Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Thursday, 28 June 2012

Pendekatan Pengajaran Tatabahasa


Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim

Baru-baru ini beberapa orang guru termasuklah guru pelatih yang sedang menjalani latihan praktikum telah menanyakan soalan tentang teknik atau cara untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid. Mereka mengatakan bahawa kebiasaannya murid-murid kurang berminat untuk belajar tatabahasa.

Pengajaran tatabahasa yang dijalankan di dalam kelas selalunya kurang menarik dan membosankan murid-murid, malahan ada juga guru yang kurang berminat untuk mengajar murid dalam bahagian ini. Fenomena yang biasanya didapati di sekolah ialah pengajaran tatabahasa diajarkan secara induktif. Hal ini bermakna aspek tatabahasa diajarkan secara langsung dengan menerangkan hukum atau rumus tatabahasa iaitu sesuatu yang khusus terlebih dahulu, kemudian barulah dibincangkan contoh-contohnya yang umum. Sepatutnya pengajaran tatabahasa boleh dipelbagaikan bentuknya. Oleh itu, guru-guru perlu kreatif untuk memilih teknik pengajaran yang menarik dan bekesan kepada murid-murid. Bagi murid pula, mereka kebiasaannya kurang berminat untuk belajar tatabahasa kerana menganggap perkara itu menyusahkan tambahan pula teknik yang digunakan tidak menarik perhatian murid.

Sebenarnya banyak teknik yang boleh digunakan untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid. Seelok-eloknya guru harus berbincang dengan pelajar itu sendiri tentang teknik yang disukai oleh mereka. Dengan berdasarkan pengalaman saya sendiri, murid-murid lebih berminat dengan teknik yang menarik seperti nyayian dan nasyid, lakonan, dialog, kuiz serta forum. Oleh itu, antara teknik yang menarik dan sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran tatabahasa adalah menerusi teknik nyayian. Jadi, perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh guru ialah teknik tersebut perlulah menarik perhatian pelajar dan tidak membosankan mereka. Selain itu, teknik pengajaran juga perlu berpusatkan pelajar dan guru cuma menjadi fasilitator atau pembimbing mereka. Pendekatan yang selalu dicadangkan oleh pakar-pakar pengajaran tatabahasa adalah dengan menggunakan pendekatan deduktif iaitu bermula dengan generalisasi atau contoh-contoh, kemudian barulah dibincangkan rumus atau peraturan yang khusus.

Seperti yang telah dinyatakan tadi, antara teknik pengajaran tatabahasa yang menarik dan tidak membosankan pelajar ialah teknik nyanyian atau lagu. Hal ini demikian kerana, banyak lagu yang mengandungi lirik yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran. Di samping menyanyikan lagu, murid-murid diminta merujuk lirik lagu. Oleh itu, guru perlu menyediakan lirik lagu tersebut terlebih dahulu dan mengedarkannya kepada pelajar. Berikan arahan dan bincangkan tugasan yang perlu dibuat oleh mereka selepas menyanyikan lagu tersebut. Sebagai contohnya, guru-guru boleh meminta murid menyenaraikan jenis-jenis kata yang terdapat dalam lirik lagu itu seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata sendi. Selain itu, gunakan lirik lagu untuk mengesan kesalahan tatabahasa untuk mengelakkan rasa bosan para pelajar untuk mempelajari tatabahasa.

Selain lirik lagu, guru-guru juga boleh menggunakan sajak untuk membincangkan aspek tatabahasa yang terdapat dalam sajak tersebut. Sebagai contohnya, gunakan sajak Harga Remaja (Antologi Harga Remaja) untuk membincangkan aspek penggolongan kata di samping kata kerja. Oleh itu, selain aspek-aspek sastera dan maksud sajak, murid-murid juga boleh menggunakan sajak itu untuk belajar tatabahasa secara tidak langsung. Walau bagaimanapun, guru-guru perlu merancang dan mengkaji aspek tatabahasa yang hendak dibincangkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

Selain teknik nyanyian, guru-guru juga boleh menggunakan keratan akhbar atau majalah untuk membincangkan aspek tatabahasa. Karya-karya komsas selain sajak seperti cerpen, prosa tradisional, novel, pantun, syair dan gurindam juga boleh digunakan untuk pegajaran tatabahasa. Hal ini bermakna, semasa pengajaran komponen sastera, guru-guru juga boleh menyelitkan aspek tatabahasa dalam perbincangan pelajar. Dengan kata lain, pengajaran tatabahasa tidak diajarkan secara langsung tetapi secara tidak langsung. Hal ini dapat mengurangkan masalah kebosanan dan kurang minat murid untuk belajar tatabahasa.

Bagi pelajar-pelajar tingkatan 6, guru-guru perlu menggunakan keratan akhbar, majalah atau risalah untuk membincangkan aspek tatabahasa. Jadi secara tidak langsung, pelajar-pelajar mendapat manfaat yang berganda iaitu selain memahami atau mencari isi penting daripada petikan itu, mereka juga dapat mengesan kesalahan-kesalahan bahasa yang terdapat di dalamnya. Sekurang-kurangnya teknik ini kuranglah membosankan pelajar kerana guru telah menetapkan fokus yang hendak dibincangkan daripada sesuatu bahan atau petikan tersebut. Di samping itu, guru juga boleh menyelitkan aspek tatabahasa ini setiap kali semasa membincangkan karangan, rumusan karangan, dan juga semasa mengalih bentuk teks. Perkara ini perlu dilakukan kerana setiap latihan yang dinyatakan itu tadi melibatkan aspek tatabahasa. Sebagai contohnya, semasa menulis karangan, rumusan karangan dan mengalih bentuk teks, pelajar-pelajar terpaksa membina ayat yang melibatkan aspek tatabahasa. Hal ini juga menunjukkan bahawa pengetahuan pelajar dalam Kertas 1 perlu diaplikasikan dalam Kertas 2.



Dipetik daripada :
Blog: khirkassim.blogspot.com


Dicatat oleh kpBM, SMKTP

No comments:

Post a Comment