Sumber : Cikgu Ghalib
Soalan:Baru-baru ini, saya menemui penggunaan kata
kemenjadian oleh agensi kerajaan. Setelah melakukan rujukan, saya
dapati bahawa kata tersebut tidak tersenarai dalam Kamus Dewan, edisi
keempat. Oleh hal demikian, bolehkah kata itu digunakan? Apa maksud
yang didukungnya?
Fatin Nabilah Nazri
Petaling Jaya
Jawaban:Bahasa
Melayu merupakan bahasa yang sentiasa berkembang. Oleh itu, bahasa
Melayu dikatakan sebagai bahasa yang hidup. Perkembangan bahasa Melayu
yang begitu hebat ini dapat dilihat daripada kemunculan pelbagai kata
dan istilah. Oleh sebab kamus dikemaskinikan pada setiap 10 tahun
sekali, maka banyak perkataan yang wujud tidak dapat dimasukkan sebagai
entri. Jika perkataan itu menepati makna dan rumus morfologinya,
mengapakah perkataan itu tidak boleh digunakan?
Satu daripada
perkataan yang digunakan secara leluasa oleh pengguna tetapi masih belum
dimasukkan sebagai entri dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEE) ialah
kemenjadian. Maksud yang didukung oleh perkataan ini ialah “perihal menjadi”. Lihat ayat contoh yang berikut:
(i) Pendidikan sangat penting untuk menentukan
kemenjadian murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Lihat pembentukan perkataan tersebut dan juga perkataan lain seperti yang di bawah ini:
meracau ----> kemeracauan (perihal meracau)
melarat -----> kemelaratan (perihal melarat)
meleset ----> kemelesetan (perihal meleset)
meradang --> kemeradangan (perihal meradang)
menjadi --> kemenjadian (perihal menjadi)
Kesimpulannya, perkataan `
kemenjadian’
menepati rumus morfologi bahasa Melayu yang membawa maksud `perihal
sesuatu’. Dalam penerbitan kamus yang akan datang, perkataan ini akan
dimasukkan sebagai salah satu entri.
(Sumber: Ruangan Soal Jawab Majalah Pelita Bahasa, Januari 2009)