisan Jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi. Tulisan Jawi merupakan tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British. Kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu.

Papan iklan di Jalan Tok Hakim, KB
Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Ia digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. contohnya digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. 

Selain itu, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi.
Nama-nama hari dalam tulisan Jawi
sebuah restoran di  Jln Kebun Sultan, KB
Isnin اثنين
Selasa ثلاث
Rabu رابو
Khamis خميس
Jumaat جمعة
Sabtu سبتو
Ahad احد

Tulisan jawi kini semakin terpinggir di bumi sendiri semenjak huruf roman diperkenalkan untuk menggantikannya selaras dengan perkembangan teknologi dan juga pengaruh Inggeris terhadap orang Melayu-Islam. 

Kini amnya, tulisan jawi terhad penggunaannya dalam kalangan mereka yang berada dalam institusi agama Islam, seperti para ulamak, guru-guru agama dan pegawai tadbir jabatan agama Islam. Malahan, penerbitan Utusan Zaman seminggu sekali dan hanya menjadi sisipan Utusan Malaysia menandakan merudumnya penggunaan tulisan jawi.

sebuah restoran di Berek 12, KB
Di Kota Bharu, pihak penguasa pentadbiran tempatan mewajibkan  semua papan tanda atau papan iklan di bandar tersebut ditulis menggunakan  tulisan jawi selain tulisan rumi....

.../kpBM
  

Saturday, 9 April 2011

Gotong-royong di Taman Peribahasa

 Taman Peribahasa
Aktiviti gotong-royong telah diadakan di SMKTP pada 9 April 2011. 
Ini merupakan aktiviti gotong-royong yang pertama anjuran Unit Keceriaan Sekolah untuk tahun ini.   
QWS tekun membacuh cat...
Selain gotong-royong untuk menceriakan bilik darjah, ahli pasukan unit beruniform dan persatuan & kelab juga telah bersama-sama menceriakan 'taman angkat' masing-masing.

Guru Penasihat PBM
Ahli-ahli Persatuan Bahasa Melayu (PBM) bersama dengan guru Penasihat Persatuan, Cik Fuziellah dan Puan Noraisah telah mengadakan gotong-royong membersihkan dan membaik pulih Taman Peribahasa.   
hasilnya... selepas gotong-royong




Taman Peribahasa kembali ceria...


.../kpBM 

Friday, 8 April 2011

PURA & PURA-PURA

Beberapa minggu lepas saya mengajar peribahasa di kelas tingkatan 3.   Ada beberapa peribahasa yang jarang-jarang digunakan yang terdapat dalam buku teks BM Ting. 3.

Salah satu daripada peribahasa itu ialah "sekali membuka pura, dua tiga hutang berbayar" (B/teks T3, hal. 156). Murid Melayupun tidak faham maksudnya, apatah lagi murid bukan Melayu, jadi terpaksalah saya membuat lakaran di papan putih agar mereka dapat memahami maksud peribahasa tersebut.

Adakah anda pernah mendengar @ menggunakan peribahasa di atas?

Kini, sebahagian besar murid tidak begitu memahami @ mengetahui maksud peribahasa yang terdapat di dalam buku teks BM di semua peringkat. Akibatnya, mereka menghadapi masalah untuk menggunakan peribahasa yang sesuai mengikut konteks sama ada dalam penulisan ataupun dalam menjawab soalan Kertas 1 PMR dan kertas 2 SPM.

Di SMKTP, salah satu cara untuk meningkatkan penggunaan peribahasa dalam kalangan murid adalah dengan melengkapkan "Sudut Seuntai Kata Seindah Bahasa" yang terletak di laluan utama ke bilik darjah. Papan buletin sudut tersebut diisi dengan dengan kosa kata menarik dan peribahasa yang dipaparkan oleh guru secara bergilir-gilir setiap hari. Bagi kelas-kelas 'depan', mereka memanfaatkan sudut ini dengan baik, tetapi bagi kelas-kelas 'corot', mereka buat tidak endah dengan paparan tersebut. Kadang-kadang mereka menyalinnya semata-mata untuk memenuhi arahan guru....alahai anak-anak didiku yang disayangi.... soalan berkaitan dengan kosa kata dan peribahasa ini akan dikemukakan semasa Ujian Bulanan....

Untuk memberi pemahaman yang jelas tentang maksud peribahasa di atas, terlebih dahulu saya perlu menerangkan maksud kata 'pura' kepada murid-murid berkenaan.  Saya juga perlu menjelaskan kepada mereka perbezaan maksud 'pura' dengan 'pura-pura'....

