Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Showing posts with label pembelajaran. Show all posts
Showing posts with label pembelajaran. Show all posts

Thursday, 28 June 2012

Pendekatan Pengajaran Tatabahasa


Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim

Baru-baru ini beberapa orang guru termasuklah guru pelatih yang sedang menjalani latihan praktikum telah menanyakan soalan tentang teknik atau cara untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid. Mereka mengatakan bahawa kebiasaannya murid-murid kurang berminat untuk belajar tatabahasa.

Pengajaran tatabahasa yang dijalankan di dalam kelas selalunya kurang menarik dan membosankan murid-murid, malahan ada juga guru yang kurang berminat untuk mengajar murid dalam bahagian ini. Fenomena yang biasanya didapati di sekolah ialah pengajaran tatabahasa diajarkan secara induktif. Hal ini bermakna aspek tatabahasa diajarkan secara langsung dengan menerangkan hukum atau rumus tatabahasa iaitu sesuatu yang khusus terlebih dahulu, kemudian barulah dibincangkan contoh-contohnya yang umum. Sepatutnya pengajaran tatabahasa boleh dipelbagaikan bentuknya. Oleh itu, guru-guru perlu kreatif untuk memilih teknik pengajaran yang menarik dan bekesan kepada murid-murid. Bagi murid pula, mereka kebiasaannya kurang berminat untuk belajar tatabahasa kerana menganggap perkara itu menyusahkan tambahan pula teknik yang digunakan tidak menarik perhatian murid.

Sebenarnya banyak teknik yang boleh digunakan untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid. Seelok-eloknya guru harus berbincang dengan pelajar itu sendiri tentang teknik yang disukai oleh mereka. Dengan berdasarkan pengalaman saya sendiri, murid-murid lebih berminat dengan teknik yang menarik seperti nyayian dan nasyid, lakonan, dialog, kuiz serta forum. Oleh itu, antara teknik yang menarik dan sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran tatabahasa adalah menerusi teknik nyayian. Jadi, perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh guru ialah teknik tersebut perlulah menarik perhatian pelajar dan tidak membosankan mereka. Selain itu, teknik pengajaran juga perlu berpusatkan pelajar dan guru cuma menjadi fasilitator atau pembimbing mereka. Pendekatan yang selalu dicadangkan oleh pakar-pakar pengajaran tatabahasa adalah dengan menggunakan pendekatan deduktif iaitu bermula dengan generalisasi atau contoh-contoh, kemudian barulah dibincangkan rumus atau peraturan yang khusus.

Seperti yang telah dinyatakan tadi, antara teknik pengajaran tatabahasa yang menarik dan tidak membosankan pelajar ialah teknik nyanyian atau lagu. Hal ini demikian kerana, banyak lagu yang mengandungi lirik yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran. Di samping menyanyikan lagu, murid-murid diminta merujuk lirik lagu. Oleh itu, guru perlu menyediakan lirik lagu tersebut terlebih dahulu dan mengedarkannya kepada pelajar. Berikan arahan dan bincangkan tugasan yang perlu dibuat oleh mereka selepas menyanyikan lagu tersebut. Sebagai contohnya, guru-guru boleh meminta murid menyenaraikan jenis-jenis kata yang terdapat dalam lirik lagu itu seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata sendi. Selain itu, gunakan lirik lagu untuk mengesan kesalahan tatabahasa untuk mengelakkan rasa bosan para pelajar untuk mempelajari tatabahasa.

Selain lirik lagu, guru-guru juga boleh menggunakan sajak untuk membincangkan aspek tatabahasa yang terdapat dalam sajak tersebut. Sebagai contohnya, gunakan sajak Harga Remaja (Antologi Harga Remaja) untuk membincangkan aspek penggolongan kata di samping kata kerja. Oleh itu, selain aspek-aspek sastera dan maksud sajak, murid-murid juga boleh menggunakan sajak itu untuk belajar tatabahasa secara tidak langsung. Walau bagaimanapun, guru-guru perlu merancang dan mengkaji aspek tatabahasa yang hendak dibincangkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

Selain teknik nyanyian, guru-guru juga boleh menggunakan keratan akhbar atau majalah untuk membincangkan aspek tatabahasa. Karya-karya komsas selain sajak seperti cerpen, prosa tradisional, novel, pantun, syair dan gurindam juga boleh digunakan untuk pegajaran tatabahasa. Hal ini bermakna, semasa pengajaran komponen sastera, guru-guru juga boleh menyelitkan aspek tatabahasa dalam perbincangan pelajar. Dengan kata lain, pengajaran tatabahasa tidak diajarkan secara langsung tetapi secara tidak langsung. Hal ini dapat mengurangkan masalah kebosanan dan kurang minat murid untuk belajar tatabahasa.

