Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Showing posts with label makna kata. Show all posts
Showing posts with label makna kata. Show all posts

Wednesday, 2 May 2012

PERGI dan PEMERGIAN

Kata 'pergi' membawa beberapa maksud :

1.  berjalan dll menuju ke sesuatu tempat (mendapatkan seseorang dll) 
2.  meninggalkan sesuatu tempat, berundur
3.  berangkat

Kata 'pergi' jika diberi imbuhan akan terbit perkataan-perkataan berikut :

berpergian
- pergi (berjalan dll) ke tempat yang jauh

kepergian
- perihal pergi, keberangkatan 

pemergian
1.  perjalanan (yang jauh) Contoh ayat : 
(a)  Ali menceritakan pemergiannya ke luar negara.
(b) Pemergian peserta pasukan bahas itu ke Dewan Jubli Perak diuruskan oleh Puan Noni.

2.  kepergian 

Rujukan : Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4 (halaman 1183)


.../kpBM



Monday, 30 April 2012

pelepasan atau perlepasan ?


Sewaktu di Bandara Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), anak perempuan saya yang terpandang akan papan tanda dalam slaid bertanya kepada saya, yang mana yang betul; pelepasan atau perlepasan.

... Saya menjawabnya; papan tanda itu betul.

Perlepasan bermaksud perihal berlepas. Perkataan Berlawan bagi perlepasan ialah pendaratan. Ayat contoh: 
 
1) Balai perlepasan dipenuhi jemaah yang hendak menunaikan haji di Makkah.

Pelepasan pula bermaksud perihal melepaskan atau pembebasan. Perkataan berlawan bagi pelepasan ialah pengikatan atau pengurungan

Pelepasan juga bermaksud perihal mengecualikan daripada sesuatu seperti cukai dan tempat melepaskan kentut serta najis (jubur). 

Ayat contoh:
2) Pelepasan penjenayah dari kurungannya itu sedang disiasat.
3) Dia mendapat pelepasan cukai sebanyak tiga puluh peratus.

4) Bawasir itu tumbuh di hujung pelepasannya sejak lima bulan yang lalu.

Nota: Ejaan yang baku bagi platfom ialah platform

Sumber :  Cikgu Naim Daipi

.../kpBM

 

Monday, 23 April 2012

Lentuk dan Lentok....


Lentuk bermaksud mudah dilenturkan agar melengkung (seperti rotan dan lain-lain). 

Sementara lentok pula berhubung dengan kepala yang menghala ke sisi seolah-olah terkulai atau terkelepai ke bawah dan memiring. 

Lentok juga dipakai sebagai kata ganda bagi lentang (lentang-lentok) yang bermaksud terkulai lemah, tidak tegak, atau melentok.

Ayat contoh yang diberi seharusnya menggunakan perkataan lentok (bukan lentuk):
 
Apa yang menarik ialah pad lekapan pada bahagian belakang helmet memastikan kepala anda tidak terlentuk (seharusnya terlentok) ke kanan atau ke kiri ketika anda tidur.


.../kpBM

 

Monday, 16 April 2012

Lancung dan Lancong...


Lancung bermaksud tidak tulen, tiruan, palsu, dan tidak sungguh-sungguh; tidak jujur; curang. Pelancung pula merujuk kepada orang yang memalsukan sesuatu barang, pemalsu, peniru, atau pecurang.

Lancong pula bermaksud melawat ke sesuatu tempat untuk bersenang-senang atau untuk melihat-lihat. Pelancong pula merujuk kepada orang yang melancong ke sesuatu tempat.

Oleh itu, ayat contoh yang diberi hendaklah berbunyi: 
 
Rotterdam City banyak bangunan sejarah dan bangunan baru yang memberi wajah istimewa kepada pelancong (bukan pelancung) seperti saya.

sumber :  Cikgu Naim Daipi

Monday, 9 April 2012

cincang atau cencang


Satu lagi kesilapan yang sering berlaku di media setempat terutamanya dalam ruangan masakan ialah penggunaan perkataan cencang. 

Banyak pengguna merujuk perkataan yang bermaksud daging yang ditetak kecil-kecil sehingga menjadi halus dengan perkataan ‘cincang’. Cincang sebenarnya sejenis tumbuhan yang nama lainnya ialah cungkil, kabau, dan semincang.