Menurut KAMUS DEWAN Edisi ke-4 m.s 1252, PURA bermaksud
1) pundi-pundi yang diperbuat daripada kain (tempat wang), kantung kecil, dompet;
2) tempat memperjualbelikan saham, tempat saudagar-saudagar besar berjual beli, bursa;
3) wang yang disediakan atau dikumpulkan untuk sesuatu tujuan, dana :

Peribahasa "sekali membuka (mengorak) pura dua tiga hutang berbayar" bermaksud sekali melakukan pekerjaan, dua tiga maksud atau matlamat tercapai @ melakukan dua perkara atau lebih dalam satu masa....

Peribahasa lain yang membawa maksud yang sama ialah :

1) sambil menyelam minum air...
2) sambil berdendang, biduk hilir...
3) berkayuh sambil bertimba...
4) sambil berdiang, nasi masak...
5) ke sungai sambil mandi...
6) belayar sambil memapan, merapat sambil belayar...

simbol Kota Singapura
Selain itu, kata PURA juga bermaksud : bandar, kota, negeri (Singapura = Kota Singa; Inderapura = Negeri Indera, dll)

PURA-PURA pula bermaksud tidak sungguh-sungguh, main-main sahaja :
"...bukan sakit sungguh-sungguh melainkan pura-pura sahaja.."

Kata terbitan daripada kata 'pura-pura' ialah berpura-pura dan kepura-puraan.

Berpura-pura bermaksud berbuat seakan-akan (seolah-olah), melakukan dirinya seperti (seseorang dsb yang bukannya dirinya sebenar), berlagak : Cth - Seorang ahli sihir berpura-pura menjadi seorang perempuan yang peramah.

Kepura-puraan pula bermaksud perbuatan dll yang hanya pura-pura, kepalsuan : Cth - Dia ingin mendedahkan segala kepura-puraan yang diamalkan oleh gadis itu.

"Sekali membuka pura, dua tiga hutang berbayar...." oh, indah sungguh bahasa nenek moyang kita dahulu....!

.../kpBM

Thursday, 7 April 2011

Gagang atau Ganggang...?

Kedua-dua perkataan ini mempunyai makna yang berbeza. Disebabkan oleh bunyinya yang hampir sama atau kerana kurang tahu akan makna perkataan tersebut, banyaklah berlaku kesilapan penggunaan kedua-dua perkataan ini dalam kalangan umum. Ada orang yang menggunakan kata 'ganggang' untuk maksud 'gagang'.

Tahukah anda makna kedua-dua perkataan ini ?


GAGANG :

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, halaman 423, perkataan gagang mempunyai tiga maksud :
1. tangkai (bunga, gayung, dll)
2. hulu atau pangkal (keris, tombak dll)
3. pucuk ranting atau batang pokok yg melata (melilit), sulur
Gagang bunga bererti tangkai bunga, manakala gagang daun bermakna tangkai daun. Jika dikatakan gagang pisau, gagang parang, gagang golok, gagang keris, maksudnya ialah hulu atau pangkal pisau, hulu/ pangkal parang, hulu/ pangkal golok dan hulu/ pangkal keris, iaitu bahagian yang digunakan sebagai tempat memegang senjata-senjata tersebut. Gagang yang membawa maksud sulur atau batang pokok yang melata, misalnya gagang sirih dan gagang pokok kekacang. 'Menggagang" membawa maksud mempunyai sulur.

Dalam kosa kata bahasa Melayu, banyak perkataan gagang yang berpasangan dengan perkataan lain untuk menerbitkan bentuk frasa kata. Misalnya frasa gagang sirih (tangkai sirih), gagang pena (tangkai pena), gagang pistol (pemegang pistol), gagang cerek (pemegang cerek) dan gagang telefon (pemegang telefon).

Orang Melayu menggunakan perkataan gagang ini dalam ungkapan peribahasa. Antara contohnya termasuklah "balik gagang" dan "seperti sirih pulang ke gagang". Balik gagang bermaksud belot atau berpaling tadah kerana berpihak kepada pihak musuh. Sirih pulang ke gagang pula bermaksud kembali kepada asal.

