Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Wednesday, 9 May 2012

Peribahasa :



UMPAMA SIRIH; MENJALAR DULU
KEMUDIAN MELILIT, BARULAH MEMANJAT PUNCAK JUNJUNG
sumber  foto : Abdul Rahman Mansor Al-Haj

MAKSUD :
Tiap-tiap pekerjaan hendaklah dikerjakan mengikut aturannya

SITUASI :
Setiap pekerjaan ada aturannya.  Sesuatu pekerjaan tidak mungkin berhasil sepenuhnya sekiranya dibuat melulu, apatah lagi membuta tuli, yakni melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang. Sama seperti orang bergasing, dipegangnya dulu, dililitkan tali dengan ketat, barulah memangkah atau dilepaskannya. Sama seperti orang berlelayang, dianjungnya dulu, dihulur dan ditarik menentang angin. Tidak mungkin lelayang akan melayang sekiranya tidak melawan angin.

Kata orang sekarang, setiap pekerjaan ada prosesnya. Ikutilah aturan dan berpandulah kepada proses yang dapat membantu kita mencapai matlamat. Pilihlah proses yang tepat, selamat, dan jimat. Kalau dipertengahan jalan, kita bersua dengan ketidaktepatan, segeralah berpatah balik dan baiki kedudukan. Kalau salah makan memuntahkan, salah tarik mengembalikan, dan salah langkah surut kembali, yakni jika salah dalam sesuatu pekerjaan hendaklah segera diperbaiki kesalahan itu.

PANTUN :
Berjerih perih di waktu siang,

Duduk di anjung memakan lempuk;

Bagaikan sirih memanjat tiang,

Sampai di junjung lepaskan pucuk.



Sumber : Cikgu Naim Daipi


.../kpBM


Thursday, 3 May 2012

spontan, kreatif dan yakin bercerita....


Sepanjang 5 minggu Program Latihan Seni Budaya Negara dijalankan, terdapat banyak aktiviti yang menarik dan menyeronokkan.  Jelas sekali para peserta gembira dengan aktiviti yang dirancang dan mereka telah mengambil bahagian secara aktif walaupun kedatangan para peserta tidak penuh seratus peratus pada setiap kali perjumpaan diadakan.
latihan memanaskan badan...
Pada minggu pertama murid-murid didedahkan dengan pengetahuan terhadap teater secara umum.  Aktiviti berupa 'permainan teater' yang dijalankan pada minggu berikutnya bertujuan untuk merangsang tenaga fizikal, vokal, membina keyakinan diri dan kreativiti murid serta mempercepat daya fikir mereka.  Dalam aktiviti permainan teater ini juga murid diusulkan dengan satu cerita dan mereka dikehendaki  menyambung cerita dengan kreatif.  Hari ini merupakan minggu yang ke-5 program ini dijalankan.   
kreatif bercerita.....
Pada minggu lepas murid didedahkan dengan latihan vokal.  Murid dilatih mengolah pernafasan dan suara dengan sistem yang betul.  Aktiviti olah tubuh yang dijalankan juga dapat mengelakkan murid daripada berlaku kecederaan otot.
Minggu ini merupakan minggu kelima program latihan ini diadakan.  Guru yang bertugas pada minggu ini ialah PUAN RUSLINA ISMAIL.  Saya dan Cik Fuziellah ada bersama-sama di tempat latihan tadi.  Kami berdua menunggu sehingga pukul 3.30 petang dan meninggalkan kumpulan murid ini kepada Puan Ruslina sehingga tamat latihan pada pukul 4.30 petang.
spontan dan yakin bercerita.....

Daripada pemerhatian kami, para peserta sudah boleh melakukan tugasan dengan penuh yakin.  Petang tadi mereka diberi tugasan - bercerita secara spontan dengan ciri-ciri tertentu yang telah ditetapkan.... ada peserta yang boleh bercerita dengan spontan, menarik dan bermakna, dengan intonasi, sebutan dan gaya bahasa Melayu yang menarik.   
Minggu ini merupakan minggu terakhir latihan ini diadakan.  Program latihan ini akan ditangguhkan buat sementara waktu dan akan disambung semula pada sesi penggal kedua 2012 kerana pada minggu hadapan murid-murid akan menduduki Peperiksaan Pertengahan Tahun 2012.
 .../kpBM


