Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sila layari web ini....

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah, sila layari web di bawah ini....

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Friday, 17 January 2014

Selamat Bersara, Jasamu Tetap Dikenang, terima kasih.

17 JANUARI 2014 merupakan hari persaraan seorang ahli panitia Bahasa Melayu di SMK Tanah Puteh yang telah bertugas sebagai seorang pendidik selama 31 tahun dan menghabiskan 5 tahun terakhir beliau di SMKTP. 

 
Beliau ialah PUAN WAN BAHIAH BT. WAN NIK.   Pagi ini majlis diadakan di sekolah dan pada sebelah petangnya beliau diraikan oleh beberapa orang rakan sejawat di City Times Hotel, Indera Mahkota.   


Semoga dengan persaraan ini, Puan Wan Bahiah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Wan, diharap  akan lebih mendatangkan kebahagiaan kepada keluarga.  Selain itu, lebih banyak masa boleh diperuntukkan kepada-Nya dan kepada hobi kesayangan Kak Wan.



Ikhlas daripada Panitia Bahasa Melayu...


Di ruang ini, ingin kami catatkan seloka khusus buat Kak Wan.

Assalamualaikum pembuka bicara
Madah disusun mengungkap rasa
Suasana suram pagi yang hiba
Bagai mengerti gelodak jiwa.

        Kak Wan panggilan mesra
        Guru veteran yang banyak berjasa
        Mendidik anak bangsa bukan sebentar cuma 
        Tiga dekad begitulah lama.

Dari muda hingga berusia
Menjalankan tugas dengan  setia
Menabur bakti mencurah jasa
Tak terbalas dek pelajar semua.

         Kini sudah tibanya masa
         Berundur Kak Wan kerana bersara
         Hilanglah permata yang berharga
         Hilang seri hilang cahaya.

Sudah biasa kita dengari 
patah tumbuh hilang berganti
namun tak sama guru yang ini
Tak mungkin ada galang ganti.

        Kenangan manis kekal selamanya
        Jasa Kak Wan tak mungkin dilupa
        Pemergianmu tetap kami redha
        Sudah suratan berpisah akhirnya.

Sampai di sini seloka kami
Tidak berakhir hubungan ini
Silaturahim  terus terpatri
Biarpun Kak Wan tiada di sisi.

        Ampun dan maaf kami pinta
        Andai pernah mengusik rasa
        Jenguklah kami  sekali sekala
        Andai rindu datang menjelma.
        
Semoga Kak Wan sihat sejahtera
Menyusuri hari-hari yang ceria
Di samping beribadat pada yang Esa
Moga dilindungi Allah sentiasa.

  

SELAMAT BERSARA, KAK WAN....

Kuning emas masaknya padi,
       Mawar merah dalam jambangan,
Terima kasih daun keladi,
       Budi puan jadi kenangan.

Tuai padi antara nampak,
       Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara nampak,
      Esok jangan rindu-rinduan.

.../kpBM

No comments:

Post a Comment