GANGGANG

Perkataan ganggang juga membawa beberapa maksud. Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, halaman 431 ganggang bermaksud:

I. salai, panggang atau berdiang
berganggang - sedang disalai (dengan api), berdiang
mengganggang - menyalai, memanggang
Perkataan panggang dan berdiang tidak sama dari segi perlakuannya. Panggang bermaksud menyalai atau memanaskan sesuatu di atas api, manakala berdiang pula bermaksud memanaskan (diri) dekat dengan api (bukan di atas api)

II. a) ruang di antara dua benda, celah, sela-sela - contoh : ganggang pintu = celah pintu; b) renggang (tidak rapat) - contoh: hubungan mereka sudah mulai ganggang.

Daripada perkataan ganggang terbit pula beberapa kata terbitan seperti berganggang dan mengganggan.

Berganggang membawa maksud berenggang, bercerai atau berpisah.

Mengganggan(kan) bermaksud merenggangkan, menceraikan atau membuat sesuatu supaya bercelah. Contoh : Suami isteri itu sudah berganggang....

Cintailah bahasa Kebangsaan kita...marilah amalkan ramai-ramai....

Monday, 4 April 2011

PBS BAHASA MELAYU PMR

Hari ini, 4 APRIL 2011 satu taklimat penataran Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Bahasa Melayu - PLBS PMR 2011 telah dijalankan, bertempat di SMK Gambang. 

Taklimat yang bermula seawal pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 4.30 petang itu turut dihadiri oleh Ketua Pentaksir Negeri.  Secara keseluruhannya, tidak banyak perubahan berbanding PLBS tahun 2010.  Walau bagaimanapun, guru-guru BM di peringkat menengah rendah diingatkan agar melaksanakan pentaksiran PLBS sebagaimana yang telah dijadualkan iaitu :

1) Pentaksiran pertama Ting. 1 & Ting. 2 -  bermula pada Januari hingga Mei
2) Pentaksiran kedua Ting. 1 & Ting. 2 - bermula pada Jun hingga September
3) Pentaksiran untuk Ting. 3 - bermula pada Januari hingga Julai

Pemantauan oleh Pentaksir Kawasan akan dijalankan antara bulan April hingga Julai, manakala markah PLBS perlu diserahkan kepada Setiausaha Peperiksaan selewat-lewatnya pada 31 Julai 2011.  

Taklimat penataran PLBS 2011 akan dijalankan  di peringkat sekolah bagi memastikan kriteria penskoran dipatuhi dan pelaksanaan pentaksiran PLBS dilaksanakan dengan lebih berkesan lagi.


.../kpBM

Friday, 1 April 2011

Kosa Kata Bulan April

  Berikut ialah senarai kosa kata untuk Program Seuntai Kata Seindah Bahasa bagi bulan April 2011 :
1.   CAJ            (1/4)       
2.   CALON       (4/4)
3.   CANGGIH   (5/4)
4.   CANGKUL   (6/4)>>>>>>>>>>>
5.   CARIK        (7/4)
6.   CEDERA     (8/4)
7.   CEGAH     (11/4)
8.   CEKAL      (12/4)
9.   CELAK      (13/4)
10.  CINCAI     (14/4)
11.              CINCIN   (15/4)
    12.                 CIPLAK    (18/4)
    13.                 CIRI        (19/4)
    14.                 COCOK    (20/4)
    15.                 COMEL    (21/4)
    16.                 CONTOH    (22/4)
17.                 COROT    (25/4)
18.                 CUCU      (26/4)
19.                 CUKUP    (27/4)
20.                 CURAM    (28/4)
    21.             CURIGA   (29/4)

.../kpBM

SKSB April 2011


SEUNTAI KATA SEINDAH BAHASA
APRIL  (PAGI)

PENYELARAS : PUAN ROSHANILAWATEY JUSOH

1 APRIL – 29 APRIL 2011


1.   CAJ        
2.   CALON   
3.   CANGGIH    
4.   CANGKUL  
5.   CARIK  
6.   CEDERA  
7.   CEGAH  
8.   CEKAL  
9.   CELAK  
10.                 CINCAI  
11.                 CINCIN  
12.                 CIPLAK  
13.                 CIRI  
14.                 COCOK  
15.                 COMEL  
16.                 CONTOH  
17.                 COROT  
18.                 CUCU  
19.                 CUKUP  
20.                 CURAM  
21.                 CURIGA
Halaman  172
Halaman  174
Halaman  177
Halaman  178
Halaman  181
Halaman  185
Halaman  186
Halaman  187
Halaman  189
Halaman  207
Halaman  207
Halaman  208
Halaman  209
Halaman  211
Halaman  212
Halaman  214
Halaman  216
Halaman  218
Halaman  219
Halaman  222
Halaman  223