Wednesday, 2 May 2012

PERGI dan PEMERGIAN

Kata 'pergi' membawa beberapa maksud :

1.  berjalan dll menuju ke sesuatu tempat (mendapatkan seseorang dll) 
2.  meninggalkan sesuatu tempat, berundur
3.  berangkat

Kata 'pergi' jika diberi imbuhan akan terbit perkataan-perkataan berikut :

berpergian
- pergi (berjalan dll) ke tempat yang jauh

kepergian
- perihal pergi, keberangkatan 

pemergian
1.  perjalanan (yang jauh) Contoh ayat : 
(a)  Ali menceritakan pemergiannya ke luar negara.
(b) Pemergian peserta pasukan bahas itu ke Dewan Jubli Perak diuruskan oleh Puan Noni.

2.  kepergian 

Rujukan : Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4 (halaman 1183)


.../kpBM



Tuesday, 1 May 2012

Program Latihan Seni Budaya Negara



SMKTP adalah antara sekolah yang terpilih untuk mengikuti program ini.

Program tahunan yang bermula pada bulan April ini merupakan misi kerjasama daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara bersama dengan pihak sekolah bagi merealisasikan beberapa matlamat utama, iaitu:
i) memberi fokus utama kepada rakyat dan pembangunan seni budaya, latihan dan keilmuan kepada penggiat seni budaya selain menyediakan persekitaran kondusif kepada penggiat seni budaya mengikut bidang;

ii) mampu menjadi pemangkin kepada industri seni budaya di peringkat luar bandar agar mereka tidak terpinggir daripada arus pemodenan;

iii) memulihara dan mengekalkan warisan seni budaya negara, di samping memupuk semangat kerjasama ke arah meningkatkan toleransi, keharmonian dan perpaduan selaras dengan pengukuhan jati diri bangsa Malaysia; dan

iv) menjadi satu program bersifat pendidikan dan pendekatan kepada generasi muda dan masyarakat seluruh negara bagi membantu mereka memahami dan menyanjung warisan seni budaya.

Program ini dilaksanakan melalui Panitia Bahasa Melayu sebagai salah satu aktiviti MBM untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan murid SMKTP.  Program yang bermula sejak awal April 2012 ini terbuka kepada semua murid SMKTP.  Murid-murid yang terlibat akan dilatih oleh seorang tenaga pengajar dari Pusat Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Encik Azmy B. Ahamad.
Memandangkan latihan atau aktiviti ini diadakan pada setiap minggu (hari Khamis), jadi semua guru BM sesi pagi perlu bertugas mengikut jadual yang telah ditetapkan.   Guru yang bertugas bertindak sebagai pemerhati dan perlu memastikan murid-murid mematuhi peraturan sekolah.  Kedatangan murid akan diambil pada setiap kali latihan.  
Program ini akan dijalankan pada setiap hari KHAMIS di Dewan Blok Baru pada pukul  2.30 – 4.30 petang.  Setakat ini terdapat lebih kurang 40 orang murid yang mengikuti program latihan ini. Mereka terdiri daripada murid tingkatan 3, 4 dan 5.  Guru-guru BM boleh menggalakkan murid di kelas masing-masing untuk mengikuti program latihan ini dengan lebih aktif lagi.


SENARAI GURU BERTUGAS (April – Julai)

BULAN/ MINGGU
TARIKH
GURU BERTUGAS
CATATAN
APRIL




1

5.4.12

Cik Fuziellah Abu Bakar
Puan Noraisah Abd. Rani


2
 12.4.12
Encik Teo Wei Sing


3

 19.4.12
Puan Roshanilawatey  
Cik Fuziellah Abu Bakar


4
 26.4.12
Puan Noraisah Abd Rani


MEI



1
03.5.12
Puan Ruslina Bt. Ismail

Guru Persatuan BM / Ketua Panitia BM
JUN


akan bersama
2

14.6.12
Puan Wan Bahiah  

mengikut
kesesuaian /
3
21.6.12
Puan Sepinah Hj Mat Daud

kelapangan
4
28.6.12
Puan Adhipah Bt. Kandar


JULAI



 1
05.7.12
Puan Rohana Bt. Abd Patah


2
12.7.12
Puan Zaleha Bt. Othman


3
19.7.12

Tn. Hj. Abdul Razak Yahya
 minggu akhir sebelum Ramadan

Diharapkan melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan program ini dapat membina dan meningkatkan keyakinan diri murid khususnya untuk membuat persembahan di khalayak.  Dengan keyakinan dan kreativiti diri yang tinggi diharapkan mereka dapat menterjemahkannya dalam semua aktiviti kebahasaan, sama ada dalam bentuk pengucapan awam, deklamasi puisi, pementasan drama dan sebagainya menggunakan bahasa Melayu dengan baik.

