Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Showing posts with label kata tugas. Show all posts
Showing posts with label kata tugas. Show all posts

Monday, 2 April 2012

Murninya Bahasaku : Oleh kerana dan oleh sebab....

Oleh merupakan kata sendi nama. Biasanya selepas kata sendi nama hendaklah diikuti dengan kata nama. 

Contoh:
• Majlis Bicara Bahasa itu dirasmikan oleh Tun Ismail.
• Pokok bunga mawar itu dirosakkan oleh budak-budak nakal itu.
• Lukisan itu dilukis olehnya.

Kekata / Frasa selepas ’ oleh’ dalam ayat di atas, iaitu Tun Ismail, budak- budak nakal itu dan nya merupakan kata / frasa nama.

Kekata ’kerana’ pula merupakan kata hubung dan tidak boleh diikuti selepas ’oleh’. Jadi tidak boleh wujud ’oleh kerana’.

’Sebab’ boleh menjadi kata hubung dan kata nama. Contoh:
• Budak itu menangis sebab dipukul ibunya. (kata hubung)
• Berikan sebab yang munasabah akan kelewatan awak hari ini.(kata nama)

Jadi, oleh sebab hendaklah digunakan, bukan oleh kerana.

Gambar di dalam slaid ini hendaklah berbunyi: 
 
- Oleh kerana (sepatutnya oleh sebab) terpijak kulit pisang, dia terjatuh.
- Oleh kerana (sepatutnya oleh sebab) terlalu gah dengan kehidupan di negara asing, arwah ayah dipersoalkan. Ibu di kampung dilupakan, isteri sendiri diabaikan.

Begitu juga dengan ayat-ayat contoh yang menggunakan oleh sebab:
 
+ Oleh sebab tidak mempunyai wang, dia tidak mengikuti wisata ilmu ke Thailand. (bukan oleh kerana)
+ Oleh sebab sering berlaku kemalangan, jalan itu dijadikan jalan sehala. (bukan oleh kerana)
+ Oleh sebab kurang latihan, pemain skuasy itu tewas. (bukan oleh kerana)
+ Oleh sebab ketekunannya, diia mendapat keputusan yang cemerlang. (bukan oleh kerana)



sumber :  Cikgu Naim Daipi


.../kpBM

Saturday, 24 March 2012

Kata Pemeri



Ramai pengguna yang keliru akan penggunaan kata pemeri adalah dan ialah.

Ialah : kata pemeri, yakni unsur yang menjadi pemeri antara subjek dan predikat

Biasanya, ialah digunakan di hadapan kata nama, frasa nama, dan kata komplemen untuk menyatakan maksud persamaan atau ekuatif.

Ayat Contoh:
+ Kereta api MRT ialah pengangkutan yang paling popular.
+ Dadah ialah bahan yang boleh merosakkan kesihatan.
+ Puan Rapiah ialah ketua Jabatan Bahasa Ibunda di sekolah ini.

Kerana mempunyai persamaan maksud, kedudukan subjek dan predikat boleh bertukar tempat:
+ Pengangkutan yang paling popular ialah kereta api MRT.
+ Bahan yang boleh merosakkan kesihatan ialah dadah
+ Ketua Jabatan Bahasa Ibunda di sekolah ini ialah Puan Rapiah.

Kata pemeri ’ialah’ boleh diikuti kata kerja sekiranya kata kerja berkenaan berfungsi sebagai kata nama.
+ Kegemaran pemimpin itu ialah bermain golf.
+ Hobinya pada masa lapang ialah membaca buku.
 
Kata kerja bermain, dan membaca berfungsi sebagai kata nama. Kedua-dua ayat tersebut juga boleh bertukar tempat.
+ Bermain golf ialah kegemaran pemimpin itu.
+ Membaca buku ialah hobinya pada masa lapang.

Kadangkala, kata pemeri ialah tidak digalakkan penggunaannya di dalam ayat.
+ Dia ialah kawan saya. (Dia kawan saya.)
+ Beliau ialah arkitek di firma itu. ( Dia arkitek di firma itu)

Adalah juga kata pemeri. Biasanya adalah digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi untuk menyatakan maksud huraian (kualitatif) lanjut mengenai sesuatu benda (subjek).
+ Semua yang dikatakannya adalah dusta.
+ Tuduhan ke atasnya adalah tidak benar.
+ Peraturan baru itu adalah daripada pengetua.
+ Harta peninggalan Pak Abu adalah untuk isterinya.

