Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Wednesday, 24 August 2011

PEMBENTUKAN MeN…i dan MeN…kan


Pembentukan imbuhan kerap kali mengelirukan pelajar. Dalam penggunaan imbuhan MeN...kan dan MeN...i, pelajar sering kali membuat kesilapan dengan menggunakan imbuhan tersebut secara bertukar ganti seolah-solah kedua-dua imbuhan tersebut membawa maksud yang sama. Dalam bab ini, kita akan melihat dan meneliti secara lebih mendalam pembentukan dan perbezaan imbuhan MeN...kan dan MeN...i dalam Bahasa Melayu yang kerap menimbulkan kekeliruan kepada pelajar.
Pembentukan Imbuhan MeN...kan


Imbuhan MeN...kan membentuk kata kerja transitif yang terbit daripada kata dasar yang terdiri daripada beberapa jenis golongan kelas kata. Penggunaan golongan kata tertentu akan menunjukkan makna yang tertentu apabila menerima imbuhan MeN...kan.
Pembentukannya akan dibincangkan secara ringkas kerana yang penting ialah meneliti perbezaan maknanya dengan imbuhan MeN...i. 

Teliti beberapa jenis golongan kata berikut yang menunjukkan beberapa maksud yang berbeza:
Kata Dasar Imbuhan MeN...kan Maksud
- Buku (kata nama) Membukukan Menjadikan buku
- Darat (kata nama) Mendaratkan Membawa ke darat
- Gemuk (kata adjektif) Menggemukkan Menjadikan gemuk
- Jatuh (kata kerja) Menjatuhkan Menyebabkan jatuh
- Beli (kata kerja) Membelikan Membeli untuk
- Tindih (kata kerja) Menindihkan Menggunakan alat
- Pagar (kata kerja) Memagarkan Menjadikan sebagai
- Dua (kata bilangan) Menduakan Menjadikan dua
Untuk memahami lebih jelas lagi maksud yang terbentuk daripada kelas kata tersebut lihat beberapa contoh ayat berikut:

Ayat Contoh;
1. Pemain pertahanan pasukan itu telah menjatuhkan penyerang pasukan lawan dalam kawasan penalti.
2. Lelaki itu telah menduakan isterinya dengan berkahwin lagi.
3. Dia telah membukukan pengalamannya semasa zaman pemerintahan Jepun.
4. Mereka telah membasahkan kepala masing-masing dengan air sungai itu.
5. Ahmad melontarkan basikal adiknya ke dalam kolam.

Analisis

Semua ayat yang menerima imbuhan MeN...kan menunjukkan maksud bahawa objek tepatnya (kata nama selepas kata kerja) kena secara langsung oleh perbuatan iaitu kena ‘jatuhkan’, kena ‘duakan’, kena ‘bukukan’ kena ‘basahkan’ dan kena ‘lontarkan’.

Maksud Dalam Imbuhan MeN...kan

Secara umum, imbuhan apitan MeN...kan menunjukkan dua maksud yang kerap dikelirukan.

i) Maksud sesuatu perbuatan itu dilakukan secara langsung kena ke atas objek tepat dalam ayat dan menjadi alat atau bahan untuk melakukan perbuatan ke atas objek sipi

Contoh:

Amin melontarkan sepotong kayu ke arah lembu itu.
(objek tepat) (objek sipi)
Dalam konteks ayat di atas Amin menggunakan ‘sepotong kayu’ (objek tepat) untuk melakukan perbuatan ke atas ‘lembu itu’ (objek sipi). 

Teliti contoh ayat berikut yang sama maksud pembentukannya dengan ayat di atas.

Ayat contoh;
1. Petani itu memagarkan kawat berduri ke seluruh ladangnya.
2. Orang tua itu memukulkan sebatang tongkat ke atas anaknya.
3. Dia menghadiahkan rantai mutiara kepada isterinya.
4. Kanak-kanak itu membalingkan bola kepada rakannya.
5. Sultan Selangor telah berkenan mengurniakan bintang kebesaran kepada ahli sukan tersebut sempena Hari Keputeraan baginda. 

ii) Maksud sesuatu perbuatan dilakukan ‘untuk’ objek tepat

Hal ini bermaksud sesuatu perbuatan itu dilakukan untuk orang lain iaitu pelaku melakukan perbuatan untuk objek tepat manakala objek sipi merupakan sesuatu yang dilakukan perbuatan ke atasnya.

Contoh:

Amin membacakan adiknya buku cerita itu.
(objek tepat) (objek sipi)

Dalam konteks ayat di atas bermaksud Amin membaca buku untuk adiknya bukan untuk dirinya, manakala buku iaitu objek sipi merupakan alat yang dibaca dan adiknya sebagai objek tepat merupakan penerima perbuatan Amin. 

Jika buku cerita mahu dijadikan objek tepat, maka akhiran ‘kan’ mesti digugurkan seperti dalam ayat berikut:

Contoh:

Amin membaca buku cerita itu untuk adiknya.
(objek tepat) (objek sipi)

Untuk lebih jelas, teliti ayat-ayat berikut:

Ayat contoh;
1. Ibu menjahitkan kakak sehelai baju kurung sutera.
(maksud menjahit untuk kakak)

2. Rahim mencarikan isterinya buah mempelam muda
(maksud mencari buah mempelam muda untuk isterinya)

3. Dia melukiskan adiknya sekeping gambar helang.
(maksud melukis gambar helang untuk adik)

Ringkasnya imbuhan MeN...kan menunjukkan maksud objek tepat sebagai alat atau bahan untuk melakukan perbuatan ke atas sesuatu. Selain itu, juga membawa maksud sesuatu perbuatan itu dilakukan untuk benda lain iaitu ‘untuk objek tepat’, manakala perbuatannya dilakukan ke atas ‘objek sipi.