  .../kpBM


Monday, 30 April 2012

pelepasan atau perlepasan ?


Sewaktu di Bandara Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), anak perempuan saya yang terpandang akan papan tanda dalam slaid bertanya kepada saya, yang mana yang betul; pelepasan atau perlepasan.

... Saya menjawabnya; papan tanda itu betul.

Perlepasan bermaksud perihal berlepas. Perkataan Berlawan bagi perlepasan ialah pendaratan. Ayat contoh: 
 
1) Balai perlepasan dipenuhi jemaah yang hendak menunaikan haji di Makkah.

Pelepasan pula bermaksud perihal melepaskan atau pembebasan. Perkataan berlawan bagi pelepasan ialah pengikatan atau pengurungan

Pelepasan juga bermaksud perihal mengecualikan daripada sesuatu seperti cukai dan tempat melepaskan kentut serta najis (jubur). 

Ayat contoh:
2) Pelepasan penjenayah dari kurungannya itu sedang disiasat.
3) Dia mendapat pelepasan cukai sebanyak tiga puluh peratus.

4) Bawasir itu tumbuh di hujung pelepasannya sejak lima bulan yang lalu.

Nota: Ejaan yang baku bagi platfom ialah platform

Sumber :  Cikgu Naim Daipi

.../kpBM

 

Saturday, 28 April 2012

Fasa 1 PBS : LADAP PBS Bahasa Melayu Ting.1

LADAP PBS Ting. 1  Bahasa Melayu
Hari ini 28 APRIL 2012 (Sabtu), LADAP PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah)  bagi beberapa  mata pelajaran telah diadakan sebagaimana yang dijadualkan.  Antara panitia yang terlibat ialah Panitia BM, Panitia BI dan Panitia Sejarah.

wajib tahu dan faham... laksanakan

LADAP PBS BM telah diadakan di Makmal Komputer (2) melibatkan guru-guru yang mengajar peringkat Menengah Rendah.  Kehadiran guru adalah baik,  iaitu 17 daripada 20 orang guru yang mengajar kelas Peralihan hingga Tingkatan 3.  Tiga orang guru tidak hadir bersebab.

perlahan-lahan, lama-lama tambah faham.....

Semua guru BM Tingkatan 1 diharap dapat menggunakan bahan-bahan yang diberi sebagai panduan bagi melaksanakan PBS.   Guru-guru BM yang lain boleh 'bersedia' mulai sekarang.... 

Beberapa istilah baharu digunakan menggantikan yang lama (yang pada asasnya mempunyai makna dan matlamat yang sama).  Istilah-istilah ini wajib diketahui dan difahami oleh semua guru dalam pelaksanaan PBS.   Antaranya ialah :

PdP - Pengajaran dan Pembelajaran (dulu P & P)

B - Band (menggantikan skor dalam bentuk markah -
                   terdapat 6 band )

PS - Penyataan Standard

D - Deskriptor

E - Evidens (Evidens menentukan Deskriptor)

L - Lisan

B - Baca

T - Tulis

Contoh : B1 DL1 E1(Band 1, Deskriptor Lisan, Evidens 1)
- Berinteraksi tentang sesuatu perkara yang berkaitan dengan kehidupan harian.

Puan Susilawati
Perlu diingatkan bahawa untuk mata pelajaran BM, guru tidak boleh melakukan aktiviti pentaksiran (PBS) daripada bahan yang digunakan semasa PdP.

Terima kasih diucapkan kepada Puan Susilawati atas penyampaian yang baik dan berkesan.   Terima kasih juga kepada guru-guru BM yang hadir pada pagi ini.  

Terima kasih kepada Encik See Koon Suan, Ketua Bidang Bahasa kerana menunggu hingga LADAP BM (2) ini berakhir pada pukul 12.30 tengah hari.


.../kpBM