Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Saturday 24 March 2012

Kata Pemeri



Ramai pengguna yang keliru akan penggunaan kata pemeri adalah dan ialah.

Ialah : kata pemeri, yakni unsur yang menjadi pemeri antara subjek dan predikat

Biasanya, ialah digunakan di hadapan kata nama, frasa nama, dan kata komplemen untuk menyatakan maksud persamaan atau ekuatif.

Ayat Contoh:
+ Kereta api MRT ialah pengangkutan yang paling popular.
+ Dadah ialah bahan yang boleh merosakkan kesihatan.
+ Puan Rapiah ialah ketua Jabatan Bahasa Ibunda di sekolah ini.

Kerana mempunyai persamaan maksud, kedudukan subjek dan predikat boleh bertukar tempat:
+ Pengangkutan yang paling popular ialah kereta api MRT.
+ Bahan yang boleh merosakkan kesihatan ialah dadah
+ Ketua Jabatan Bahasa Ibunda di sekolah ini ialah Puan Rapiah.

Kata pemeri ’ialah’ boleh diikuti kata kerja sekiranya kata kerja berkenaan berfungsi sebagai kata nama.
+ Kegemaran pemimpin itu ialah bermain golf.
+ Hobinya pada masa lapang ialah membaca buku.
 
Kata kerja bermain, dan membaca berfungsi sebagai kata nama. Kedua-dua ayat tersebut juga boleh bertukar tempat.
+ Bermain golf ialah kegemaran pemimpin itu.
+ Membaca buku ialah hobinya pada masa lapang.

Kadangkala, kata pemeri ialah tidak digalakkan penggunaannya di dalam ayat.
+ Dia ialah kawan saya. (Dia kawan saya.)
+ Beliau ialah arkitek di firma itu. ( Dia arkitek di firma itu)

Adalah juga kata pemeri. Biasanya adalah digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi untuk menyatakan maksud huraian (kualitatif) lanjut mengenai sesuatu benda (subjek).
+ Semua yang dikatakannya adalah dusta.
+ Tuduhan ke atasnya adalah tidak benar.
+ Peraturan baru itu adalah daripada pengetua.
+ Harta peninggalan Pak Abu adalah untuk isterinya.

Tiga gambar di dalam slaid ini merupakan penggunaan kata pemeri yang salah.
+ Pemenang sebenar adalah Singapura, sepatutnya:
+ Pemenang sebenar ialah Singapura.

+ Dr Tony Tan, 71 tahun, adalah mantan Timbalan Perdana Menteri,
sepatutnya:
+ Dr Tony Tan, 71 tahun ialah mantan Timbalan Perdana Menteri.

+ Muslim yang baik adalah jiran yang baik, sepatutnya:
+ Muslim yang baik ialah jiran yang baik.

Sumber :  Cikgu Naim Daipi

.../kpBM

Saturday 17 March 2012

Kata tanya : siapa



Satu lagi kesilapan penggunaan kata tanya tergambar dalam slaid ini. Minggu lepas, saya mengetengahkan kesilapan penggunaan kata tanya ‘mengapa’. Kali ini, saya menampilkan penggunaan kata ganti tanya ‘siapa’.

Seperti kata tanya yang lain, kata ‘siapa’ tidak digalakkan penggunaannya dalam ayat penyata. 
 
Penggunaan kata tanya ‘siapa’ digunakan untuk menanyakan orang.
+ Siapakah yang datang bertamu ke rumah awak?
+ Yang mendapat markah cemerlang itu siapa?

Jadi, kerana tidak bermaksud untuk menanyakan orang, perkataan ‘siapa’ pada tajuk akhbar tersebut:
- Nilailah siapa yang layak, sepatutnya
+ Nilailah calon (orang) yang layak.
 
Atau kita menggunakan kata ganti tak tentu ‘sesiapa’:
+ Nilailah sesiapa yang layak.
 
Sumber :  Cikgu Naim Daipi 
 
.../kpBM

Saturday 10 March 2012

Kata Tanya : Mengapa



Dalam tajuk akhbar ini terdapat kata tanya “mengapa”. Selain “mengapa” terdapat kata tanya lain seperti apa, berapa, bila, bagaimana, siapa, dan mana.

Biasanya kata tanya digunakan untuk menanyakan atau menyoalkan sesuatu. 

Contohnya;
+ Mengapakah awak menangis?
+ Kesudahan cerita itu bagaimana?
+ Yang manakah rumah awak?
+ Siapakah nama tetamu awak?
+ Harga jam yang awak pakai itu berapa?
+ Yang di dalam kotak itu apa?

Perkataan “mengapa’ (dan kata tanya yang lain) tidak seharusnya digunakan dalam ayat yang bukan bermaksud untuk bertanya atau menyoal.

Kita bolehlah menggantikan perkataan tersebut dengan perkataan “sebab”. “Sebab” boleh bertindak sebagai kata nama dan kata hubung.
+ Saya sudah memberikan sebab ketidakhadiran saya di majlis itu. (kata nama)
+ Budak itu menangis sebab perutnya sakit. (kata hubung)

Jadi tajuk akhbar tersebut seharusnya berbunyi:
+ Kesemua calon Presiden berhujah tentang sebab-sebab mereka layak dipilih.

Kekata “tentang” (kata sendi) diperlukan bagi digunakan di hadapan frasa nama (sebab-sebab mereka layak dipilih).

Sumber :  Cikgu Naim Daipi

.../kpBM

Friday 2 March 2012

Murninya Bahasaku : apabila dan bila....


Apabila selalunya digunakan sebagai kata hubung. Ayat yang terbentuk ialah ayat penyata.

 

1) Apabila hari mulai senja, ayam itik pulang ke reban.
2) Apabila hujan turun dengan lebat, kawasan rendah itu banjir.
3) Murid-murid pun berbuat bising apabila guru tiada di kelas.
4) Apabila sampai di muka pintu, dia pun memberi salam.
5) Apabila sudah kembang, kakak pun memetik bunga mawar itu.


Bila pula digunakan untuk bertanya akan masa, Ayat yang terbentuk ialah ayat tanya.

6) Bilakah awak akan pulang ke kampung?

 
7) Bilakah rombongan dari Malaysia itu akan tiba?
8) Bilakah ibu kamu akan berangkat ke Makkah?
9) Bilakah kedai itu akan dibuka?
10) Waktu berbuka puasa hari ini bila?

Perkataan bila jika digandakan menjadi bila-bila akan bermaksud masa yang tidak tentu atau sebarang waktu. Ayat yang terbentuk ialah ayat penyata.

11) Bila-bila awak senang, datanglah ke rumah saya.
12) Bila-bila sahaja hujan akan turun.
13) Bila-bila awak lapang, kita akan bersiar-siar di pantai itu.
14) Saya boleh menemui awak bila-bila masa sahaja.
15 Kita boleh berbincang bila-bila masa yang sesuai.

Sekarang, perhatikan ayat contoh dalam slaid di atas; Bila pagar makan padi (....) Apakah pandangan anda?





sumber :  Cikgu Naim Daipi




...kpBM