Tiga gambar di dalam slaid ini merupakan penggunaan kata pemeri yang salah.
+ Pemenang sebenar adalah Singapura, sepatutnya:
+ Pemenang sebenar ialah Singapura.

+ Dr Tony Tan, 71 tahun, adalah mantan Timbalan Perdana Menteri,
sepatutnya:
+ Dr Tony Tan, 71 tahun ialah mantan Timbalan Perdana Menteri.

+ Muslim yang baik adalah jiran yang baik, sepatutnya:
+ Muslim yang baik ialah jiran yang baik.

Sumber :  Cikgu Naim Daipi

.../kpBM

Saturday, 17 March 2012

Kata tanya : siapa



Satu lagi kesilapan penggunaan kata tanya tergambar dalam slaid ini. Minggu lepas, saya mengetengahkan kesilapan penggunaan kata tanya ‘mengapa’. Kali ini, saya menampilkan penggunaan kata ganti tanya ‘siapa’.

Seperti kata tanya yang lain, kata ‘siapa’ tidak digalakkan penggunaannya dalam ayat penyata. 
 
Penggunaan kata tanya ‘siapa’ digunakan untuk menanyakan orang.
+ Siapakah yang datang bertamu ke rumah awak?
+ Yang mendapat markah cemerlang itu siapa?

Jadi, kerana tidak bermaksud untuk menanyakan orang, perkataan ‘siapa’ pada tajuk akhbar tersebut:
- Nilailah siapa yang layak, sepatutnya
+ Nilailah calon (orang) yang layak.
 
Atau kita menggunakan kata ganti tak tentu ‘sesiapa’:
+ Nilailah sesiapa yang layak.
 
Sumber :  Cikgu Naim Daipi 
 
.../kpBM

Saturday, 10 March 2012

Kata Tanya : Mengapa



Dalam tajuk akhbar ini terdapat kata tanya “mengapa”. Selain “mengapa” terdapat kata tanya lain seperti apa, berapa, bila, bagaimana, siapa, dan mana.

Biasanya kata tanya digunakan untuk menanyakan atau menyoalkan sesuatu. 

Contohnya;
+ Mengapakah awak menangis?
+ Kesudahan cerita itu bagaimana?
+ Yang manakah rumah awak?
+ Siapakah nama tetamu awak?
+ Harga jam yang awak pakai itu berapa?
+ Yang di dalam kotak itu apa?

Perkataan “mengapa’ (dan kata tanya yang lain) tidak seharusnya digunakan dalam ayat yang bukan bermaksud untuk bertanya atau menyoal.

Kita bolehlah menggantikan perkataan tersebut dengan perkataan “sebab”. “Sebab” boleh bertindak sebagai kata nama dan kata hubung.
+ Saya sudah memberikan sebab ketidakhadiran saya di majlis itu. (kata nama)
+ Budak itu menangis sebab perutnya sakit. (kata hubung)

Jadi tajuk akhbar tersebut seharusnya berbunyi:
+ Kesemua calon Presiden berhujah tentang sebab-sebab mereka layak dipilih.

Kekata “tentang” (kata sendi) diperlukan bagi digunakan di hadapan frasa nama (sebab-sebab mereka layak dipilih).

Sumber :  Cikgu Naim Daipi

.../kpBM

Friday, 2 March 2012

Murninya Bahasaku : apabila dan bila....


Apabila selalunya digunakan sebagai kata hubung. Ayat yang terbentuk ialah ayat penyata.

 

1) Apabila hari mulai senja, ayam itik pulang ke reban.
2) Apabila hujan turun dengan lebat, kawasan rendah itu banjir.
3) Murid-murid pun berbuat bising apabila guru tiada di kelas.
4) Apabila sampai di muka pintu, dia pun memberi salam.
5) Apabila sudah kembang, kakak pun memetik bunga mawar itu.


Bila pula digunakan untuk bertanya akan masa, Ayat yang terbentuk ialah ayat tanya.

6) Bilakah awak akan pulang ke kampung?

 
7) Bilakah rombongan dari Malaysia itu akan tiba?
8) Bilakah ibu kamu akan berangkat ke Makkah?
9) Bilakah kedai itu akan dibuka?
10) Waktu berbuka puasa hari ini bila?

Perkataan bila jika digandakan menjadi bila-bila akan bermaksud masa yang tidak tentu atau sebarang waktu. Ayat yang terbentuk ialah ayat penyata.

11) Bila-bila awak senang, datanglah ke rumah saya.
12) Bila-bila sahaja hujan akan turun.
13) Bila-bila awak lapang, kita akan bersiar-siar di pantai itu.
14) Saya boleh menemui awak bila-bila masa sahaja.
15 Kita boleh berbincang bila-bila masa yang sesuai.