Pembentukan Imbuhan MeN...i.

Imbuhan MeN...i juga terbentuk daripada beberapa kelas kata dasar dan membawa makna yang tertentu. Teliti pembentukannya secara ringkas dan cuba buat perbandingan dengan pembentukan imbuhan MeN...kan.

Kata Dasar Imbuhan MeN...i Maksud

Pagar Memagari Meletakkan sesuatu
(kata Nama) sebagai pagar

Pukul Memukuli Melakukan perbuatan
(kata kerja) berkali-kali pada objek

Duduk Menduduki Melakukan perbuatan
(kata kerja) pada objek

Kirim Mengirimi Menyebabkan objek
(kata kerja) menerima sesuatu

Untuk memahami lebih jelas lagi maksud yang terbentuk daripada kelas kata tersebut lihat beberapa contoh ayat berikut:

Ayat contoh;

1. Dia akan mengirimi bapanya sepucuk surat pada setiap bulan.
2. Jepun telah menduduki Tanah Melayu selama lebih kurang empat tahun.
3. Dia memukuli lembu yang memasuki kebunnya dengan sebatang kayu.

Analisis

Dalam ketiga-tiga ayat di atas, semua objek kena secara tidak langsung. Objek-objek tersebut menerima sesuatu daripada perbuatan yang dilakukan oleh pelaku. Contohnya dalam ayat (1) ‘bapa’ sebagai objek tepat menerima surat bukannya benda yang dikirimkan kepada seseorang.

Maksud Imbuhan MeN...i

Secara umum, imbuhan apitan MeN...i, menunjukkan maksud objek tepat menerima sesuatu daripada pelaku perbuatan, manakala benda yang diterima daripada perbuatan itu dinyatakan sebagai objek sipi. 

Maksud ayat juga menunjukkan bahawa objek tepat tidak bergerak tetapi objek sipi yang bergerak menuju ke arah objek tepat. Lihat dan teliti contoh ayat-ayat di bawah;

Ayat contoh;

1. Petani itu memagari ladangnya dengan kawat berduri.
2. Orang tua itu memukuli anaknya dengan sebatang tongkat.
3. Dia menghadiahi isterinya seutas rantai mutiara.
4. Kanak-kanak membalingi rakannya dengan sebiji bola.
5. Sultan Selangor telah berkenan mengurniai ahli sukan itu bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan baginda. 

Bandingkan ketiga-tiga ayat yang menerima apitan MeN...i dengan ayat-ayat yang menerima apitan MeN...kan seperti yang dibincangkan terdahulu.

Adakalanya apitan MeN...i menunjukkan maksud perbuatan yang berulang-ulang dilakukan ke atas objek tepat. Teliti ayat (2) yang menunjukkan maksud anaknya menerima pukulan berulang kali. Dalam konteks ayat (1), (3), (4) dan (5) ladangnya menerima kawat berduri, isterinya menerima rantai mutiara, rakannya menerima balingan dan ahli sukan menerima kurniaan.

Perbezaan Makna Dalam Imbuhan MeN...kan dan
Imbuhan MeN...i

Sekiranya pelajar meneliti pembentukan kedua-dua imbuhan tersebut, pelajar akan mendapati terdapat perbezaan yang ketara di antara kedua-dua imbuhan itu.
Perbezaan yang paling ketara ialah apabila kedua-dua imbuhan apitan ini menggunakan kata dasar yang sama dan menerima dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi. Lihat contoh ayat berikut untuk pemahaman yang lebih jelas.

Ayat contoh;

1. Amin melontarkan sepotong kayu ke arah lembu itu.
(objek tepat) (objek sipi)

2. Amin melontari lembu itu dengan sepotong kayu.
(objek tepat) (objek sipi)

3. Amin membacakan adiknya buku cerita itu.
(objek tepat) (objek sipi) 

4. Amin membaca buku cerita itu untuk adiknya.
(objek tepat) (objek sipi)

Ulasan ringkas:
Ayat (1) dan (2) menggunakan kata dasar yang sama iaitu lontar (kata kerja) tetapi menggunakan apitan yang berbeza. Oleh itu pembentukan objek dan maknanya juga berbeza. Perkataan ‘melontarkan’ menunjukkan maksud ‘sepotong kayu’ sebagai objek tepat menjadi alat atau bahan yang digunakan untuk melakukan perbuatan. Manakala perkataan ‘melontari’ menunjukkan maksud ‘lembu itu’ sebagai objek, menjadi penerima perbuatan ‘melontari’. Oleh itu jika ayat (1) menerima apitan MeN...kan, maksudnya menunjukkan lembu itu menjadi alat atau bahan untuk perbuatan melontar, ini pasti mustahil kerana tidak mungkin Amin mampu mengangkat lembu itu dan melontarkannya.

Rumusan
Kekeliruan yang kerap berlaku di kalangan pelajar dari segi pembentukan kedua-dua apitan tersebut disebabkan para pelajar kurang memahami maksud perkataan yang digunakan dan kekeliruan membezakan objek tepat dan objek sipi. Oleh itu, para pelajar perlu meneliti imbuhan apitan MeN...kan dan MeN...i dengan meneliti kesesuaian maksud ayat dengan penggunaan objek tepat dan objek sipi yang dinyatakan dalam ayat. 

Para pelajar juga perlu meneliti logik ayat dari segi maksud sama ada sesuai atau tidak. 


No comments:

Post a Comment