Sebenarnya ejaan yang tepat ialah cencang:
 
+ Tukang masak itu sedang mencencang daging.
+ Daging cencang yang dibeli ibu itu hendak dibuat belotok atau sosej.
 
Cencang-cencang buah mangga,
Cecah kicap bercampur gula;
Duduk bincang dengan keluarga,
Jangan bercakap berjela-jela

Kita akan tertanya-tanya ketika membaca tajuk berita akhbar di slaid ini; 

Adakah nenek yang malang itu ditetak kecil-kecil sehingga halus? 

Sebenarnya ayat tersebut mengandungi unsur hiperbola; ungkapan kiasan yang diturunkan secara berlebih-lebihan untuk meninggalkan kesan tertentu. Namun ejaannya perlulah baku, iaitu cencang, bukan cincang dan digunakan sebagai unsur kreatif, bukan berita.

.../kpBM 


Saturday, 6 August 2011

SENARAI RINGKAS KESILAPAN PERTINDIHAN MAKSUD

Kata Nama Jamak
- Pelbagai barang-barang,
- Senarai harga-harga
- Kebanyakan sekolah-sekolah
- Semua peserta-peserta 

Kata Nama
- Mereka-mereka
- Umat-umat
- Rakyat-rakyat

Kata Kerja
- Menggeleng-gelengkan kepala berkali-kali.
- Mengangguk-angguk kepala berkali-kali

Kata Sendi Nama
- Demi untuk
- Oleh kerana
- Hingga ke atau sehingga ke

* Semua aspek di atas merupakan bentuk pertuturan bahasa Melayu yang lewah dan diterima oleh kebanyakan penutur bahasa Melayu sebagai betul. Jika kita tidak mengubahnya kepada bentuk yang betul, sampai bilapun bahasa Melayu akan terus begitu bentuknya.

.../kpBM

Monday, 1 August 2011

SKSB Ogos 2011


SEUNTAI KATA SEINDAH BAHASA
OGOS   (PAGI)
PENYELARAS :  PN WAN BAHIAH BT. WAN NIK

1 OGOS – 26 OGOS 2011



1.                       GADING  
2.                       GALUR   
3.                       GANTANG  
4.                       GEBU   
5.                       GELOJOH
6.                       GENGGAM  
7.                       GORES   
8.                       GERGAJI   
9.                       GENDONG 
10.              GENDUT
11.              GEMALAI  
12.              GELAK    
13.              GIRANG  
14.              GOYAH    
15.              GUNDAH
16.              GUNTING
17.              GUSI
18.              GURUH    
19.              GUGUR  
20.              GURAU

Wednesday, 20 July 2011

MEMBELI dan MEMBELIKAN

Petikan kali ini diambil daripada Buku Besar terbitan penerbit tempatan. Dalam petikan ini terdapat dua perkataan ‘membelikan’, namun hanya satu sahaja penggunaannya yang tepat.

'Membelikan’ bermaksud ‘membeli untuk seseorang’. Sekadar contoh:
- Abang Zali membelikan kakak sebuah komik.
- Aziz membelikan Zarina sekuntum bunga mawar.
- Tahar membelikan adiknya sebatang pen.

Frasa yang mengikuti ‘membelikan’ iaitu kakak, Zarina, dan adiknya dinamakan objek tepat (OT). Sementara frasa yang mengikuti objek tepat, iaitu sebuah komik, sekuntum bunga mawar, dan sebatang pen dikatakan objek sipi (OS). 
Semua ‘objek tepat’ selepas ‘membelikan’ hendaklah terdiri daripada seseorang.

Jadi, yang manakah ayat yang betul antara kedua-dua ayat berikut:
- Ayah membelikan Izat (OT) sebuah tangki (OS), atau
- Ibu membelikan batu-batu kecil dan pasir.

Jawapannya ialah ayat pertama.
 
Ayat kedua boleh dikemaskan sebagai:
Ibu membeli batu-batu kecil dan pasir, atau 
Ibu membelikan Izad (OT) batu-batu kecil dan pasir (OS).
 
sumber : Murninya Bahasaku
...kpBM

Thursday, 14 July 2011

MEMPERKAYAKAN,,.?

Perhatikan ayat yang terkandung dalam lelaman web ini :  
 
Bagi memperkayakan pengetahuan guru-guru Melayu, dua buah program telah disediakan untuk guru-guru Bahasa Melayu.

