Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Thursday, 17 March 2011

Bahasa Kiasan (i) : contoh dan fungsi

Sumber : Gurukah aku.... NORBI HUSSIN
Bahasa kiasan ialah jenis bahasa yang menghuraikan sesuatu dengan cara mengkiaskannya kepada perkara lain, sama ada dengan menyebutkan bandingan secara langsung atau mengandaikan perbandingan itu.

Sebagai contoh ialah ungkapan "manisnya seperti lautan madu". Ini ialah contoh kiasan yang menyebutkan bandingan secara langsung. Dalam contoh ini sifat manis itu secara langsung dibandingkan dengan lautan madu.  Contoh-contoh lain bahasa kiasan yang menyebutkan bandingan ialah : "Matanya merah seperti sebiji saga" dan "Hatinya hancur bagai kaca terhempas ke batu".  Unsur perbandingan dapat dilihat melalui penggunaan perkataan "seperti" dan "bagai".

Contoh kedua pula ialah kiasan yang tidak menyebutkan bandingan secara langsung: Marahnya bernyala-nyala.  Bernyala-nyala biasanya digunakan untuk menyatakan keadaan api, tetapi dalam ungkapan di atas, sifat bernyala-nyala telah dipindahkan kepada keadaan marah.  Dengan kata lain, sifat marah telah dibandingkan dengan keadaan api yang bernyala-nyala.  Contoh-contoh lain bagi kiasan yang tidak menyebut bandingan : Karam dalam lautan percintaan dan Kutu embun.

Mengikut Za'ba dalam buku Ilmu Mengarang Melayu, terdapat empat fungsi bahasa kiasan.  Pertama, bahasa kiasan menjadikan sesuatu maksud lebih terang.  Melalui perbandingan yang berkias, ungkapan yang digunakan seolah-olah lukisan gambar yang terang dan nyata.  Jika tidak digunakan bahasa kiasan, mungkin huraian terpaksa lebih panjang, dan kurang jelas.
Sebagai contoh ialah kiasan-kiasan seperti : Mukanya terserlah seperti bulan purnama, bagi merujuk kecantikan wajah seorang gadis; Diamnya diam ubi, bagi menyatakan sifat seorang, iaitu diam tetapi berisi, seperti orang yang pendiam tetapi banyak berfikir; dan Hatinya sedang mendidih, bagi menyatakan keadaan yang sedang sangat marah, yang dibandingkan dengan keadaan air yang sedang mendidih.

Fungsi kedua bahasa kiasan adalah untuk menguat dan menajamkan sesuatu karya, supaya lebih senang ditangkap oleh pembaca atau pendengar.  Dengan kata lain, penggunaan bahasa kiasan bertujuan untuk menarik minat pembaca atau pendengar supaya meneruskan pembacaan dan pendengaran.

Sebagai contoh ialah : Bunyi air mengalir seperti orang sedang tertawa; Dalam selimut kemalasan; dan Tangga kejayaan.  

Fungsi ketiga bahasa kiasan adalah untuk menjadi perhiasan , mencantikkan bahasa supaya menjadi indah dan menarik.  Ini ditambah pula dengan hakikat bahawa bahasa kiasan menggambarkan kecantikan alam.  Oleh sebab itu, mengikut Za'ba, bahasa kiasan juga dikenali sebagai bungaan bahasa.

Sebagai contoh ialah : Angin bertiup seperti orang berbisik-bisik; Jinak-jinak merpati, dan Puteri lilin.

Akhir sekali, setengah-setengah bahasa kiasan digunakan sebagai bahasa halus bagi perkataan-perkataan kurang sopan digunakan di hadapan khalayak ramai atau yang tidak digalakkan disebut yang sebenarnya.  Za'ba juga menyebut kiasan jenis ini sebagai kiasan gayang atau pemanis.  Sebagai contoh : Ke sungai besar (atau sungai kecil); Menghembuskan nafas yang akhir; dan Pak Belalang.
.../kpBM

10 comments:

  1. boleh saya tahu kesan penggunanaannya..

    ReplyDelete
  2. Bahasa kiasan penuh makna.status WhatsApp sy kemaskini dengan kata kiasan.yg memahami akn hayati..

    ReplyDelete
    Replies
    1. bole saya dapatkan no cikgu supaya dapat update dari cikgu tentang bahasa kiasan tersebut

      Delete
  3. sempurna bjoku ternyata disini

    ReplyDelete
  4. Cahayanya masih terasa walaupun dalam malam yang kelam

    ReplyDelete