Bagi pelajar-pelajar tingkatan 6, guru-guru perlu menggunakan keratan akhbar, majalah atau risalah untuk membincangkan aspek tatabahasa. Jadi secara tidak langsung, pelajar-pelajar mendapat manfaat yang berganda iaitu selain memahami atau mencari isi penting daripada petikan itu, mereka juga dapat mengesan kesalahan-kesalahan bahasa yang terdapat di dalamnya. Sekurang-kurangnya teknik ini kuranglah membosankan pelajar kerana guru telah menetapkan fokus yang hendak dibincangkan daripada sesuatu bahan atau petikan tersebut. Di samping itu, guru juga boleh menyelitkan aspek tatabahasa ini setiap kali semasa membincangkan karangan, rumusan karangan, dan juga semasa mengalih bentuk teks. Perkara ini perlu dilakukan kerana setiap latihan yang dinyatakan itu tadi melibatkan aspek tatabahasa. Sebagai contohnya, semasa menulis karangan, rumusan karangan dan mengalih bentuk teks, pelajar-pelajar terpaksa membina ayat yang melibatkan aspek tatabahasa. Hal ini juga menunjukkan bahawa pengetahuan pelajar dalam Kertas 1 perlu diaplikasikan dalam Kertas 2.



Dipetik daripada :
Blog: khirkassim.blogspot.com


Dicatat oleh kpBM, SMKTP

Thursday, 31 March 2011

Pembentangan KOMSAS 3K13

Kini tiba pula giliran 3K13.

Sudah dua minggu pembentangan kumpulan  KOMSAS, khususnya tajuk-tajuk daripada teks antologi "Anak Bumi Tercinta" dijalankan di BTV1.  Pada hari Khamis lepas, kumpulan pertama telah membuat pembentangan cerpen yang  bertajuk "Sayang Ayah".  

Pagi tadi dua kumpulan lagi telah membuat pembentangan prosa klasik.  Tajuk  yang dibentangkan ialah prosa klasik "Pak Belalang" dan "Hang Tuah Mengalahkan Taming Sari".  Persembahan mereka agak baik dengan bantuan power point dan visualiser. 

Mempelajari KOMSAS, sama ada prosa moden mahupun prosa klasik dapat meluaskan kosa kata murid.  


.../kpBM

Wednesday, 30 March 2011

3K1 & BM


Anak-anak didik 3K1.... alahai, dengan TOVnya yang begitu.... dengan kerenah mereka yang begini.... tentu sekali menuntut banyak kesabaran untuk 'menjinakkan' mereka agar boleh menumpukan perhatian terhadap pelajaran.  

Mereka sebenarnya inginkan perhatian.  Berilah sedikit pujian dan pujuklah mereka, pasti tugasan yang beri dapat disiapkan (walaupun belum tentu mereka dapat memahami sepenuhnya...!)  Tidak perlulah kita menaruh harapan yang telalu tinggi terhadap mereka.   Asalkan mereka berasa seronok untuk 'belajar' dan boleh berada di tempat duduk masing-masing  tanpa mengganggu P & P pun, sudah sangat memadai.  

Bersama 3K1 saban minggu memang tidak menjemukan.   Aktiviti yang dirancang untuk mereka tidak bolehlah terlalu 'berat', perlu sesuai dengan tahap kebolehan mereka....!   

Tugasan pada minggu ini (Selasa) ialah penulisan karangan jenis peribahasa. Mereka diminta menyalin contoh karangan peribahasa yang bertajuk "Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih".   Foto yang dirakamkan secara "candid" ini menunjukkan bahawa mereka menyalin contoh karangan itu dengan tekun sekali.    Sebenarnya, tujuan aktiviti ini adalah untuk melatih mereka menulis dalam perenggan dengan ejaan yang betul.  Mengajar kemahiran asas berbahasa....

Sebagai latihan pengukuhan, mereka diminta melengkapkan karangan.  Murid-murid diminta mengisi beberapa  tempat kosong untuk tajuk karangan yang hampir sama.   Satu senarai perkataan disediakan dan mereka boleh memilih perkataan yang sesuai.  Dalam ramai-ramai itu, ada jugalah murid yang boleh melengkapkannya walaupun tidak kesemua jawapan yang mereka tulis itu tepat.... 

Hari ini murid 3K1 diajar tajuk pemahaman dan  mereka diminta menyusun maklumat mengikut urutan.   Mereka nampaknya berminat dengan aktiviti ini.   Mereka diberi beberapa maklumat berkaitan dengan 'Proses Menukar Air Di dalam Akuarium".   Maklumat berkenaan disenaraikan tanpa mengikut susunan.  Mereka diminta menyusun maklumat tersebut dan membuat lakaran sesuai dengan aktiviti yang disusun itu. 

Kemahiran bahasa yang  disisip dalam aktiviti hari ini ialah memberi makna kata daripada set leksikal yang sama makna.  