Apitan memper...kan hanya bergabung dengan kata yang tergolong sebagai kata nama dan kata kerja.  

Penggunaan kata adjektif (kaya) dengan apitan tersebut dianggap tidak tepat. Begitu juga dengan kata terbitan berikut: memperdalamkan, memperbanyakkan, memperbesarkan, memperhebatkan dan sebagainya.

Pembentukan dengan kata adjektif yang tepat ialah dengan menggunakan awalan memper- sahaja (tanpa akhiran -kan).
Jadi ayat tersebut hendaklah ditulis: 
Bagi memperkaya pengetahuan guru-guru Melayu, dua buah program telah disediakan untuk guru-guru Bahasa Melayu. 
Begitu juga dengan perkataan memperdalam, memperbanyak, memperbesar, memperhebat, dan sebagainya.

Awalan memper- yang bergabung dengan kata adjektif membentuk makna menjadikan lebih daripada kekata yang digabungkan.
 
Memperkaya bermaksud menjadikan lebih kaya atau bertambah kaya (sudah kaya menjadi bertambah kaya), sementara mengayakan (apitan meN…kan yang bergabung dengan kaya) bermaksud menjadikan kaya (belum kaya menjadi kaya).


.../kpBM

Sunday, 10 July 2011

Yuran atau Sewa....?

Banyak sekali kesilapan bahasa dalam kain rentang ini.  Sila tumpukan butiran yang ditandakan.

Pembayaran dengan wang ada pelbagai cara dan bentuk.  Kalau kita bayar wang kerana menaiki kenderaan, kita sebut wang tambang.  Kalau kita bayar wang kerana menggunakan ruang, bilik, kereta, rumah dan sebagainya, kita sebut wang sewa.  Kalau kita bayar wang kerana menjadi anggota sesuatu kumpulan / pertubuhan atau menjadi penuntut sesebuah pusat pembelajaran, kita sebut wang yuran.  Begitu juga dengan wang pampasan, wang cengkeram, wang sogokan, duit kopi, wang gaji, wang sara, wang hantaran (wang mahar), wang belanja pasar, wang pokok, wang pertaruhan, wang perlindungan dan sebagainya.

Pada kain rentang di sebelah, penggunaan perkataan yuran bagi menyewa gerai tidak tepat.  Yang tepat ialah sewa. 

Friday, 8 July 2011

PEGERAI ATAU PENGGERAI...?

Biasanya kata dasar gerai jika diberi awalan 'peN-' membentuk kata terbitan penggerai.  Potongan akhbar di sebelah menggunakan kata "Wahai pegerai, bertanggungjawablah..."  

Apakah perbezaan antara kata 'penggerai' dengan 'pegerai'?

Gerai yang menerima awalan 'peN-' (penggerai) bermaksud kerek (roda yang memakai tali atau rantai / alat untuk menaikkan dan menurunkan barang berat; kapi, takal) dan gerudi.  Jadi penggerai bermaksud penggerek atau penggerudi.  

Sementara gerai yang satu lagi bermaksud kedai kecil dan menerima awalan 'pe' (tidak tertakluk dalam hukum morfofonemik) bagi menerbitkan kata terbitan 'pegerai' yang bermaksud orang yang bergerai atau orang yang mengusahakan gerai (pengusaha gerai).

Banyak kata Melayu yang menerima awalan 'pe', seperti petenis, pesilat, pesakit, pegolf, dan lain-lain lagi.
Sumber :  Murninya Bahasaku, Kamus Dewan.

.../kpBM



Friday, 1 July 2011

SKSB Julai 2011


SEUNTAI KATA SEINDAH BAHASA
JULAI  (PAGI)
PENYELARAS :  PUAN SEPINAH HJ MAT DAUD

1 JULAI – 31 JULAI 2011



1.                       FAJAR   
2.                       FAKIR   
3.                       FALAK    
4.                       FASIH  
5.                       FANATIK
6.                       FANTASI  
7.                       FANTASTIK
8.                       FASILITATOR
9.                       FIGURA  
10.              FIRASAT
11.              FORENSIK
12.              FIRMA    
13.              FISIOLOGI
14.              FITNAH  
15.              FITRAH
16.              FORMATIF
17.              FORUM
18.              FUTURISTIK
19.              FALSAFAH
20.              FANA