Sekarang, perhatikan ayat contoh dalam slaid di atas; Bila pagar makan padi (....) Apakah pandangan anda?





sumber :  Cikgu Naim Daipi




...kpBM



Wednesday, 22 February 2012

Kata Sendi Nama 'Ke'

Dalam slaid ini terdapat penggunaan kata sendi nama ‘di’, iaitu:

- Man United naik di persada liga lagi,
- Buang di tong sampah.

Memanglah kata sendi nama ‘di’ digunakan bagi menunjukkan tempat. Ayat contoh:
- Dia tinggal di Geylang Serai.
- Pelajar itu duduk di dalam kelas.
- Bapa saya bekerja di syarikat perkapalan.
Namun begitu, tempat yang dinyatakan tidaklah menunjukkan tempat atau arah yang dituju. Bagi menunjukkan arah atau tempat yang dituju seharusnya kita menggunakan kata sendi nama ‘ke’. Ayat contoh:
- Kereta merah itu menuju ke bandar.
- Ibu saya baru pulang ke rumah.
- Kami akan melancong ke Indonesia.

Begitu juga dengan kata kerja naik, turun, terjun, berpindah, berhijrah, masuk, pergi, menoleh, mendongak, dan sebagainya diikuti dengana kata sendi nama ‘ke’.

Tajuk berita dan ayat suruhan di dalam slaid tersebut hendaklah ditulis begini:
- Man United naik ke persada liga lagi,
- Buang ke
tong sampah.

Sumber : Cikgu Naim Daipi

.../kpBM

Sunday, 24 July 2011

Di mana atau di mana-mana....

Dalam slaid berikut terdapat penggunaan ‘di mana’ dan ‘di mana-mana’. Apakah perbezaan penggunaannya?

‘Di mana’ menggunakan kata tanya ‘mana’. Ayat contoh:
- Di manakah rumah awak?
- Ke mana sahajakah perginya adik awak?
- Buku awak yang mana?
- Manakah kakak awak?

‘Di mana-mana’ merupakan kata ganti tak tentu (mana-mana) bagi menggantikan nama tempat. Kata ganti tak tentu mana-mana boleh juga merujuk benda, atau orang yang tidak tentu. Ayat contoh:
- Tunggu saya, jangan pergi ke mana-mana?
- Awak boleh meminjam buku itu di mana-mana perpustakaan.
- Mana-mana peserta yang lewat, akan dikira kalah.
- Mana-mana yang awak hendak, ambillah.

Merujuk slaid di atas, yang manakah yang benar? Iklan atau tajuk berita? 


Yang benar ialah iklan ‘…yang tidak dapat (terdapat) di mana-mana’

Tajuk berita, ‘Jangan malu cakap bahasa Melayu di mana saja,’ sepatutnya ditulis: Jangan malu cakap (bercakap) bahasa Melayu di mana-mana saja. 

Penggunaan ‘di mana’ dalam tajuk tersebut merupakan kata tanya yang memerlukan jawapan, namun hal ini tidak sedemikian. Yang benar ialah ‘di mana-mana’ bagi merujuk tempat yang belum tentu.



Monday, 18 July 2011

JANGAN DEKAT...

Kedua-dua papan tanda ini telah kita lihat sejak zaman kolonial lagi. Malah, ejaannya masih dalam peraturan lama.

Yang menarik perhatian saya ialah papan tanda 

BAHAYA – JANGAN DEKAT
Kekata 'jangan' biasanya membentuk ayat larangan. Bagi membentuk ayat larangan, biasanya kita menerapkan kata perintah 'jangan', 'usah', atau 'tak usah'. Lazimnya kekata yang mengikuti kata perintah ini kata kerja dengan tujuan untuk melarang seseorang daripada melakukan perkara yang dinyatakan. Contoh :

- Jangan berbuat bising
- Jangan duduk di sini
- Jangan pusing ke belakang, dan sebagainya.
- Jangan masuk


Perkataan dekat dalam papan tanda tersebut bukanlah kata kerja. Kekata dekat itu kata adjektif. 


Oleh itu, ayat larangan ‘Jangan Dekat’ itu salah. 

Seharusnya ayat itu berbunyi ‘Jangan Mendekat’ atau 'jangan datang dekat'. Begitu juga dengan papan tanda yang selalu kita temui di perpustakaan; 'Jangan bising', sepatutnya ‘Jangan berbuat bising’.

.../kpBM