Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Thursday, 12 April 2012

PROGRAM PERHALUS 2012

Hari ini 12 APRIL 2012, Pengetua sekolah dan Ketua Panitia BM  dalam Daerah Kuantan telah dijemput untuk menghadiri taklimat mengenai program PERHALUS yang akan dilaksanakan di sekolah-sekolah yang terlibat.   Memandangkan Pengetua, GPK1 dan KB Bahasa terlibat dengan urusan rasmi yang lain, jadi saya ke PPD bersama dengan seorang lagi guru BM tingkatan 5.

Program PERHALUS ini merupakan lanjutan daripada Program JUJ yang bermula sejak tahun 1996, diikuti dengan Program PISA  (Projek Intervensi Semua 'A')pada tahun 2003, Program PROSA (khusus untuk kelompok murid sederhana) pada tahun  2011 dan disempurnakan dengan Program PERHALUS pada tahun ini khusus untuk murid-murid potensi lulus. 

Program PERHALUS atau Perancangan Harap Lulus  juga terhasil daripada kerjasama pintar antara JPNP dengan Yayasan Pahang sebagaimana program-program sebelum ini.   Memandangkan masih ramai murid SPM yang tidak layak mendapat sijil kerana gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, maka Modul Latihan Terancang PERHALUS untuk sekolah-sekolah menengah negeri Pahang telah dihasilkan. 

Antara faktor yang menyumbang kepada kegagalan murid untuk lulus dalam Bahasa Melayu adalah kerana mereka tidak menguasai kemahiran 2M, tidak dapat menjana idea untuk mengarang dan kurang minat membaca.  Modul ini diharapkan dapat menjadi asas dan rujukan kepada para guru dalam usaha  meningkatkan peratus lulus dalam subjek Bahasa Melayu SPM negeri Pahang agar berupaya mencapat matlamat yang disasarkan iaitu peratus gagal 8% diminimumkan kepada 4% bagi SPM tahun 2012.

Modul ini terbahagi kepada lima komponen utama dan setiap komponen mengandungi soalan-soalan ansur maju.  Modul ini bukan sahaja memudahkan guru mengajar malah mampu memberi idea baru untuk mempelbagaikan strategi pengajaran dalam bilik darjah.  

Latihan terancang yang disediakan menjadi medan perkongsian ilmu kepada para guru dalam usaha membantu murid-murid yang memerlukan bimbingan untuk lulus.  Latihan-latihan yang dimuatkan dalam modul ini merupakan cadangan sumber isi pelajaran subjek Bahasa Melayu yang telah disusun secara terancang mengikut kesesuaian tahap pencapaian murid-murid lemah Bahasa Melayu.

Memandangkan program ini perlu dilaksanakan segera, satu taklimat akan diberikan kepada semua guru BM SMKTP, khususnya yang mengajar Tingkatan 5 minggu depan untuk membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjayakan program ini.  Kumpulan sasaran telah dikenal pasti dan mereka akan diberi ujian saringan sebanyak dua kali, iaitu pada Jun dan Ogos 2012.

Semoga matlamat dan hasrat murni untuk membantu murid-murid potensi lulus khususnya di SMK Tanah Putih akan tercapai dengan jayanya.  Sesungguhnya anak didik ini berhak untuk dibantu demi melahirkan modal insan yang celik ilmu.  Bak kata orang :

Hanyut dipintas,
hilang dicari,
Terapung dikait, 
Terbenam diselami.


.../kpBM

1 comment:

  1. saya ingin mendapatkan modul ini..boleh berikan maklumat lanjut

    ReplyDelete