Walaupun agak santai dan tidak begitu sarat, tetapi aktiviti ini masih memenuhi keperluan Sukatan Pelajaran.  Terdapat fokus utama dan fokus sampingan yang hendak disampaikan.   Inilah antara pendekatan yang sesuai untuk mereka,  lebih-lebih lagi waktu P & P selepas rehat  antara pukul 12.00 th - 1.00 th. 

Alahai 'anak-anakku 3K1'.... ingatlah, rajin dan usaha tangga kejayaan, belakang parang jika diasah sentiasa, pasti akan tajam jua akhirnya.....

.../kpBM

Tuesday, 29 March 2011

3K8 & MESTAMU

MESTAMU - salah satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang boleh menarik minat murid untuk mempelajari KOMSAS, khususnya sajak.

MESTAMU atau 'Melagukan Sajak Tanpa Muzik'  boleh dilakukan secara berpasangan.  Seorang murid akan mendeklamasikan sajak, manakala pasangannya akan melagukan sajak tersebut.  Jika bersendirian, kedua-dua teknik itu boleh dilakukan oleh orang yang sama.  Irama boleh diadaptasikan daripada lagu-lagu puisi yang sedia ada, ataupun lagu kegemaran murid itu sendiri.

Di kelas 3K8 tadi, teknik MESTAMU digunakan untuk pengajaran sajak.  Murid-murid nampak sangat seronok mempelajari KOMSAS dengan pendekatan teknik MESTAMU ini, lebih-lebih lagi pada waktu tengah hari (11.55 - 1.05 th). 

Melalui sajak 'KETIKA KAMI BERCERITA TENTANGNYA'...karya Lim Swee Tin, 3 kumpulan murid secara berpasangan telah menjalankan aktiviti MESTAMU dengan baik.  Kumpulan tersebut ialah : 

1)  Ayu dan Maisarah - lagu Pelita 
2)  Farhana dan Marina - lagu Ayat-ayat Cinta 
3)  Peng Fook dan Kamal - lagu rap rekaan sendiri

Sekali-sekala bolehlah guru-guru BM mengaplikasikan teknik ini dalam usaha untuk menarik minat murid  mempelajari KOMSAS, khususnya bagi Tingkatan 1, 2 dan 4.


Ketika Kami Bercerita Tentangnya
oleh Lim Swee Tin

Tema:
Pengorbanan seorang ayah

Persoalan pertama yang boleh didapati dalam sajak ini ialah hubungan anak dengan ayahnya yang rapat dan kemiskinan keluarga penyajak. Hal ini boleh didapati daripada rangkap pertama,

Ketika kami bercerita tentangnya
bapa sedang tidur
aku cukup kenal
pada lelap matanya
tikar mengkuang lusuh itu
barangkali, tambah melenakan bapa.

Persoalan kedua yang boleh didapati dalam sajak ini ialah hidup penyajak yang miskin dan banyak kekurangan kebendaan, dan tentang ayah penyajak yang melalui kesusahan ketika membesarkan anak-anak. Walaupun bekerja sepanjang masa dan mendapat gaji sedikit, tetapi dia tetap dapat meluangkan masa untuk bersama anak-anaknya. Hal ini boleh didapati daripada rangkap kedua,

Tadi
lama sekali bapa menemani kami
mengisi malam-malam seperti selalunya
duduk mengelilingi pelita minyak tanah
yang kecil itu
semacam pahit dan getir pengalamannya
begitu akrab pula
dengan kami semua.

Persoalan ketiga yang boleh didapati dalam sajak ini ialah anak-anak yang memahami akan masalah ayahnya dan hidup mereka susah. Anak-anak ini juga memahami bahawa mereka harus menerima dan akur dalam kemiskinan dan kekurangan dalam kehidupan mereka. Hal ini boleh didapati daripada rangkap ketiga,

Tidak pernah kami menyoal
mengapa demikian
laut sejarahnya
kerana
seperti juga di hutan kehidupan ini
kami sedia memaklumi
akan ketentuan
yang harus digenggam.

Persoalan keempat yang boleh didapati dalam sajak ini ialah kehidupan itu banyak hambatannya. Hal ini boleh didapati daripada rangkap keempat,

Asap pelita berkepul
sesekali meliuk digerak angin
ketika kami bercerita
tentang bapa
aku cukup faham
pada sebuah doa yang selalu disebutnya:

Persoalan kelima yang boleh didapati dalam sajak ini ialah dugaan, kesusahan dan cabaran. Harapan sang bapa yang mahu memastikan kehidupannya yang susah pada masa lampau tidak akan berlanjutan dalam hidup masa depan anak-anaknya. Hal ini boleh didapati daripada rangkap kelima.

Semoga ombak masa laluku
bukan gelombang masa depanmu.


... proses pembugaran KOMSAS..../kpBM